Suryani merupakan anak kelahiran Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu memilih untuk berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur demi merealisasikan hasrat bergelar wartawan penyiaran yang versatile dan berjaya.
Wanita yang bertubuh kecil namun mempunyai karisma itu memulakan karier dengan bernaung di bawah Media Prima Berhad pada Disember 2005 sebagai eksekutif wartawan penyiaran menerusi tugasan di meja jenayah dan laporan khas.
Kes berprofil tinggi dan menjadi tumpuan seluruh negara seperti kes bunuh diri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, kes penyeludupan dadah melibat warga Iran, kes makmal dadah di Kajang, pasport palsu, dua pengawal keselamatan hospital mati ditembak serta kes tembakan melibatkan Ketua Polis Daerah Temerloh beberapa tahun lalu antara rentetan kes yang mengisi jadual tugasannya.
Sementara kes mahkamah seperti pembunuhan Altantuya, kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim, kes bekas Menteri Pengangkutan Tun Ling Liong Sik, kes Raja Azmi didakwa, kes hasutan Karpal Singh dan embunuhan Datuk Sosilawati juga mendapat `sentuhan’ Suryani.
Tidak terkecuali, laporan Khas mengenai `Pink Lady’, Penjenamaan Semula Badan Kehakiman Negara, Umno Terus Mara, Analisis Perhimpunan Umno, kes penyeludupan dadah, kes pemerdagangan orang serta kes pelacuran.
“Sepanjang melaksanakan tugasan itu, saya banyak belajar daripada editor dan rakan setugas yang tidak pernah lokek ilmu. Kini saya ditugaskan di meja politik khusus untuk penugasan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pula yang pastinya turut memberi pengalaman berbeza, “ tegas pemilik bintang Capricorn itu lagi.
Anak keempat daripada tujuh beradik hasil perkongsian hidup Haji Megat Deraman Megat Stan dengan Zaimah Baharu ini sering mencuri tumpuan penonton tatkala bersiaran kerana aura perwatakan dan lontaran bicara yang penuh pesona.
Dia kini yang sering muncul selaku penyampai Buletin Pagi menamatkan pengajian di Akademi TV3 pada 2000, terlebih dahulu mengutip pengalaman sebagai wartawan dan penolong penerbit di KRU Motion Pictures Sdn Bhd dengan khidmat terakhir selaku Penerbit Penyelaras Program (KRU) pada 2004.
Malah, Suryani juga pernah menjadi pengurus acara , penolong pengarah dan penerbit penyelaras di beberapa syarikat produksi termasuk Nizarman, Eurofine, KRU Berhad pada 2005.
Berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan dan mencetus dimensi berbeza, personaliti yang mengagumi Christiane Amanpour selaku idola bidang penyiaran sejak bangku sekolah lagi itu, tidak mungkin melupakan saat terpilih mengikut misi kemanusiaan bersama Penyelaras Aman Malaysia, Dato Mukhriz Mahathir di Gaza (2008) dan setahun kemudian, di Sharongkola, Bangladesh.
“Pada masa yang sama, cabaran paling saya tidak dapat lupakan ketika menemuramah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pilihan Raya Sarawak. Sebagai seorang wartawan yang masih baru, ia bukan satu tugas mudah apabila diminta oleh editor bertanyakan beberapa soalan kepada beliau. Bagaimanapun, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar biarpun saya diherdik selain menerima kritikan hebat oleh pengikut beliau ketika itu,” ujar Nik Suryani lagi.
Figura yang menyanjungi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengakui tugasan mewawancara ramai tokoh seperti Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor menerbitkan inspirasi, kematangan dan disiplin diri.
Dari sisi lainnya, Suryani pernah merangkul beberapa anugerah sepanjang kariernya termasuk Berita TV Terbaik sempena Malam Media- Umno 2011 , `Female 50 Most Gorgeous People 2009’, dokumentari terbaik `benar tapi pelik’ RTM 2003/2004 dan Program Hiburan Terbaik RTM 2004.
Menutup bicara, Suryani tidak mahu umum menganggap pembabitannya dalam bidang penyiaran berpaksikan mahu meraih populariti, sebaliknya profesion itu sebagai platform membantu dan menyelesaikan masalah masyarakat menerusi pembongkaran dan laporan yang tiada infinitinya.