Halaman

01 June 2013

Hormati penjalan kaki dan penunggang basikal - JKJR

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Keselamatan Jalan Raya Terengganu (JKJR) minta para pemandu kenderaan agar sentiasa ‘membudayakan’ memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal semasa di jalan raya.

 Pengarah JKJR Terengganu, Encik Ahmad Firdaus Haron berkata, meskipun Kempen Keselamatan Pejalan Kaki sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2013 yang bermula 13 Mei di seluruh negara telah berakhir namun sikap saling menghormati di jalan raya perlu berterusan.

Menurutnya, pejalan kaki dan penunggang basikal lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

“Kita menyarankan kepada para pemandu kenderaan dengan menjadikan satu budaya semasa memandu dengan sentiasa menghormati serta memberikan keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Pejalan kaki itu sendiri juga diingatkan supaya dapat menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat dan juga jejantas yang telah disediakan demi keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.

Menurutnya, pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

Selain itu katanya, terdapat 10 petua keselamatan bagi mengurangkan berlakunya kadar kemalangan antaranya termasuklah memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan juga penunggang basikal.

 “Sentiasa merancang perjalanan, ikut had laju yang ditentukan, mematuhi garis panduan semasa memotong dan juga berhenti apabila lampu isyarat merah.

“ Elakkan daripada mengekori kenderaan lain, periksa cermin dan beri isyarat sebelum melakukan pertukaran lorong, ikut lorong yang betul, tidak memotong barisan, tidak mencelah diantara kenderaan lain dan juga sentiasa sabar ketika memandu,” katanya.

 

31 May 2013

TATiUC anjur karnival pendidikan 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) menganjurkan Karnival Pendidikan TATiUC 2013 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) selama tiga hari bermula semalam.

Timbalan Rektor TATiUC, Zulkifli Mohamad berkata, tujuan karnival ini diadakan adalah untuk membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma membuat pilihan bagi melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) selain menyebarkan maklumat berkenaan peluang pendidikan dan perancangan kerjaya.

"Ianya juga untuk memastikan golongan pelajar, belia serta graduan membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju karier masing-masing pada masa hadapan.

"Secara tidak langsung, karnival ini juga dapat mempromosikan lagi program-program akademik yang terdapat di TATiUC kepada para pelajar,” ujarnya.

"Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Pendidikan TATiUC 2013 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Tambah beliau, TATIUC menyasarkan pengambilan pelajar baru seramai 1000 orang untuk tahun ini.

"Selari dengan hasrat membangunkan TATiUC ke arah menjadi universiti penuh menjelang 2015, saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang karnival berlangsung antaranya pameran pendidikan, cabutan bertuah dan sebagainya.

 

Pasar Payang baru tetap dibangunkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tetap dengan keputusan meneruskan usaha membangunkan Pasar Payang yang baru, walaupun masih terdapat desakan dari segelintir pihak yang kurang senang dengan tindakan itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pembangunan Pasar Payang baru itu akan diteruskan seperti jadual asal dan berjalan tidak lama lagi.

 “Sampai masa kita akan buat pembangunan dan pembaharuan supaya keadaan lebih selesa kepada peniaga dan juga pelanggan Pasar Payang.

“Kita sudah buat keputusan dan perbincangan pun sudah dilakukan dengan peniaga apa yang dikehendaki mereka, termasuk peniaga ikan yang mahu berpindah ke satu tempat disediakan berhampiran tapak asal, kita ikut, kita tiada masalah,” katanya.

Menteri Besar berkata, pembangunan Pasar Payang baru yang lebih menarik, selesa serta mengekalkan nama Pasar Payang sepatutnya tidak lagi mengundang rasa tidak senang dan isu kepada segelintir pihak.

“Saya tidak faham, apabila ada pihak bercakap soal nilai estetika dan warisan. Jika mahu kekal warisan kita buat seperti Bazar warisan, kita kekalkan tradsinya dan dalam tradsi ada kemodenan termasuk dilengkapi eskalator, penghawa dingin dan juga keselamatan.

“Sekarang ini tidak berlaku rompakan. Apa kata jika berlaku rompakan di kedai emas. Ini kawasan awam, jika ada tembak menembak, pasti menggugat nyawa orang awam. Dari segi keselamatan awam dan juga bangunan itu sendiri. Sebab itu yang baru kita susun atur kedai dengan lebih seragam, jika kedai emas di kawasan sama serta dilengkapi pula jambatan menghubungkan pasar dengan hotel,” katanya.

Katanya, hanya sgelintir rakyat yang tidak faham dan sengaja mencipta isu sahaja melihat pembangunan Pasar Payang itu menimbulkan masalah, sedangkan ia dibangunkan untuk keselesaan semua pihak termasuk peniaga dan juga pengunjung premis itu sendiri.

Sebelum ini, kerajaan negeri merancang menggantikan Pasar Payang yang sedia ada selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan bangunan itu tidak lagi selamat kepada orang ramai.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran pasar berkenaan, di mana projek itu akan dimulakan tidak lama lagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, kotor dan mencemarkan imej Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

 

30 May 2013

PULIHARALAH PENYU AGAR TIDAK MENANGIS LAGI

Oleh; Lang Telipot



Baru-baru ini Universiti Malaysia Terengganu, UMT telah menganjurkan Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan di perairan Pulau Bidong dan Redang.

Ia turut disertai oleh pengamal media tempatan dan juga Kuala Lumpur di samping pelajar-pelajar universiti berkenaan.

Ia merupakan suatu program yang cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya menghargai alam sekitar yang indah dan menarik serta berusaha memuliharanya, termasuk hidupan yang terdapat di dalamnya, khususnya penyu.

