Halaman

20 June 2012

Iban, Bajau sertai Pertandingan Pidato 1Malaysia esok

Oleh: Aida Abd Rahman
Lapan peserta termasuk seorang masyarakat Iban dan Bajau mengesahkan penyertaan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia 2012 (Bukan Melayu) peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan di Kolej Komuniti Kuala Terengganu, esok.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) yang membuka penyertaan kepada warga Malaysia bukan Melayu turut disertai masing-masing tiga India dan tiga Cina.

Pengarah JPNT, Puan Azizah Awang, berkata program tahunan ini menawarkan hadiah berjumlah RM4000 dengan johan akan menerima wang tunai RM1500, RM1000 (kedua), RM500 (ketiga) manakala lima hadiah sagu hati RM200 setiap pemenang.

Katanya, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysia, "katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh akan menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan, di Dewan Tok Ku, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi, esok.