Halaman

12 April 2014

Dato' Idris melawat Mohammad Ishak di rumahnya.

ZIARAH...Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Idris Jusoh meluangkan masa hampir satu jam menziarahi wartawan Muhammad Ishak yang mengalami serangan jantung baru-baru ini di rumahnya di Seberang Jerteh, hari ini.

Idris yang ditemani isterinya Toh Puan Seri Kamariah Zakaria mengharapkan Mohammad akan cepat sembuh seperti biasa dan menasihati wakil Berita Harian dan Harian Metro di Besut itu sentiasa menjaga kesihatan dan patuhi nasihat doktor.

"Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana mempercepatkan tindakan yang perlu ke atas saudara Muhammad Ishak ini," katanya.

Idris bersama isteri (kanan) bersama Mohammad.
Mohammad menjalani pembedahan 'Angioplati Koronari' saluran jantung tersumbat pada 6hb April baru-baru ini dan keluar wad pada dua hari selepas itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Idris kerana sudi berkunjung ke rumah ini walaupun beliau sibuk dengan tugas sebagai Menteri.

"Juga terima kasih kepada semua yang datang melawat saya di Hospital ataupun di rumah dan kawan-kawan yang banyak memberi semangat kepada saya bagi menghadapi penyakit ini," katanya.

 Hadir sama bersama Idris ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Kuala Besut, Tengku Zaihan.- Aminudin Ismail


Taril pelancong ke Kelab Golf Bukit Besi

Oleh: Suriati Ali

Dalam usaha menarik lebih ramai pelancongan dan peminat sukan golf ke negeri ini, Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukkan RM850,000 bagi menambah baik infrastruktur Kelab Golf Bukit Besi, Dungun.

Perutukan itu diagihkan melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi menambah baik prasarana asas di kelab itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan itu berdasarkan kepada potensi yang dimiliki kelab golf itu untuk lebih mahu pada masa hadapan. Beliau melahirkan keyakinan, usaha yang dilaksanakan itu mampu menarik lebih ramai pengunjung luar dan pelancong ke Dungun.

“Sewajarnya pihak berkaitan perlu perbanyakkan program dan pertandingan di kelab golf ini sebagai langkah menambah bilangan ahli sedia ada,” katanya.

 Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kelab Golf Bukit Besi, di Dungun hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, YB. Roslee Daud dan Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud.

Sementara itu, Pengerusi kelab itu, Zakaria Awang berkata, kelab kini berwajah baru dengan pelbagai kemudahan infrastruktur tambahan setelah melalui proses menaik taraf dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.8 juta.

“Rumah kelab baru itu dinaiktaraf bagi menggantikan rumah kelab asal yang dibina sejak 22 tahun lalu kini mempunyai kemudahan yang lebih lengkap termasuk empat unit banglo dan 16 unit chalet untuk penginapan anggota kelab, pejabat, bilik mesyuarat dan kafeteria serta kedai menjual peralatan golf.

 “Proses naik taraf itu diharap mampu menarik kedatangan lebih ramai pemain golf dari dalam dan luar negara selain penganjuran lebih banyak kejohanan golf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kelab ini mempunyai lapangan 18 lubang di kawasan seluas 300 ekar, malah ini adalah satu-satunya padang golf yang dikekelingi tasik semulajadi dan masih kekal terpelihara dari sebarang pencemaran,” katanya.

 

MB Rasmi Kelab Golf Bukit Besi








Pandu Puteri Curah Bakti Hampir 100 Tahun

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mencecah 100 tahun penubuhannya telah banyak mencurah bakti kepada masyarakat dan menjadi nadi penggerak kepada golongan remaja dan wanita di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Zubir Embong (gambar) berkata, sebagai NGO yang lama bertapak di Malaysia sejak tahun 1961 lagi, jelas menunjukkan PPPM begitu komited untuk melahirkan golongan remaja dan wanita dewasa yang berkaliber serta mampu menjadi seorang pemimpin berwibawa.

“Usia penubuhannya yang hampir seabad cukup menggambarkan betapa luas pengalaman persatuan ini.

“Saya dimaklumkan, PPPM banyak mencurah bakti kepada masyarakat termasuk menyediakan aktiviti dan program yang bercorak pendidikan bukan formal dengan asasnya meliputi perkembangan diri, sahsiah dan intelek, minat dan hobi, gaya hidup sihat dan khidmat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu Kali Ke-25 di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua PPPM Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mohd Zubir dalam ucapannya turut memuji program-program dianjurkan persatuan itu yang dilihat mampu merakyatkan Pandu Puteri sekali gus memastikan PPPM terus relevan dan kewujudannya disedari dan dihargai oleh masyarakat.