Penyu adalah merupakan identiti bagi negeri Terengganu, terutamanya Pantai Rantau Abang yang suatu masa dulu amat terkenal dengan kehadiran penyu belimbing iaitu sepsis penyu yang bersaiz besar.

Apa yang unik dalam program Surival Laut ini, bilamana peserta dibawa ke lokasi sarang penyu di pantai Chagar Hutan Pulau Redang.

Di situ terdapat pihak unversiti berkenaan menerusi Unit Penyelidikan Penyu aktif menjalankan penyelidikan dan usaha pemuliharaan mengenai penyu di negara ini.

Ia menjadi agensi ulung dalam projek penyelidikan penyu. Unit tersebut diasaskan pada 1993 oleh bekas pensyarah Prof. Dr. Chan Eng Heng dan Prof. Madya Liew Hock Chark, tetapi penyelidikan mengenai penyu telah dijalankan sejak 1984 yang mana ketika itu melibatkan penyu belimbing. Sejak itu, tiga pendekatan diambil bagi menangani isu kepupusan penyu iaitu pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan. Antara program pemuliharaan yang dijalankan termasuk program pengeraman telur penyu secara in-situ, manakala aktiviti penyelidikan yang dijalankan termasuk pelabelan dan perlindungan sarang di Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang, Terengganu.

Dia penyelidikan utama dijalankan ialah bagi pemuliharaan penyu jangka panjang seperti yang disebutkan iaitu penandaan dan penjagaan sarang dan keduanya ialah penyelidikan mengenai biologi, ekologi, ancaman penyu dan program restorasi.

Contoh penyelidikan yang dijalankan menenai aspek-aspek tersebut ialah kajian genetik penyu, kajian suhu pengeraman penyu, penjejakan satelit, kajian persarangan penyu dan kajian logam berat dalam telur penyu.

Menerusi program tersebut, telur penyu dibiarkan tanpa gangguan di sarang secara semula jadinya.

Ia telah dijalankan sejak 1993 yang merupakan program jangka panjang. Penyu mengambil masa antara 30 dan 50 tahun untuk matang.

Anak-anak penyu yang dilepaskan pada tahun sejak 1993 belum lagi kembali ke Pulau Redang.

Menurut penyelidik yang kini mengambil alih peranan mengetuai penyelidikan itu, Dr . Juanita Joseph, program pemuliharaan di pantai berkenaan bertujuan melindungi anak penyu daripada pemangsa dan meningkatkan penetasan.

Juanita yang juga pensyarah di Jabatan Sains Marin, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin berkata, sebelum Chagar Hutan diwartakan sebagai pusat perlindungan penyu, semua sarang di situ dibeli daripada pengutip telur berlesen pada harga RM120 setiap sarang.

Hampir RM500 ribu diperuntukkan dari 1993 hingga 2004 untuk membeli sarang-sarang berkenaan.

Sejak itu, sebanyak 5,261 sarang penyu agar dan 111 sarang penyu karah dilindungi menerusi program tersebut. Daripada itu, sebanyak 350,000 penyu agar dan 7,000 sarang penyu karah menetas dan anak penyu dilepaskan ke laut.

Pada 1989 pula, projek pengesanan penyu menggunakan isyarat gelombang radio, ultrasonik dan satelit. Projek tersebut bertujuan mengesan pergerakan penyu menggunakan gelombang radio dan satelit telemetri dan sejauh mana pergerakannya.

Namun dengan perkembangan semasa, penyelidikan mengenai penyu dipertingkatkan dengan memanfaatkan bioteknologi. Kajian genetik populasi penyu telah dijalankan oleh beliau semenjak tahun 1998 manakala pada tahun 2003-2006, kajian tersebut telah dijalankan pula dengan menggunakan teknik yang terbaru.

Menurut Juanita, sejak dua tahun lepas beliau bersama seorang lagi penyelidik menjalankan penyelidikan menggunakan DNA untuk menentukan asal usul penyu agar dan karah daripada kawasan pemakanannya di sekitar perairan Malaysia.

Demikian usaha-usaha yang dijalankan bagi menyelamatkan hidupan penyu di laut dan bumi Terengganu.

Marilah kita semua sama-sama membantu usaha-usaha berkenaan. Kepada mereka yang gemar memakan telur penyu, bolehlah berjanji kepada diri sendiri agar tidak mahu memakannya lagi bagi membantu mengelak kepupusannya.

Biarlah telur itu dibiarkan bebas menetaskan anak-anak penyu untuk tempoh jangka masa yang panjang.

Selamatkan penyu dan pastikan negeri Terengganu terus menjadi negeri destinasi penyu dan jangan sampai Penyu Menangis seperti yang pernah diungkapkan oleh penyair terkenal Terengganu, Allahyarham JM Aziz.

 

KPDKNKK wujud `Skuad Pengguna’

Oleh: Suriati Ali 

 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaaan (KPDNKK) akan memperkasakan `Skuad Pengguna’ yang berperanan sebagai mata dan teliga kerajaan bagi membantu memantau harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

 Sehingga kini terdapat lebih 130,000 ahli skuad pengguna di seluruh Malaysia yang turut menikmati insentif potongan harga daripada rakan dagang yang menyertai program ini.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek, berkata pihaknya juga akan menambah lagi bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di mana pengguna boleh menikmati sarapan pada harga siling RM2 dan set juadah tengah hari pula pada harga RM4.

Katanya, melalui kuasa yang ada pada pengguna, mereka boleh mecorakkan pola permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

 “Pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewengan dan penindasan oleh peniaga, tidak berlaku sewenang-wenangnya, “ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bulan Pengguna Kebangsaan 2003, di Perkarangan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Dato’ Paduka Ahmad Bashah Mat Hanipah dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Roslee Daud

 Dato’ Hasan turut memberitahu, menjadi komitmen kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan dan mekanisme perlindungan pengguna tetapi pengguna tidak boleh mengharapkan perlindungan, permantauan dan penguatkuasaan daripada kerajaan semata-mata.

