Halaman

21 June 2014

42 penuntut Unisza cat petak kubur.

Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 42 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) memerah keringat hampir setengah hari dengan melakukan kerja amal dengan mengecat nisan dan petak kubur di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, hari ini.

Aktiviti yang dilakukan melalui program ‘Unisza Bersamamu’ itu bermula kira-kira jam 8.30 pagi dan berakhir tengahari.

Pelajar dari jurusan syariah, pegurusan, TESL dan kejururawatan itu melakukan kerja-kerja membersih dan mengecat semula batu nisan dan petak kubur dengan dibantu penduduk kampung yang membersih kawasan tanah perkuburan itu.

Tiga penuntut lelaki tekun mengecat.
Seorang penuntut, Mohd Sabri Hamid berkata, acara gotong royong membersih kawasan tanah berkuburan itu adalah anjuran bersama JKKK Padang Nenas.

“Program ini adalah satu kerja amal yang kami lakukan sebagai memenuhi aktiviti sampingan selain belajar dan ianya bagi megeratkan hubungan antara peserta dan masyarakat setempat,” katanya.

Selain acara gotong royong itu, acara lain yang diadakan melalui program itu ialah taklimat kesihatan, sukaneka, gerai pamiran, pertandingan mewarna dan forum hal ehwal Islam yang bertajuk “Merindui Ramadhan”.

Turut hadir ialah Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail dan Pengerusi JKKK Kampung Padang Nenas.
Dato' Basir turut mengecat.

Penduduk kampung turut membantu.

 

Kesihatan Besut lancar Kempen Bulan Kesedaran Denggi



Orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan.
Oleh: Mohammad Ishak.

JUMLAH kes denggi yang dilaporkan berlaku di daerah Besut yang semakin meningkat memerlukan kerjasama orang ramai untuk memerangi wabak berkenaan daripada terus merebak dikalangan orang awam.

Kempen Bulan Kesedaran Denggi Peringkat Daerah Besut yang dilancarkan hari ini sebahagian daripada usaha Pejabat Kesihatan Daerah itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya demam denggi.

Pelancaran yang dilakukan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh yang berlangsung di Tapak Medan Selera Bandar Jertih, memberi impak besar kepada penyertaan penduduk dan komuniti setempat terhadap kempen berkenaan.

Katanya, daerah itu menduduki carta tempat kedua jumlah kes demam denggi tertinggi yang dilaporkan selepas Kemaman, memerlukan perhatian semua pihak untuk berusaha membasminya.

Sempena pelancaran itu pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuklah senamrobik, gotong royong,pertandingan mewarna, ceramah denggi, kuiz, pamerah, dan pemeriksaan kesihatan percuma. 

Menurutnya, sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini 22 kes demam denggi dilaporkan di seluruh daerah itu, tetapi sehingga ini tiada kes kematian dicatatkan.

“Oleh itu orang ramai perlu meningkatkan tahap kesedaran dengan menjaga kebersihan di persekitaran kediaman masing-masing bagi mengelak nyamuk membiak,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan terserah kepada pihak berkuasa tempatan sahaja, sebaliknya orang ramai juga patut menyedari ia satu tanggungjawab bersama.

 

Pegawai Pembangunan Kuala Nerus dekati rakyat.

SUMBANGAN...Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail menyerahkan sebuah hamper kepada pesakit diabetis, Zaimah Yusof di rumah pesakit itu di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, hari ini.

Sebanyak kira-kira tujuh buah rumah pesakit dikunjungi  beliau bersama Pengerusi JKKK Padang Nenas, Razali Malik bagi menyerahkan hamper yang berupa barangan dapur sebagai persiapan awal menghadapi bulan Ramadan selain menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi penduduk.

"Program ini adalah untuk mendekati golongan berpendapatan kecil dan pesakit. Sekitar tujuh atau lapan orang dalam satu JKKK akan dikunjungi sehingga sebelum bulan puasa ini. 



Basir mendengar sesuatu dari seorang pesakit, Ramlah Ismail, 60, ketika beliau mengunjungi rumah pesakit itu di Kampung Padang Nenas, hari ini.  
"Program seperti akan diteruskan bukan sahaja kerana untuk kita menghadapi Ramadan tetapi ianya akan diteruskan selepas bulan Ramadan ini.

