Persiapan Kontijen Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) XV yang akan berlangsung di Pahang pada awal bulan depan kini memasuki fasa akhir.
Ketua Kontijen Sukma Terengganu, Haji Wan Nawawi Ismail berkata, hampir kesemua sukan sedang menyertai pertandingan dalaman dan luar negara.
“Program turun padang oleh ketua-ketua kontijen (bapa angkat) ke tempat-tempat latihan sedang berjalan sekarang,” katanya.
Menurutnya beberapa program khas seperti kem bina semangat diadakan di Kem Jenagor mengikut kumpulan (empat kumpulan) dan kem sasaran pingat di adakan di Bukit Gambang Resort City khusus untuk atlet yang disasarkan mendapat pingat di Pahang.
Selain itu kem pemantapan minda untuk sukan konsentrasi (memanah, menembak, tenpin bowling, lawn bowls dan petanque) akan diadakan di Batu Burok Beach Resort pada 25 hingga 26 Jun manakala kem latihan pusat akhir akan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak pada 27 Jun ini.