 “Sehubungan itu, kementerian akan terus memberi komitmen untuk mewujudkan masyarakat penggunan yang berinformasi serta mempunyai semangat sukarelawan tinggi. “Sempena sambutan bulan pengguna, pihak kami telah melaksanakan

 

Ketengahkan dokumentari dan sains fiksyen

Oleh: Noraini Jusoh

"Bagi memeriahkan lagi industri seni tanah air, dokumentari dan sains fiksyen merupakan dua produk yang boleh diketengahkan dan amat bersesuaian dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekiranya menjalin kerjasama dengan penggiat industri kreatif,” kata Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Menurut beliau, negara kita mempunyai kepelbagaian, keunikan dan keindahan yang luar biasa tetapi penggiat seni kurang menghasilkan filem atau video dokumentari yang boleh dipasarkan di peringkat global.

"Kalau kita tengok Astro contohnya, siaran ‘history’, ‘national geographic' dan sebagainya yang berbentuk dokumentari mempunyai ramai peminat malah paparan sedemikian bukan sahaja menarik tetapi bersesuaian untuk tujuan pembelajaran.

"Mungkin suatu masa nanti sekiranya ada jalinan kerjasama antara universiti ini dengan industri perfileman, boleh menghasilkan satu jenama yang mampu mendapat tempat sebagaimana filem-filem antarabangsa yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Inovasi@UMT 2013 yang turut dihadiri Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, di Dewan Sultan Mizan, semalam.

Katanya, sains fiksyen boleh diaplikasikan dalam penghasilan filem yang bermutu kerana di luar negara, ahli-ahli sains yang terjemahkan idea-idea ini dalam bentuk inovatif dan mudah difahami dan barulah produser yang laksanakan dalam bentuk cerita yang menarik.

Sementara itu, mengulas mengenai hari inovasi yang dianjurkan UMT, Norman berkata, sebagai pelajar mahupun pekerja seharusnya seseorang itu mempunyai kebolehan untuk berdikari serta berfikir menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif bagi menghasilkan sesuatu produk ataupun mutu kerja yang baik.

"Harapan saya, samada mereka menjadi usahawan atau pekerja kepada industri kreatif, saya berharap mereka boleh berfikir sendiri dan juga sentiasa ingin menambah pengetahuan dan memperbaiki kebolehan,” ujarnya.

 

Tempoh jaminan penggunaan material bangunan perlu dikaji semula : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula tempoh masa jaminan penggunaan struktur besi bagi anjung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang hanya bertahan 10 tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keputusan itu menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan awam kerana penggunaan struktur besi bagi masjid itu ternyata tidak selari dengan jangka hayat bangunan yang sepatutnya mampu bertahan lebih 50 tahun atau selama-lamanya.

“JKR beri jaminan 10 tahun dan bagi saya itu amat pelik, kerana biasa kita buat bangunan kita hendak kekal selama-lamanya. Kita buat rumah tak kan kita hendak kekal 10 tahun selepas 10 tahun, katakan kita sudah meninggal, anak-anak kita kemungkinan akan meninggal juga akibat ditimpa runtuhan.

“Sepatutnya ia kekal seperti bangunan, jika bangunan 50 tahun, (penggunaan struktur besi) juga 50 tahun. Seperti kita buat rumah, kita mencari kayu cengal (material berkualiti), kerana kita sepatutnya meninggalkan rumah itu dulu (meninggal dunia), bukan anak-anak meninggalkan kita dahulu, kerana bangunan itu sebagai warisan.

 “Kalau letak tempoh 10 tahun dan selepas itu berkemungkinan runtuh, jadi orang awam kena tanggung risiko, sepatutnya bumbung kena tahan lama, kekal sampai bila-bila,," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terbaharu kejadian runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas pada 20 Mei lalu ketika enam jemaah masih berada di dalam masjid selepas selesai solat isyak.

Menurutnya, terdapat sekolah dan beberapa buah lagi masjid menggunakan bahan sama dengan Masjid Kampung Binjai Kertas dan berharap JKR dapat memantau perkembangan sebenar.

Beliau turut meminta JKR menyiasat secara terperinci perkara berkenaan dan kajian menyeluruh terhadap premis-premis lain dalam memastikan kejadian sama tidak berulang.

Masjid Binjai Kertas mula digunakan pada 2008 itu dibina dengan kos dianggarkan sebanyak RM1.7 juta dan insiden runtuhan masjid itu merupakan kejadian kedua melibatkan masjid di negeri ini selepas Masjid Batu Putih, Kemasik, 3 Oktober 2009.


Rombakan Exco Terengganu selesai

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu rombakan kecil portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu sudah pun selesai dibentuk dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut portfolio terbaru itu, berikutan masih belum dipersembah untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Kita sudah menyelesaikan rombakan seperti mana saya maklum dulu, tetapi kita belum boleh mengumumkannya selagi belum dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Terengganu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Pada 20 Mei lalu, dato’ Seri Haji Ahmad mengumumkan kerajaan negeri itu bakal melakukan rombakan kecil melibatkan Exco bagi membolehkan portfolio yang diwujudkan seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar berkata langkah itu diambil bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

 

Kerajaan komited ke arah penambahbaikan perkhidmatan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mengambil berat dan komited mengenai program-program ke arah pembaharuan, inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan supaya boleh berhijrah selaras dengan perkembangan semasa.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kassim berkata, program amalan 5S, pengurusan lean, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Key Performance Indicator (KPI), ISO 9001, semakan peraturan dan lainnya menjadi tumpuuan untuk dilaksanakan.