"Saya mengharapkan semua penduduk memberi sokongan padu kepada Y.A.B Menteri Besar, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman kerana MB sekarang ini lebih terbuka dan menumpukan kepada program cakna rakyat," katanya yang akan berusaha sedaya upaya menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.-Aminudin Ismail.
Basir  membonceng motosikal mendekati penduduk.

 

20 June 2014

34 penduduk Perumahan Awam Seberang Jertih sertai lawatan bermaklumat.

Rombongan bergambar kenangan di dataran RTM, Angkasapuri.
Oleh: Mohammad Ishak.

SERAMAI 34 penduduk Perumahan Awam Seberang Jertih menyertai lawatan bermaklumat ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah , Puterajaya dan Kuala Lumpur selama tiga hari yang berakhir semalam. 

Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Seberang Jertih dengan kerjasama Pejabat Daeraah Besut itu bertujuan mendedahkan peserta dengan pembangunan semasa oleh kerajaan negeri dan pusat.

Setiausaha JKKK berkenaan, Wan Mohamad Ibrahim berkata program yang julung kali diadakan itu berjaya memberi pengetahuan dan kefahaman kepada peserta apabila mereka mendapat pelbagai imput daripada pihak terbabit.

Beberapa peserta rombongan ketika di Melaka.
Katanya, sempena program itu pihaknya berpeluang mengadakan lawatan ke Kampung Pengkalan Batu,Melaka Tengah yang muncul kampung terbaik dalam pelbagai aspek di negeri Melaka.

Menurutnya, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh yang turut serta menyertai lawatan ke kampung itu sempat melawat dan beramah mesra dengan ahli jawatankuasa JKKK Kampung itu serta penduduk.

Ketika di Puterajaya, peserta dibawa melawat Kementerian Pendidikan Malaysia dan diberi taklimat megenai fungsi kementerian oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan II, Dato’ Abd Halim Jusoh. 

Manakala lawatan terakhir peserta terbabit ialah melawat Angkasapuri dan diberi taklimat serta meninjau studio, bilik rakaman,konti radio serta wisma TV.

 

19 June 2014

Penanam tembikai Batu Rakit terima bantuan baja.

KENANGAN...Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama penerima bantuan baja, kakitangan Unit Pertanian Maras dan PPK Maras/Batu Rakit pada majlis penyerahan baja kepada petani terbabit di Kampung Bukit Chempaka Batu Rakit, baru-baru ini.

Bazlan berkata, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Unit Pertanian Maras, PPK Maras/Batu Rakit atas sumbangan baja kepada penanam tembikai itu.

"Saya mengharapkan dengan bantuan baja ini, hasil tanaman tembikai akan bertambah baik pada musim ini dan ianya sekaligus dapat mempertingkatkan pendapatan petani di kawasan ini," katanya.- Aminudin.

 

18 June 2014

UKOM anjur Kursus Pengurusan Media.

FOKUS...sebahagian daripada seramai 42 peserta Kursus Pengurusan Media sedang memberi perhatian kepada ceramah yang disampaikan seorang penceramah ketika menyertai program itu yang diadakan selama tiga hari dua malam di Mutiara Beach Resort, Pulau Redang.

Program anjuran Unit Komunikasi (UKOM) Negeri Terengganu itu berakhir semalam dan ia diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman tentang cara menguruskan media bagi menjayakan sesuatu program serta tanggungjawab kemanusian.

Mohd Razif berucap ketika majlis penutup program, semalam.
Jurucakap UKOM berkata, antara penceramah yang dijemput ialah Jagjit Singh dari Kementerian Penerangan Malaysia dan seorang pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

"Perasmian program dilakukan Pengarah AMPT, Omar Adam manakala perasmian penutup dilakukan oleh Mohd Razif Abdul Majid Timbalan Pengarah (Pengurusan) UKOM. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah UKOM, Ruslan Abdul Rahman", katanya.- Aminudin Ismail.
Jagjit...kongsi ilmu pengurusan media.

 

Rahmah gigih usaha rempeyek.

SEDAP...Pengusaha rempeyek, Rahmah Salleh (kanan) dari Kampung Seri Kenangan, Langkap, Setiu bersama seorang rakannya sedang menunjukan bungkusan rempeyek yang diusahakanya sejak tujuh tahun di bangunan Kemas di kampung itu.

Beliau yang mengusahakan rempeyek bersama suaminya Khairuddin Saad memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM500 pada 2007 dengan mengedarkan makanan itu di beberapa kedai runcit sekitar daerah Setiu dan Kuala Berang.

