Halaman

01 July 2010

Adil Agih Bantuan Pelajaran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri tetap menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk yang tidak memilih dan memihak kepada wakil rakyat kerajaan demi memastikan semua penduduk menerima keistimewaan serta hak yang sama khususnya dalam aspek pendidikan

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata dalam aspek pengagihan e-Book umpamanya, setiap pelajar Tahun Lima tanpa mengira latar belakang dan kawasan mereka layak menerima kemudahan pembelajaran itu setiap seorang.

“Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk lebih RM1 juta dibelanjakan untuk tujuan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelajaran ini dan kita berusaha menyediakannnya dengan apa cara sekalipun, biarpun tidak dihargai.

“Walaupun tiada wakil BN (Barisan Nasional), kita terpaksa ambil Pegawai Pembangunan Dun, Dato’ Che Mat Jusoh untuk ambil cakna mengenai penduduk di kawasan Batu Buruk,” kata beliau di majlis pengagihan e-Book dan bantuan pakaian sekolah bagi Dun Batu Buruk, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

Seramai 819 murid Tahun Lima melibatkan lima sekolah di kawasan DUN Batu Buruk mendapat e-Book, sementara 2,019 murid menerima baucar pakaian sekolah.

Dato’ Ahmad yang berpegang kepada prinsip biarlah manusia tidak tilik pandang setiap kebaikan yang dibuat, setidak-tidaknya Allah swt yang tilik pandang terhadap segala kebaikan itu.

“Biarpun ada di kalangan kita yang tidak menghargai kebaikan dan segala kemudahan yang disediakan (kerajaan), saya tetap menjalankan fardu kifayah ini bagi memastikan rakyat Terengganu akan berubah menjadi lebih baik.

“Kita sanggup menyediakan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan (Bajet 2010) untuk pendidikan anak Terengganu dan menjadi negeri ketiga di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah, di mana sebanyak RM20 juta kita sediakan (untuk pendidikan),” katanya.

Sementara itu, ketika sidang akhbar Dato’ Ahmad mengharapkan kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dapat dilaksanakan segera selepas masih lagi tertangguh.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kelewatan itu dipercayai terlalu ramai kontraktor yang memohon untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan JKR perlu membuat penilaian terperinci sebelum memutuskan kontraktor yang sesuai.

Dato’ Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajaan negeri pada April lalu.

TEGANUKITA