“Apa juga yang hendak dilaksanakan, saya minta komitmen ahli pengurusan setiap organisasi supaya mengerakkan usaha transformasi berasaskan kepada tatacara dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengurusan Lean dan Memorandum Persefahaman (MoU) Jalinan Industri bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sempena hari bersama industri Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Haji Ahmad Fadzil Mahmud; Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda dan Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Encik Kamaruzzaman Kasim.

Katanya, sebagai lanjutan dari amalan bersekitaran berkualiti 5S, kewujudkan Persijilan Organisasi Pengurusan Lean oleh MPC bertujuan membantu organisasi melaksanakan amalan ini secara berintegriti dan sistematik yang melibatkan semua warga untuk bersaing diperingkat nasional dan antarabangsa.

Beliau kemudiannya menyarankan MPC dapat menganjurkan konvensyen pengurusan lean dan dibuka kepada semua organisasi yang telah menjalankan program lean dan telah mendapat persijilan persekitaran amalan QE.

 “Ia bagus untuk perkongsian pengalaman dan menerapkan amalan terbaik organisasi terbabit untuk dijadikan tanda aras dalam pengurusan,” katanya.

Dato’ Haji Mat Kassim kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Jalinan Industri Lean antara PMINT dan MPC yang merupakan satu usahasama dan kolaborasi dalam merialisasikan program jalinan industri.
 

29 May 2013

Enam jabatan kerajaan capai penarafan empat bintang

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga lagi jabatan kerajaan negeri berjaya memperolehi penarafan empat bintang tahun ini, menjadikan enam jabatan kesemuanya mencapai tahap tertinggi itu sejak tahun lalu.

Penarafan dijalankan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu diumumkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato' Setia Haji Ambrin Buang, dua hari lalu.

Enam jabatan berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kehakiman Syariah dan Majlis Perbandaran Dungun, selain tiga jabatan terdahulu, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penarafan empat bintang kepada enam agensi kerajaan selepas mencapai markah melebihi 90 peratus yang melibatkan pengurusan kewangan dan aset jabatan.

“Perkara itu diumumkan dua hari lalu dan majlis penyampaian hadiah penarafan bintang berkenaan akan dijalankan pada Ogos nanti ,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Menteri Besar berkata, penarafan  bintang sebagai satu mekanisme pengukuran prestasi budaya kecemerlangan agensi kerajaan dalam perkhidmatan awam itu dijangka akan meningkat pada masa akan datang.

Sehingga kini, beliau berkata semua jabatan kerajaan di negeri ini mencapai penarafan paling kurang tiga bintang dan disasarkan lebih banyak jabatan memperolehi penarafan tertinggi empat bintang bermula tahun depan.


Kerajaan BN tunai aku janji tambahan pertama PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu menunaikan Aku Janji Tambahan BN Terengganu yang pertama sebagaimana dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu , iaitu menaikkan pajakan tanah individu kepada 60 tahun, berbanding hanya 30 tahun sebelum ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 “Mesyuarat Exco membuat keputusan meluluskan pajakan tanah di mana jika melibatkan tanah desa , kampung, perumahan dan sebagainya melibatkan premium sekurang-kuranya 10 peratus

“Manakala tanah bandar, komersial dan sebagainya termasuk perumahan serta perkedaian, ini sekurang-kurangnya 20 peratus, berdasarkan penilaian semasa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Aku janji pajakan tanah individu dinaikkan itu merupakan satu dari 18 kandungan Aku Janji Tambahan BN yang diumumkan ketika PRU13 lalu, membuktikan Kerajaan BN mengotakan janji kepada rakyat sebaik sahaja memenangi PRU 5 Mei, baru-baru ini.

Sebelum ini, BN Terengganu melancarkan Aku Janji BN Terengganu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ mengandungi 18 perkara yang bakal dilaksanakan di Terengganu sekiranya mendapat mandat rakyat untuk terus memerintah negeri ini selepas PRU13.


Mutu pengadilan jadi pertikaian

Oleh: Aida Abd Rahman

Rasa kecewa dan terkilan dengan kegagalan pasukan Terengganu yang kecundang di pentas separuh akhir menentang Kelantan akibat mutu pengadilan lemah, bukan sahaja memberi kesan kepada seluruh penyokong pasukan Penyu, malah turut dirasai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau yang hadir memberi sokongan moral kepada pemain dalam usaha memastikanTerengganu mampu bangkit di laman sendiri mengakui, turut turun ke tepi padang dari tempat duduk utama stadium untuk meraikan kejayaan Terengganu selepas mengekang lawan dengan 4-0, akhirnya terpaksa akur dengan keputusan saat akhir yang gagal menyebelahi pasukan kesayangannya itu.

“Saya agak kecewa walaupun pada peringkat awal Terengganu membuat satu kejutan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan mendahului 4-0, bukan senang lakukan begini.

 “Saya ingat boleh menang dah dengan jaringan 4-0, tinggal tiga minit lagi sebab itu saya turun ke bawah dah untuk tengok dan sambut kemenangan , tiba-tiba berlaku begitu dan penyerang, (Jean-Emmanuel) Effa Owona dengan sikap yang tidak profesional akhirnya dikenakan kad merah.

“Selepas itu pemain mula hilang fokus dalam tempoh masa tiga minit (terakhir), sehingga Kelantan dapat satu gol (agregat 5-5) yang sudah cukup mengheret kita kepada masa tambahan. Masa tambahan kita hanya ada 10 orang, selepas itu Manaf (Mamat) cedera, saya suruh tukar, tetapi mungkin tidak diberitahu, tidak tahulah.

"Tetapi apabila pemain Kelantan nampak `clear card’ , tendang belakang dia dan dia balas tetapi apabila dia kena kad merah, kemudian itu baru pemain (Kelantan) itu terima kad kuning. Saya merasakan pengadil memang lemah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata yang sama juga berlaku berlaku ketika Effa Owona dijatuhkan dan sepatutnya Terengganu diberikan tendangan penalti, bagaimanapun Effa Owona pula dikenakan kad kuning.