"Pada 2010 saya mula meluaskan pasaran dengan memasukan produk saya ini ke sebuah pasaraya terkenal di Kuala Terengganu dan Alhamdulillah sambutannya begitu mengalakkan," katanya yang kini mampu mengeluarkan sebanyak kira-kira 700 bungkus rempeyek sebulan.

Rahmah yang mendapat bimbingan dari Kemas dan Risda itu berhasrat mahu mempertingkatkan pengeluaran rempeyeknya dengan meluaskan pasaran ke daerah-daerah lain selain menerima tempahan daripada orang-ramai.- Aminudin.

 

17 June 2014

Sidang DUN : Terengganu Bida Hak Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Dunia


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, kerajaan negeri sedang menyediakan kemudahan infrastruktur yang memenuhi piawaian ditetapkan.

“Penganjuran itu mampu menjana ekonomi Terengganu dengan lebih pesat dan memberi impak positif kepada rakyat dalam pelbagai aspek khususnya pelancongan,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Zawawie, anak Terengganu berjaya di Bandar Kajang.

VISI A milik Zawawie yang terletak di tengah bandar Kajang.
Oleh: Aminudin Ismail.

BERMULA dengan hanya 10 pelajar pada 1994, Zawawie Jaafar bersama isterinya, Muntaz Bee Abdul Aziz gigih mengusahakan sebuah kelas tuisyen di rumah selama beberapa tahun sebelum mempunyai sebuah pusat tuisyen sendiri di tengah-tengah bandar Kajang yang kini mempunyai kira-kira seramai 400 pelajar.

Zawawi yang berasal dari Kampung Mak Cili, Kemaman mula berhijrah ke Kajang pada 1987 dengan bekerja sebagai Pegawai Penjara Kajang dan pada masa sama beliau membantu isterinya mengusahakan kelas tuisyen apabila habis waktu bekerja.

Zawawie...gigih usaha pusat tuisyen.
“Isteri saya seorang guru, dia memang berminat untuk membuka kelas tuisyen ketika dia masih menuntut lagi. Pada mulanya, saya hanya membantu mentadbir kelas tuisyen apabila habis waktu bekerja dan apabila pelajar semakin ramai saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa pada pusat tuisyen,” kata Zawawie.

 Dia yang berhenti kerja pada 2008 itu, berkata, pada awalnya agak sukar untuk beliau bersaing dengan pusat tuisyen yang banyak di sekitar Bandar Kajang tetapi berkat keazamannya yang tinggi akhirnya Zawawi berjaya dalam bidang yang diceburinya itu.

Pusat tuisyennya yang diberi nama VISI A semakin dikenali ramai di Bandar Kajang dan mampu bersaing dengan beberapa pusat tuisyen ternama di Bandar itu.

“Bandar Kajang ini tidak ramai pelajar Melayu dan kebanyakannya Cina dan India tetapi selepas beberapa lama beroperasi, pusat tuisyen saya diberi nama Visi A, akhirnya mendapat tempat di kalangan bangsa Cina dan India di samping beberapa pelajar Melayu.

“Kini saya mempunyai kira-kira 400 pelajar yang terdiri daripada pelajar dari empat buah sekolah menengah sekitar Kajang ini. Manakala guru pula seramai 32 orang yang bertugas mengikut jadual,” katanya yang bersaing dengan 13 pusat tuisyen lain.

Sebagai seorang yang meminati bidang pendidikan, Zawawie yang mempunyai tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan itu berhasrat mahu membantu pelajar-pelajar di negeri kelahirannya suatu hari ini.

“Buat masa ini saya mahu menumpukan pusat tuisyen ini kerana kami sekeluarga menetap di sini tetapi jika mempunyai modal saya juga berhasrat mahu membuka cawangan pusat tuisyen di Chukai, Kemaman atau di Kuala Terengganu suatu hari ini nanti bagi membantu pelajar untuk lebih berjaya dalam peperiksaan terutamanya UPSR dan SPM,” katanya yang banyak membantu kempen jentera UMNO Terengganu dalam pilihanraya Kajang tidak lama dulu.

 

16 June 2014

UCB tuan rumah Sukan Masiswa

Oleh: Esah Abdullah

Universiti College  Bestari  (UCB)  Setiu akan menjadi tuan  rumah Majlis Sukan Institut Pengajian Tinggi Swasta  (Masiswa 2014) Zon Timur  meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu  bermula 19  Jun ini.