Pada majis tersebut, seramai 300 ahli PPPM Cawangan Terengganu berhimpun bagi mendengar amanat yang Yang DiPertua PPPM dan membincangkan perkara berbangkit di Mesyuarat Agung yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Sultan Mahmud itu.

 

Festival candat sotong, peserta tertarik dengan budaya dan keindahan Setiu.

Peserta tertarik melihat penduduk membuat bakul anyaman.
Oleh: Aminudin Ismail.

KEBANYAKAN peserta dari dalam dan luar negara yang menyertai Festival Mencadat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 tertarik dengan pelbagai keindahan dan budaya di dua tempat yang mereka kunjungi pagi ini di Setiu, iaitu di Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Gong Batu, Kuala Setiu, hari ini.

Peserta yang tiba dengan tujuh buah bas dari Kuala Terengganu di kampung itu iaitu kira-kira jam 9.30 di bahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan satu yang kebanyakan terdiri daripada peserta dari China dan beberapa negara lain manakala kumpulan dua adalah terdiri daripada peserta tempatan.

Kumpulan pertama menaiki beberapa buah buah bot mengelilingi pulau semut sejauh kira-kira 1.5 kilometer di muara Kuala Setiu untuk melihat keindahan flora dan fauna dengan merakamkan gambar-gambar yang menarik sebelum ke kawasan pemeliharaan ikan dalam sangkar yang terletak kira-kira 500 meter daripada pengkalan.
Peserta dari China mengambil peluang merakam gambar menganyam tikar.

Tiba di kawasan pemeliharaan ikan dalam sangkar itu, peserta sempat merakamkan gambar-gambar dan menemubual beberapa pemilik sangkar ikan itu yang memelihari ikan kerapu dan siakap.

Selama kira-kira hampir dua jam di lagun Kuala Setiu itu, kumpulan tadi bergerak pula ke Kampung Pengkalan Gelap yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan laguna itu.

Di kampung itu, peserta didedahkan dengan pelbagai budaya penduduk tempatan antaranya ialah menganyam tikar, pameran kraf kerecut, membuat atap dan pemeran bakul yang diperbuat daripada lidi nipah dan membuat beberapa makanan tradisional.

Peserta juga, di bawa melihat kawasan hutan paya bakau (Setiu Wetland) di mana terdapat beberapa khazanah semula jadi antaranya ialah lokan dan belangkas.

Peserta sempat merakam semua aktiviti itu termasuklah dua wanita penduduk tempatan yang memerah keringat mencari lokan di kawasan paya bakau itu dengan memperolehi pendapatan sampingan bagi menambah pendapatan keluarga.
Seorang peserta luar merakam aktiviti mencari lokan.

Kira-kira jam 12.30 tengahari, peserta bergerak keTerrapuri HeritageVillage di Kampung Kuala Baru untuk menikmati hidangan tengahari dengan menampilkan beberapa makanan tradisional masyarakat Setiu antaranya ialah ‘Tok Haji Serban’ dan Ketupat Sotong serta hidangan nasi dagang, laksa dan nasi berlauk.

Ketika menjamu selera, peserta dipersembahkan dengan persembahan gamelan dan pertunjukan silat dari Kampung Apal Setiu.

Turut diadakan ialah diadakan acara pelepasan anak tuntung, demontrasi pukat tarik, demontrasi membuat laksa dan demontrasi gasing yang sememangnya begitu menarik perhatian peserta yang menyertai Festival itu.

Petang ini, kira-kira jam 4 petang, Kira-kira 200 peserta akan memulakan cabaran mencandat sotong di sekitar Pulau Chepu hingga ke Pulau Bidong.

Turut hadir ialah Dato Mohd Jidin Shafee, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Lizan Che Mat, Ketua Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhamad Azmidi Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Setiu dan beberapa pegawai pelancongan negeri.
Peserta Eropah tertarik melihat anyaman atap nipah.

Peserta di beri penerangan mengenai lokan.
Anyaman tikar mengkuang turut dipertonton.

Beberapa bot yang dinaiki peserta menyusuri Lagun Kuala Setiu.
Suasana di sangkar ikan Gong Batu.

 

Terengganu Tubuh Pasukan NBOS,

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu akan menubuhkan pasukan rondaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) sebagai langkah memperkasakan keselamatan dan mencegahkan jenayah di lokasi `panas’ di negeri ini.
Kolonel (K) Dato' Haji Mazlan Ngah melihat senjata canggih ATM di gerai pameran.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mazlan Ngah, berkata pasukan rondaan NBOS yang masih dalam permohonan dan bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat itu membabitkan dua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 Katanya, pasukan itu berperanan cukup penting untuk bersama-sama meningkatkan rondaan, mengawal jenayah dan memantau beberapa kawasan `panas’.