Beliau juga menyifatkan mutu pengadilan lemah juga berlaku ketika perlawanan separuh akhir pertama Terengganu menentang Kelantan Sabtu lalu, apabila pengadil bertindak menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan walaupun tiada kekasaran dilakukan penjaga gol Terengganu terhadap penyerang Kelantan dalam usaha perebutan bola di gawang.

“Sebab itu saya kata pengadil di Malaysia tidak cukup profesional, tidak cukup standard.Sebab itu saya tidak pegang jawatan dalam persatuan, kalau saya pegang jawatan saya sudah kena pecat.

 “Sebab itu apabila ada desakan supaya saya pegang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu , saya tak nak, kalau saya pegang saya boleh beri jaminan dalam tempoh masa enam bulan sahaja saya akan kena gantung dan dipecat,” katanya.

Beliau berkata, teguran dan kritikan membina terhadap mutu pengadilan bola sepak negara demi melihat kemajuan sukan nombor satu negara itu dan tudak seharusnya setiap teguran membawa kepada tindakan pemecatan dan penggantungan.

“Sebab itu sukan bola sepak negara tidak akan pergi ke mana, ini akan berlaku. Tegur, gantung.. bukan seorang, berapa orang naib presiden, berapa orang timbalan presiden sudah kena (tindakan). Ini tidak boleh. Sebab ini hak orang ramai dan ramai peminat, kita mesti buat perubahan.

“Kalau pun ada undang-undang yang boleh menyekat orang dari tegur kita, tetapi kita sendiri tidak mahu baiki, tidak boleh..sebab itu saya kata, orang berapa kali dah letak saya supaya pegang, saya kata tidak boleh, saya memang lantang (bersuara),” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam, Terengganu gagal melangkah ke pentas final walaupun memenangi perlawanan separuh akhir kedua itu menerusi keputusan 4-2, selepas ketinggalan dengan agregat 6-5.

 Terdahulu, Kelantan merekodkan kemenangan pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu dengan jaringan 4-1.


UMT komited lahirkan pelajar berfikiran kreatif dan inovatif

Oleh: Noraini Jusoh

Inovasi ialah sesuatu yang sangat penting di tanam dalam minda dan juga jiwa pelajar, sehubungan itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited untuk melahirkan lebih ramai pelajarnya yang dapat berfikir secara kreatif dan inovatif.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, dimasa akan datang ilmu dan kemahiran sahaja tidak memadai untuk pelajar dan disebabkan itulah UMT mengadakan hari inovasi pada setiap tahun bagi membolehkan ia menjadi sebahagian daripada program pembelajaran.

"Mungkin pada tahun-tahun akan datang hari inovasi seperti ini diadakan pada akhirnya tetapi proses sebenar berlaku tiga atau enam bulan lebih awal.

"Dimana pelajar didedah melakukan beberapa projek kecil mengikut daya kreativiti dan inovatif masing-masing dan kita akan melihat hasil dan pencapaian pelajar itu dan mungkin pameran mereka menjadi perkara yang utama di hari inovasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Inovasi@UMT 2013, di Dewan Sultan Mizan, hari ini.

Katanya, banyak tuntutan daripada ibu bapa dan masyarakat menghendaki supaya universiti melahirkan modal insan untuk kebolehpasaran.

"Saya percaya, walaupun perkara itu penting tetapi kalaulah universiti memikirkan modal insan untuk pasaran semasa sebenarnya universiti sudah terlambat.

"Ini kerana, universiti di luar negara sudah bergerak jauh lebih pantas untuk menyediakan pelajar-pelajar berdaya maju untuk masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, pada masa hadapan pelajar yang menjadi majikan bukan lagi orang lain menjadi majikan dan peluang bekerja makan gaji sangat sedikit.

Katanya, sebahagian besar daripada ruang dan peluang itu terletak kepada keupayaan pelajar membina kelainan, berfikiran kreatif dan hidup dengan keupayaan berinovasi sebagai sumber rezeki mereka.

"Mungkin pada masa akan datang sebahagian besarnya akan bekerja dari rumah dan mereka yang mampu berdikari serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi akan menjadi modal insan yang kreatif," ujarnya.

 

Produktiviti dan inovasi penentu daya saing

Oleh; Esah Abdullah

Inovasi hari ini telah menjadi penanda aras baru global yang menuntut keupayaan penciptaan yang bersifat baru, unik dan bermanfaat serta mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan negara.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim berkata, produktiviti dan inovasi adalah dua faktor menentukan daya saing.

“Selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah sampai masanya jabatan dan organisasi melaksanakan Kaizen untuk meningkatkan kecekapan proses untuk kepuasan pelanggan.

“Memahami jenis-jenis pembaziran dan punca yang menganggu sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelangan serta melaksanakan peningkatan yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Seminar Pengurusan Lean dan Memorandum Persefahaman (MoU) Jalinan Industri bersama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sempena hari bersama industri Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur di Taman Tamadun Islam (TTI) hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Haji Ahmad Fadzil Mahmud; Pengurus Besar PMINT Dato' Haji Osman Muda dan Pengarah MPC Wilayah Pantai Timur, Encik Kamaruzzaman Kasim.

Katanya, semua warga dituntut memberikan prestasi kerja yang berkualiti dan paling penting mewujudkan sikap positif serta mencari teknik, metodologi dan sistem baru yang akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.

 “Pelaksanaan pengurusan merupakan kaedah inovasi dalam menghadapi cabaran pengurusan berhemah akibat tekanan belanjawan yang ketat serta memfokus kan bagaimana mengurus pembaziran secara tersusun dan sistematik bagi melonjak produktiviti organisasi,” katanya.

