Halaman

17 June 2012

Bomba giat pasang pili baru

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memperuntukkan kira-kira RM250,000 bagi pemasangan pili bomba baru di seluruh negeri pada tahun ini.

Pengarahnya, Encik Mohd Salleh Sarbini berkata, peruntukan tersebut melibatkan pemasangan unit pili bomba di beberapa kawasan yang tidak mempunyai kemudahan tersebut dan dikenal pasti terdedah kepada risiko kebakaran.

Katanya, setiap satu unit pili bomba berharga antara RM5,000 dan RM7,000 dan usaha ini bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dijalankan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Menurut beliau, penambahan pili bomba baru ini akan memudahkan tugas bomba sekiranya berlaku kebakaran. Sehingga kini, jabatan mempunyai 16,000 unit pili bomba di seluruh negeri yang melibatkan di kawasan awam dan swasta.

"Pili bomba awam merujuk kepada pili yang dibina dikawasan terbuka seperti perumahan, kawasan kampung, bandar dan sebagainya manakala swasta pula melibatkan kawasan premis persendirian yang mana perbelanjaan untuk membinanya disediakan oleh pemilik tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Program Bomba Bersama Komuniti 1 Malaysia Taman Perumahan Wakaf Tembesu dan Gong Badak di tapak letak kereta Pasaraya Hock Kee Seng Gong Badak semalam. Perasmian majlis dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Mengulas mengenai program tersebut, Mohd Salleh berkata, pihaknya akan menggiatkan kempen untuk menarik minat ramai orang menyertai program Teman Pili Bomba.

“Langkah itu penting kerana ia dapat membantu memastikan pili bomba sentiasa berada dalam sempurna dan berfungsi dengan baik khususnya ketika berlaku kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, dari jumlah 16,000 unit pili bomba yang ada, hanya 2,000 pili mempunyai rakan masing-masing. Jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pili bomba yang ada di seluruh negeri.

"Justeru itu, kita memerlukan kerjasama masyarakat untuk menjadi rakan kepada pili-pili bomba yang terletak berhampiran dengan kawasan mereka, supaya pili-pili ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan," ujarnya.

Mengenai penggilan kecemasan beliau berkata, sebanyak 907 panggilan diterima untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu 388 panggilan adalah melibatkan kes kebakaran, manakala bakinya 519 panggilan membabitkan kes menyelamat.

Manakala taksiran kerugian pula melibatkan RM7.52 juta dan harta yang berjaya diselamatkan bernilai RM118 juta.

Sempena dengan program tersebut Bomba turut menyampaikan sijil Teman Pili Bomba kepada penduduk taman perumahan berkenaan.

Program separuh hari itu turut diadakan pelbagai aktiviti dalam usaha mendekatkan masyarakat setempat antaranya pertandingan mewarna, bercerita (kebombaan), membentang hos, pemakaian pakaian operasi bomba dan sukaneka.