Naib Censelor UCB, Prof Dr Mustafa Ismail  berkata, seramai 2000 peserta daripada 16 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan menyertai Kejohanan  Masiswa  yang berlangsung  selama tiga hari.


Katanya,  sebanyak lapan acara akan dipertandingkan dalam kejohanan itu antaranya termasuklah
bola sepak, badminton, pingpong, bola jaring, bola tampar dan sepak takraw.

"Satu  acara sukan terbaru yang diperkenalkan pada kejohanan kali ini ialah acara pentanque,'' katanya  dalam sidang media di Pejabat Perkaya hari ini. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal.Pelajar & Alumni) Prof Madya Ahmad Suhaily Mohd Salleh

Beliau berkata,  tiga lokasi pertandingan dipilih membabitkan Kompleks Sukan Gong Badak, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Kolej Kesihatan Batu Rakit.
Beliau berkata, antara  IPTS di Terengganu  yang akan menyertai kejohanan itu ialah Kolej University Bestari sendiiri, TATI University College, Kolej TESDDEC , INSTEP,  dan Kolej Teknologi dan Inovasi (KRIM).

Manakala IPTS di Kelantan ialah Kolej  Islam Antrabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS),   dari Pahang antaranya University Tenaga Nasional, Kolej Poly-Tech Mara,Kolej PTPTL  dan International College (IKIP).

Menurutnya, kejohanan sukan tersebut akan menjadi pemangkin hubungan baik dan jalinan kerjasama antara pelajar dan kakitangan di samping dapat mencungkil bakat baru untuk persiapan ke peringkat kebangsaan pada akhir tahun ini.


Katanya, majlis perasmian akan dilakukan Menteri Besar Dato' Haji  Ahmad Razif Abdul Rahman manakala   penutup oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri  Terengganu, Encik  Ab Rasid Jusoh.


15 June 2014

100 Kolej Komuniti beroperasi akhir tahun ini- Idris Jusoh.

Rasmi...Idris sedang melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Pehemi dan Ketua Pengarah Kolej Kominiti (kiri), di Jertih, hari ini.
Oleh: Mohammad Ishak.

KEMENTERIAN Pendidikan mensasarkan 100 Kolej Komuniti akan beroperasi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, bagi memenuhi sasasaran itu Sembilan lagi kolej akan dibuka di kawasan Parlimen terpilih seluruh negara.

Katanya, ketika ini 91 Kolej Komuniti termasuk terbaru di Besut sudah beroperasi dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran untuk pelajaran lepasan sekolah menengah dan pesara.

Seorang tenaga pengajar memberitahu sesuatu kepada Idris
Menurutnya, daripada jumlah itu tiga ditubuhkan di Terengganu masing-masing di Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut. Beliau berkata, sehingga ini 91.3 peratus pelajar lepas kolej berkenaan sudah mendapat tawaran kerja terutama dalam sektor industri.

“Kejayaan pelajar lepasan kolej mendapat tawaran kerja membuktikan kepercayaan pihak terbabit terhadap keupayaan pelajar dalam bidang kemahiran masing-masing,” katanya.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolej Komuniti Besut, di tapak Medan Selera Jertih, hari ini. Hadir sama Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti,

Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau berkata, pembukaan Kolej Komuniti Besut diharap dapat menlahirkan pelajar berkemahiran tinggi dalam industri minyak dan gas sekali gus memenuhi pasaran kerja dalam industri di bawah seliaan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Perkaya belanja RM3 juta setahun untuk anak yatim

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Perkaya) Terengganu membelanjakan kira-kira RM3 juta setahun untuk kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

Dato' Tengku Mahmud
Yang Dipertua Perkaya, Prof Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta adalah sumbangan kerajaan negeri manakala selebihnya oleh Perkaya.

"Saya amat mengalu-alukan sokongan orang ramai dan amat berterima kasih kepada penyumbang yang tidak putus-putus datang terutama dalam bentuk barangan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-anak Yatim Tahun Tiga dan Enam Sekolah Rendah Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, pihak Perkaya juga membelanjakan RM300,000 setahun bagi mengurus Sekolah Menengah Akademik Tahfiz (SMAT) yang terletak di Marang.