 

Perpustakaan desa beri manfaat

Oleh: Suriati Ali 

 Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mewujudkan 88 buah perpustakaan desa di seluruh negeri ini nyata memberi impak positif kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

 Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sikap penduduk pedalaman yang gemar mengunjungi `gedung ilmu’ atau perpustakaan berbanding mereka tinggal di kawasan bandar.
 Berdasarkan perangkaan, perpustakaan desa mencatatkan 512,477 bilangan pengunjung pada tahun lalu, perpustakaan daerah dan pekan (354,372 pengunjung) dan perpustakaan pusat pula seramai 244,200 pengunjung.

“Sikap ini sewajarnya dicontohi, walaupun tingal di kawasan pedalaman dan kurang kemudahan awam untuk ke perpustakaan mereka tetap berusaha meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, baru-baru ini.

 Menurutnya, usaha PPAT menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.

 “Setiap Sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini,” katanya.

 Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu.

 

PMINT adakan MoU dengan MPC

Oleh; Esah Abdullah

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) merupakan agensi pertama di negeri ini yang melaksanakan pengurusan Lean bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur.

Sehubungan itu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Jalinan Industri Lean dengan MPC telah diadakan di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) pagi ini.\



Termeterainya MoU ini akan bertambahnya organisasi sedia ada di Wilayah Pantai Timur dalam melaksanakan pengurusan Lean sebagai inisiatif peningkatan produktiviti dan inovasi yang memberi tumpuan kepada pengurusan pembaziran di tempat kerja.

Ia juga untuk mengkaji ekosistem proses kerja secara horizontal dan vertical yang melibatkan lebih dari satu jabatan bagi mengurangkan aktiviti yang tidak melebihi impak kepada pelangan.

MoU itu telah ditandatangani oleh Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda dan MPC diwakili Pengarah Wilayah Pantai Timur Encik Kamaruzzaman Kasim manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kasim dan Timbalan Ketua Pengarah MPC, Haji Ahmad Fadzil Mahmud menjadi saksi pada majlis itu.

Majlis MoU diadakan bersempena dengan Seminar Pengurusan MPC Wilayah Pantai Timur yang dihadiri lebih 200 peserta dari sektor awam dan swasta pelbagai jabatan kerajaan dan organisasi di negeri ini.
 

TIADA SEBARANG PERKARA TIDAK BAIK DAN PENYELEWENGAN- PENGARAH JKR

Oleh: Lang Telipot

Dalam sesuatu perkara kita sepatutnya tidak membuat tuduhan, hukuman dan andaian yang bukan-bukan sebelum meneliti dan membuat siasatan yang rapi terhadap sesuatu perkara dan kejadian.

Perbuatan berburuk sangka adalah bukan dari ajaran agama kita. Misalnya dalam peristiwa keruntuhan bumbung di bahagian luar masjid di Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja jemaah selesai menunaikan solat Isyak di masjid berkenaan.

Di pihak Jabatan Kerja Raya iaitu JKR sendiri yang bertanggungjawab ke atas pembinaan masjid tersebut, suatu siasatan dan penelitian dibuat bagi mengenalpasti punca-punca kejadian.

Pengarahnya, Datuk Shafii Mohamad menjelaskan, tiada sebarang perkara yang tidak baik, penyelewengan dan seumpamanya berkaitan pembinaan masjid berkenaan.

Beliau menyangkal andaian negatif sesetengah pihak terhadap kejadian itu kononnya berikutan proses pembinaan yang mengabaikan garis panduan serta cirri-ciri keselamatan.

Ini kerana katanya, siasatan awal mendapati, pembinaan masjid berkenaan menepati piawaian dan prosedur ditetapkan, termasuk dibuat melalui tender terbuka. Datuk Shafii berkata, pihak JKR akan mengambil tanggungjawab penuh membuat siasatan rapi mencari punca bumbung bahagian luar masjid itu runtuh.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh itu.

Menurut beliau kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau sebab-sebab lain.

Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid di tempat lain, kata Menteri Besar yang memberi tempoh dua minggu kepada JKR untuk menyerahkan laporan siasatan itu.

Beliau berharap pemantauan yang lebih rapi dibuat terhadap sesuatu projek, terutama oleh JKR agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Menteri Besar juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum bulan Ramadhan ini bagi keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu. Kita perlu bersyukur kerana tiada sebarang jiwa terkorban berikutan kejadian itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mendoakan segalanya selamat dan jangan sekali-kali mendoakan kehancuran orang lain dengan tujuan yang tidak murni kerana ia bukanlah dari ajaran Islam.




28 May 2013

Oseanografi dan Sains Marin teras utama penyelidikan UMT

Oleh; Esah Abdullah

Oseanografi dan Sains Marin merupakan bidang teras utama dan menjadi tulang belakang kekuatan penyelidikan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan UMT dapat menonjol sebagai sebuah universiti penyelidikan berfokuskan ilmu kelautan tersohor.

“Mulai tahun ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah memperkenalkan kluster penyelidikan baru iaitu Sains Marin,” katanya.

Katanya kluster ini sememangnya bersesuaian dengan hala tuju dan fokus penyelidikan UMT yang menjurus kepada Ilmu kelautan.

Menurutnya, UMT telah dikenalpasti mempunyai kekuatan dalam bidang ini serta komited untuk menyahut seruan membangunkan potensi ini selaras dengan hasrat pihak Mosti.

Justeru itu katanya, pihak UMT mengambil langkah untuk melebarkan jalinan kerjasama penyelidikan dengan pelbagi agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Langkah ini juga akan menonjolkan bidang Sains Marin di institusi pengajian tinggi di negara ini,” katanya.