“Saya percaya kerjasama padu yang terjalin hasil persefahaman dan komitmen jitu bakal menyumbang kepada penurunan kadar jenayah yang ketara.

 “Kita memerlukan kerjasama seumpama ini bagi memantau keselamatan orang ramai, termasuk pelancong yang berada di negeri ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka ATM/PDRM di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Hamzah Md Jamil.

Datuk Mohamad Zaki berkata, penubuhan pasukan NBOS dapat memberitahu masyarakat setempat bahawa PDRM dan ATM mempunyai fungsi sama dalam mengurangkan kadar jenayah dan memantau keselamatan awam.

“Kita serah kepada PDRM untuk menentukan lokasi mana yang dirasakan perlu untuk tingkatkan rondaan, beberapa ramai anggota ATM yang PDRM ingini, kita akan hantar bagi tujuan itu,” katanya.

 Dato’ Hamzah berkata, negeri lain seperti Kelantan, sudah lama menubuhkan pasukan NBOS kerana indek jenayah di negeri itu dikatakan agak Tinggi. Katanya, bagi Terengganu pula, penubuhannya agak lambat kerana kadar jenayah masih terkawal dan tidak seperti di negeri lain.

 “Apabila dilakasanakan kelak, anggota terbabit akan bertugas mengikut tempoh tertentu.

 “Pihak kami sudah mengenalpasti beberapa lokasi `panas’, di samping mempertingkatkan kekerapan rondaan di kawasan tumpuan ramai, termasuk Taman Awam Batu Burok dan Pasar Besar Kedai Payang,” katanya..

 

Sekitar Anugerah Cemerlang SMK Pelong.

KENANGAN...beberapa pelajar SMK Pelong (SMKP), Setiu, Terengganu bergambar kenangan bersama guru dan jemputan khas selepas Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Cemerlang sekolah yang diadakan di dewan sekolah itu, kelmarin (Khamis).

Pengetuanya, Che Adan Che Muda, berkata seramai 57 pelajar SPM 2013 SMKP menerima sijil dan plak masing-masing pada hari itu.

"Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan sekolah dimenangi Nur Muhammad Ali Falahi M.Nor dan Anugerah Cemerlangan Kepimpinan Asrama milik Syahirah Lokman. Bagi Anugerah Kecemerlangan Ko Kurikulum pemenangnya ialah Muhammad Roshaidi Ramli.

Seorang pelajar menerima hadiah daripada Azmi.
"Siti Norfarah Ziana Alwi memenangi Anugerah Kecemerlangan Akademik Aliran Sosial manakala Nor Anapitrah Mohd Jidin pula menang Anugerah Kecemerlangan Akademik Aliran Sains Tulin," katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Setiu, Mohd Azmi Nazir yang mewakili Dato' Sabri Mohd Nor, Adun Langkap.

Turut hadir ialah Pengerusi PIBG SMKP, Johari Ismail dan Pengerusi JKKK Kampung Pelong dan Wakil PPD Setiu, Alias Husin.

Pada majlis itu juga turut diadakan Ikrar Pelajar, Aku Janji Pelajar PT3 dan SPM 2014, Penyampaian Hadiah dan persembahan pelajar.- Aminudin Ismail.
Azmi membuat pemeriksaan perbarisan.

Ikrar pelajar setia pada pelajaran.


Pelajar lelaki turut berikrar.



Tetamu jemputan majlis SMK Pelong.

11 April 2014

Cabaran peserta Festival Mencandat Sotong Antarabangsa bermula di Setiu.

Mohd Jidin...sampai sasaran.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 250 peserta Festival Mencandat Sotong Antarabangsa 2014, Terengganu dari dalam dan luar negara akan memulakan cabaran mencandat sotong di sekitar Pulau Chepu, Setiu bermula jam empat petang esok. (hari ini).

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, kesemua peserta itu tiba di Kuala Terengganu sejak beberapa hari lalu dan berakhir pada tengahmalam tadi melalui penerbangan terakhir FireFly dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.
Enak ... peserta dihidang pelbagai makanan tradisi Terengganu.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap program ini amat mengalakan di mana seramai kira-kira 250 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai festival ini dan ianya sudah mencukupi untuk program yang pertama kali kita adakan ini.

“Persediaan kita telah membuat begitu rapi termasuklah seramai 1,000 penjaga termasuk Polis di tugaskan untuk menjaga peserta ini dan kita akan bermula pada pagi ini, bermula ke Wetland Setiu dan beberapa tempat yang menarik.
Asyik .... melihat majalah promosi pelancongan Terengganu.

“Pada jam 4 petang  kita membuat persediaan untuk bertolak ke Jeti Fikri ataupun Kampung Mangkok untuk mencari tempat atau lokasi terbaik antara Pulau Chepu hingga ke Pulau Bidong dan kita berharaplah, esok cuacanya menarik,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Taklimat dan Makan Malam peserta mencandat sotong itu di Primula Hotel, Kuala Terengganu, sebentar tadi. (semalam).