"SMAT telah ditubuhkan tahun lalu mempunyai 190 pelajar yatim yang sedang belajar dalam Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang memberi penekanan dalam bidang hafiz al-Quran dan akademik," katanya.

Menurutnya, Perkaya kini mempunyai empat buah asrama anak yatim iaitu di Marang, Besut, Beladau Kolam dan Jerangau, Dungun yang menempatkan 600 pelajar.

Tahun ini Perkaya memperuntukkan RM80,000 untuk membeli pakaian raya bagi diagihkan kepada 1,200 pelajar yatim seluruh negeri.

 

Isteri MB agih pakaian raya kepada anak yatim

To' Puan Hajjah Halina menyampaikan sumbangan pakaian raya kepada anak-anak yatim.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Kerajaan negeri menghargai usaha Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim  (Perkaya) Terengganu  menjaga golongan itu dari setiap sudut termasuk dalam bidang pendidikan.

Isteri  Menteri Besar, To' Puan Hajah Halina Zakaria berkata,   usaha Perkaya mewujudkan asrama, sekolah  tahfiz dan juga universiti  membuka peluang lebih luas kepada golongan anak yatim di negeri  ini untuk kemenara gading.



"Saya   bangga kerana Perkaya berjaya menubuhkan Sekolah Menengah Akademik Tahfiz (SMAT) bertempat di Marang," katanya ketika berucap di majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-anak Yatim Tahun Tiga dan Enam Sekolah Rendah Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Perkaya, Prof Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor dan  Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Terengganu, Haji Ngah Bidin.

Katanya, Perkaya  merupakan sebuah pertubuhan kebajikan yang memberi khidmat untuk memajukan anak yatim khuususnya dalan bidang pendidikan di negeri ini.


"Saya menyeru anggota masyarakat dapat membantu Perkaya  sama ada dengan kewangan atau sokongan moral  bagi menjayakan wawasan  pertubuhan itu dari semasa ke semasa," katanya.

Menurutnya, dengan adanya tumpuan  pendidikan di peringkat  rendah dan menengah anak-anak yatim ini lebih berjaya dalam pendidikan mereka  dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti College Bestari (UCB) kepunyaan Pertubuhan Anak-anak Yatim Kebangsaan (Peyatim) di Setiu.


Pada majlis itu seramai  853 pelajar  yatim dalam daerah Kuala Terengganu  menerima sumbangan pakaian  raya yang disampaikan To' Puan Hajah Halina.


Tahun ini Perkaya memperuntukkan RM80,000  untuk membeli pakaian raya bagi diagihkan kepada  1,200 pelajar yatim seluruh negeri.


500 wanita Besut timba pengalaman memasak dari Chef Wan..

Lazat...Pehimi sedang memberitahu sesuatu kepada Chef Wan mengenai masakan yang disediakan chef itu di Kampung Gong Kemuntong, Besut.
Oleh: Mohammad Ishak.  

SERAMAI 500 wanita daerah Besut khususnya golongan suri rumah berkongsi pengalaman dalam bidang masakan bersama Chef selebriti dan duta masakan terkenal Malaysia,Dato’ Redzuawan Ismail atau lebih dikenali dengan “Chef Wan”.

Mereka dipillih menyertai Program Sajian Al-Barakah anjuran Empower ECER yang berlangsung sehari di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, dekat Jertih.

Program julung kali diadakan di negeri ini bertujuan memberi kemahiran kepada golongan wanita dalam bidang masakan terutama persediaan resepi yang sesuai untuk hidangan keluarga sepanjang Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Sebahagian peserta yang hadir.
Kehadiran Chef Wan mengendalikan program itu menarik minat peserta mendengar celoteh selain menimba pengalaman baru baru dalam kaedah menyediakan masakan pada bulan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih merasmikan program berkenaan.

Chef Wan menggunakan kesempatan waktu tiga jam untuk mengendalikan program itu dan membuka rahsia bagaimana menjadi tukang masak terkenal dan ia menjadi idola kepada golongan wanita negara ini.

Muhamad Pehimi, ketika merasmikan program itu memuji usahakan yang dilakukan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi Empower ECER menganjurkan program berfaedah itu.

Beliau berharap, pihak terbabit merancang lebih banyak kursus kemahiran untuk golongan wanita khusnya suri rumah dan ibu tunggal bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dalam pelbagai bidang yang mereka minati untuk diterokai..