Pasar Payang jadi tumpuan

Oleh: Suriati Ali 

Setiap kali tiba cuti am atau cuti sekolah, beberapa destinasi menarik di Terengganu terutama Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) pasti menjadi lokasi pilihan pelancong untuk membeli pelbagai barang yang diminati.

 Kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

 Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika ingin membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang minggu itu.


 Pemilik Ety Batik, Nor Hayati Kamaldin, 26, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

 Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

 “Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.

 Pengusaha produk Terengganu, Ariza Jusoh, 44, dari Batu Burok, Kuala Terengganu, berkata dia sangat kagum dengan langkah kerajaan negeri yang tidak putus-putus mempromosi Terengganu melalui pelbagai saluran, semata-mata mahu melihat negeri ini terus dikunjungi..

 Katanya, langkah itu cukup baik kerana tanpa disedari pelancong luar pasti ingin datang untuk merasai sendiri keindahan dan keunikan Terengganu serta singgah di pasar payang.

 “Pada masa sama, pelbagai pihak seperti peniaga, pengusaha hotel, pemilik kedai makan mendapat impak positif, baik daripada segi jumlah pendapatan dan penerimaan terhadap produk masing-masing,” katanya.

 

Laporan runtuhan sedang diperinci

Oleh: Aida Abd Rahman

Laporan mengenai runtuhan bumbung Masjid Binjai Kertas, Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu sedang diperincikan pakar dari Jabatan Kerja Raya (JKR),  kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

Katanya, laporan berkenaan sudah selesai dan sedang diperincikan bagi mengkaji setiap aspek, termasuk dari segi struktur bumbung dan struktur masjid secara keseluruhannya serta material yang digunakan.

“Siasatan kita dibuat secara menyeluruh dan atas permintaan daripada Menteri Besar Terengganu sendiri, kajian kita termasuk sama ada puncanya daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan bahan yang kurang bermutu.

 “Kita juga mengambil kira jenis bumbung, struktur, material dan semua aspek perlu dilihat. Hasilnya nanti mungkin akan mempengaruhi masjid yang mempunyai reka bentuk yang sama, bergantung pada hasil laporan kumpulan pakar forensik yang dilakukan.

“Kalau kejadian itu hanya melibatkan bumbung dan bukan keseluruhan struktur, mungkin ia tidak mempengaruhi keseluruhan masjid. Mungkin hanya pada bumbung, sebagaimana kita siasat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOC) JKR Malaysia 2013 yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Noor Yaacob.

 Jelas Datuk Fadillah lagi, adalah tidak adil untuk menuding jari pada JKR dan mendakwa tiada pemantauan yang dibuat ke atas projek masjid berkenaan kerana semua pihak perlu menunggu dan bercakap berasaskan siasatan dan laporan yang dibuat.

 “Setelah laporan dikeluarkan, barulah kita katakan ia laporan yang tepat dan lebih adil. Kita tidak boleh buat andaian itu dan perlu lihat kepada kejadian dan siasatan. Kalau mengikut MB, kejadian runtuhan yang berlaku di Terengganu ada 14 kejadian tetapi dalam 14 kejadian ini, bukan semuanya melibatkan kes besar. 

“Kes besar mungkin disebabkan stadium dan baru-baru ini masjid. Yang lain hanya kecil. Sebab itu apa yang perlu kita lakukan di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri, kita perlu buat seperti hari ini untuk kita kongsi pengalaman dan bincang.

 “Kalau kejadian ini, bagaimana dan apa kita boleh lakukan. Itu proses penambahbaikan yang perlu kita lakukan dan kita akan beri tumpuan dan fokus kepada perkara ini, dalam kita mengurangkan risiko kejadian seperti ini,” katanya.

 Menjelaskan mengenai banyak kejadian runtuhan di Terengganu, beliau berkata, apa yang dilakukan di peringkat pusat di Kementerian Kerja Raya melalui JKR ialah membentuk kumpulan pakar dan lakukan siasatan di peringkat forensik, apakah punca kegagalan sesuatu projek itu.

 

SEPI SEORANG PENGGIAT SENI BERTUKAR GEMBIRA MENERIMA KUNJUNGAN EXCO

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kehidupan ini penuh dengan ujian, kadang-kadang di saat kita bergembira tiba-tiba sahaja duka datang bertandang.

Begitulah dengan Mazlan Zakaria, 53 tahun seorang aktivis seni dan budaya yang kini terlantar disebabkan penyakit kronik.



 Pejuang seni budaya, khususnya teater yang sedang bertarung dengan penyakit kencing manis, hari ini begitu terharu dan gembira menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

 Dato’ Haji Mohd Jidin meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada aktivis teater yang pernah menjadi juara Bakat TV tahun 1990 an iaitu bersama kumpulannya yang dinamakan sebagai Pak Su (Mazlan) dan Pak Da (Azmi).

 Dato’ Mat Jidin menyifatkan aktivitis budaya dan seni adalah merupakan golongan yang turut menyumbang peranan kepada negeri yang juga perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi bila mereka dalam keadaan uzur. 

Turut hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abdul Rahman dan Adun Jabi, YB Mohd Iskandar Jaafar.

 Mazlan yang aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah dan kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer Beliau memberitahu, mengalami penyakit tersebut sejak kira-kira 10 tahun yang lalu dan kini kaki kanannya telah dipotong kerana mengelak jangkitan kuman. 

‘Saya akan meneruskan perjuangan seni saya hingga ke akhir hayat selagi ada kemampuan,’ katanya yang amat mencintai bidang tersebut dan berkebolehan meniup sunai Melayu dengan pelbagai irama.

 “Kunjungan YB Dato’ amat mengharukan saya, juga saya anggap sebagai pengiktirafan kepada penggiat seni seperti saya ini,” katanya dengan nada suara putus-putus.

