Halaman

18 June 2012

Ibu tunggal cekal terima anugerah keusahawanan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kecekalan seorang ahli perniagaan berstatus ibu tunggal membesarkan sepuluh anak dengan kudrat sendiri sehingga tiada waktu rehat walaupun pada hujung minggu mendapat pengiktirafan kerajaan negeri apabila menerima anugerah Tokoh Ibu Tunggal kategori

Keusahawanan sempena program `Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih’ peringkat negeri Terengganu, Di Taman tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Wanita berkenaan, Puan Hayati Mat Zin, 44, dari Taman Desa Jaya, Batu Enam, Kuala Terengganu menerima anugerah itu yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

“Saya tidak menduga menerima anugerah itu selepas dicalonkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia dan meminta saya ke majlis berkenaan beberapa hari sebelum itu,” katanya yang menerima sijil serta wang tunai RM2,000.

Menurut Puan Hayati, dia mula melibatkan diri dengan perniagaan makanan warisan nenek dan diteruskan oleh kedua ibu bapa di Pasar Kedai Payang sejak kecil lagi sebelum menjalankan sendiri sebaik tamat alam persekolahan.

“Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya sudah biasa berdikari dan lasak melakukan semua kerja demi mendapatkan duit belanja sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

“Sifat itu berterusan sehingga kini, malah tanpa suami di sisi saya tidak merasakan sebarang masalah dan penamat kepada kehidupan. Sebaliknya, semakin menguatkan saya untuk bekerja lebih gigih dan memastikan perniagaan yang diusahakan bersama anak-anak bertambah maju,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Selain mengusahakan jualan keropok dan buah-buahan di Pasar Kedai Payang, wanita tabah yang bergelar ibu tunggal sejak dua tahun lalu itu turut menjalankan perkhidmatan membasuh kereta sejak tiga tahun lalu, di Hiliran, Kuala Terengganu.

Malah, berhampiran tapak membasuh kereta itu, Puan Hayati turut mengusahakan kedai makan sejak empat bulan lalu selepas mendapat pinjaman menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM50,000.

“Empat anak berusia 18 hingga 23 tahun selain tiga pekerja membantu saya di kedai makan yang hanya ditutup pada Jumaat. Alhamdulillah, perniagaan itu bertambah baik.
Hasil juga agak lumayan dan memberi kehidupan yang lebih baik kepada kami sekeluarga.

“Saya bekerja setiap hari. Hari Jumaat berniaga di Pasar Borong sehingga tengah hari kemudian menyambung pula berniaga di Pasar Kedai Payang. Saya tidak mempunyai waktu rehat yang khusus kerana tiada istilah letih dalam kamus hidup saya demi membesarkan keluarga walaupun tanpa ketua keluarga dan lelaki bergelar suami,” katanya.

Puan Hayati berkata, rangkaian perniagaan yang dijalankan kini mampu memberi pulangan bersih yang mencecah sehingga RM600 sehari.