Mohd Jidin berkata, peserta mencandat sotong itu dijangka akan kembali semula ke daratan kira-kira jam 10 malam dan akan meneruskan program itu untuk hari seterusnya.

Mesra .... meraikan kehadiran peserta.
Menurutnya, pihak penganjur akan sentiasa mengambil berat mengenai aspek keselamatan dan kesihatan peserta supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini kepada peserta sepanjang festival itu berlangsung.

Katanya, antara peserta dari luar negara yang mengambil bahagian ialah dari China, Spain, Perancis, Jerman, Itali, Iran, England, USA, Chile dan Kanada dan yang paling ramai ialah dari negara China iaitu seramai 32 peserta.




 

PESERTA FESTIVAL CANDAT SOTONG ANTARABANGSA TERENGGANU TIBA



Gembira...beberapa peserta tiba di LTSM, hari ini.
Oleh: Ruslan AR

PENGAMAL media dari luar negara, termasuk Negara China telah pun mula tiba ke Terengganu bagi menyertai Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014.

Peserta dari Chile seramai empat orang telah tiba semalam (10 April) melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu. Manakala pagi ini  (11 April) antara peserta luar negara yang tiba ialah China seramai 5 orang, India (3), Indonesia (4), Amerika Syarikat (2), Australia (1), Thailand (1), Hong Kong (1) dan Italy (1).

Tiga peserta luar negara teruja tiba di LTSM, hari ini.
Sehingga ini berita ditulis para peserta masih lagi tiba untuk menyertai pesta yang julung-julung kali diadakan bagi peringkat antarabangsa bagi tujuan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan.

Dijangka keseluruhannya wartawan, bloggers dan semua pengamal media luar negara yang bakal menyertai pesta ini ialah seramai 102 orang.

Mereka akan digabungkan dengan peserta tempatan terdiri kira-kira 100 orang pengamal media tempatan, terutamanya dari media arus perdana Malaysia dan juga bloggers terkemuka di negara ini.

Mereka menginap di beberapa hotel utama di bandar Kuala Terengganu, termasuklah Hotel Primula, Permai Inn dan Grand Puteri.

Malam ini para peserta akan diraikan dalam satu majlis makan malam di Hotel Primula serta diberi taklimat sebelum akan berlepas ke Setiu Wetland keesokannya dan mencandat sotong di sekitar laut di daerah Setiu.
Gambar-gambar: Harris Fadzillah

Peserta dari China yang tiba hari ini.

 

Dalami a-Quran Elah Syiah

Umat islam terutama golongan muda di Terengganu di minta berusaha mempelajari dan menghafaz al-Quran bertujuan mengelak terjebak daripada gejala sekularisma, liberalisme , syiah dan anti hadith.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kita juga perlu memartabatkan agama kita melalui al-Quran, jangan lupa bahawa hadith Nabi S.A.W merupakan sumber penting dalam ajaran islam. Katanya, hadith sahih perlu dipelihara dan dipelajari manakala hadith palsu hendaklah dibendung penyebarannya.

Golongan anti hadith yang hanya menggunakan logik akal juga wajar disekat dan diambil tindakan tegas.
“Mana mungkin kita boleh terpengaruh dengan fahaman ini, sedangkan di dalam al-Quran mengajar kita supaya mencontohi dan menjadikan Rasullullah S.A.W sebagai ikon serta ikutan melalui teladan yang baik,’’katanya

. Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Tilawah Al-Quran peringkat Terengganu, di Padang Majlis Daerah Marang, malam tadi. Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 Qari terbaik dimenangi, Ahmad Tarmizi Ali dari Dungun, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000, sijil penyertaan, piala pusingan serta layak mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung mulai 13 hingga 17 Mei.

 Naib johan, Aziz Mohammad (Hulu Terengganu) membawa pulang RM5,000 beserta sijil dan tempat ketiga dimenangi, Abu Bakar Deraman (RM4,000).

Manakala Qariah terbaik pula Nur Hidayah Abd Rahman, 23, memenangi wang tunai berjumlah RM7,000, sijil penyertaan, piala pusingan dan layak wakil Terengganu. Tempat kedua Azizah Zakaria dan ketiga pula Raziyati Mohd Ali.

 

Qari dan Qariah wakili Terengganu ke Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan

Majlis Tilawah al-Quran peringkat Negeri Terengganu berakhir malam tadi (10 April) di Dataran Marang dan majlis penutup dan penyampaian hadiah selamat disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said.


Qari dan Qariah yang akan mewakili Terengganu di Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti.