Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu akan menganjurkan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik bertempat di Auditorium Taman Budaya Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 29 Jun depan.
Pertandingan peringkat Terengganu itu melibatkan lapan Kelab Rukun Negara dari pelbagai sekolah menengah seluruh Terengganu.
Urusetia pertandingan itu, Encik Asronizam Mamat, berkata setiap kelab yang terpilih menyertai pertandingan akan mempersembahkan dua lagu patriotik.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan, termasuk Cemerlang, Gemilang, Terbilang; Malaysia Tanahair Ku; Perpaduan Teras Kejayaan dan Gemilang Malaysia.
Katanya, program itu bertujuan menjadikan lagu-lagu patriotik sebagai medium yang berkesan untuk menyemarakan semangat patriotisme di kalangan pelajar sekolah dan orang ramai.
“Di samping itu, semangat kerjasama, kekitaaan, nilai-nilai permuafakatan, perpaduan dan bertolak ansur antara masyarakat juga mampu dipupuk.
“Johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM2,000, naib johan (RM1,000), tempat ketiga (RM500) dan lima saguhati, masing-masing bakal memperoleh RM200,” katanya.
Pertandingan yang dijangka bermula 8.30 malam itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar.
Orang ramai, terutama penduduk tempatan dijemput hadir bagi memberi semangat kepada pasukan bertanding, sekaligus memeriahkan program tahunan itu.