 Isterinya Asmah Sulong 47, mengucap terima kasih atas kunjungan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu kepada suaminya yang sedang terlantar itu. Hasil perkongsian hidup, mempunyai tujuh orang anak dan dua orang cucu dan 3 anak masih bersekolah.


Terengganu mampu cipta kejutan

Oleh: Aida Abd Rahman

Tempoh 90 minit perlawanan separuh akhir kedua yang bakal berlangsung petang ini, bukan suatu yang mustahil untuk Terengganu mencipta kejutan sekaligus meleburkan impian Kelantan, untuk mara ke pentas akhir Piala FA .

Mungkin di atas kertas, peluang anak didik E Elavarasan kelihatan agak tipis berikutan ketinggalan 1-4 ketika perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu, namun semangat juang dan sikap tidak mengenal putus asa mampu mencipta keajaiban pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

E Elavarasan yang mengakui peluang hampir tertutup untuk anak buahnya mengatasi Kelantan akibat jurang gol yang besar di tempat lawan tempoh hari, tetap optimis pasukan Terengganu masih berupaya memanfaatkan aksi di laman sendiri pada saat-saat genting ini.

“Pemain tekad menebus kekalahan Sabtu lalu walaupun di atas kertas kelebihan milik pasukan Kelantan.

“Bagaimanapun, ini bola sepak, apa sahaja boleh terjadi. Lihat sahaja di Kota Bharu tempoh hari, tuan rumah ketinggalan tapi bangkit pada akhir perlawanan.

“Jadi, tidak mustahil situasi serupa juga berpihak kepada Terengganu petang ini,” katanya.

Beliau juga berharap semua kesebelasan yang diturunkan mampu menggalas tugas menguasai perlawanan penentuan itu dan meranapkan keyakinan anak buah Bojan Hodak yang hampir mengesahkan tempat ke final menerusi `percaturan bodoh' pasukan itu.


TDM Berhad perbesar operasi hospital tiga kali ganda menjelang 2018

Oleh: Noraini Jusoh

Kumpulan TDM menetapkan matlamat untuk memperbesarkan operasi hospitalnya tiga kali ganda menjelang 2018.

Pengerusinya, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata, ia termasuk menambah bilangan katil dan hospital, memperkenalkan perkhidmatan baru serta memperluaskan jenis perkhidmatan yang sedia ada bagi memenuhi permintaan yang semakin menigkat.

"Bagi tujuan tersebut, Pusat Perubatan Kuantan (KMC) yang baharu akan mula beroperasi awal tahun hadapan.

"Kerja-kerja pembinaan Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baharu pula telah bermula Disember lalu dan dijangka siap 2015,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 TDM, di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua hospital tersebut juga akan dilengkapi dengan peralatan, teknologi yang canggih dan moden.

Tambah beliau, Kumpulan TDM juga menaik taraf kemudahan di Hospital Taman Desa Medical Center (TDMC) dan Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) dimana akan menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan memiliki bangunan baru.

Menurut beliau, bagi mengukuhkan lagi kedudukan pasaran sebagai pembekal perubatan swasta yang unggul di Pantai Timur, TDM turut meninjau pasaran baharu seperti di Kota Bharu, Kelantan.

 

LPT fasa 2 jangka siap akhir 2014

Semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Dato’ Fadillah Yusof.

Beliau berkata sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap. "Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.

"Kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun.

Ini lawatan kerja pertama Anggota Parlimen Petra Jaya itu ke Terengganu setelah dilantik Menteri Kerja Raya selepas pilihan raya umum lepas.

 Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman.

Sambil memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, Dato' Fadilah berkata kawasan yang bermasalah tidak banyak.

 "Kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa," katanya.

Beliau berkata pakej melibatkan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini setelah JKR meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu dipercepatkan. Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

 Projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran.


27 May 2013

Jabatan Perikanan anjur bengkel TED

Jabatan Perikanan Terengganu akan mengadakan bengkel mengenai peranti penyisih penyu (TED) pada Jumaat ini, dalam usaha jabatan itu mengekang insiden penyu mati terperangkap di dalam pukat.

Pengarahnya, Encik Abdul Khalil Abdul Karim berkata bengkel akan diadakan dengan kerjasama WWF Malaysia di Institut Perikanan Malaysia Cendering.

 Bengkel akan disertai pengusaha bot pukat tunda musim tengkujuh dari seluruh kawasan pantai timur Semenanjung, katanya

Mengulas kepentingan TED, Abdul Khalil berkata bot yang dilengkapi alat itu akan dapat mengelak daripada turut memerangkap penyu ketika beroperasi menangkap udang sepanjang musim tengkujuh. 

Katanya jabatan itu juga mempertimbang untuk menjadikan pemasangan TED sebagai syarat lesen bot pukat tunda.

Langkah itu dilihat perlu kerana banyak penyu didapati mati di perairan Terengganu akibat aktiviti perikanan, katanya menambah pada tahun ini sahaja 10 ekor penyu ditemui mati di perairan Terengganu.


KIST tawar empat kursus baru

Oleh; Esah Abdullah 

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu memperkenalkan empat kursus baru tahun ini dalam usaha mempelbagaikan bidang pengajian serta memenuhi kehendak pasaran kerja pada masa sekarang.

Ketua Eksekutif KIST, Encik Mohd Norizal Nawang berkata, program ditawarkan pada peringkat diploma itu membabitkan bidang Pengajian Syariah, Pengurusan Makanan Halal, Psikologi Kanak-kanak dan Kewangan Islam.

“Untuk pengambilan peringkat pertama seramai 200 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih mengikuti kursus berkenaan dan pengambilan akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada kemudahan prasarana dan tenaga pengajar,” katanya.

Menurutnya, pelajar peringkat pertama sudah mengikuti program sejak Februari lalu dengan semua program ditawarkan di KIST cawangan Terengganu.

Katanya, penawaran kursus baru itu bertujuan memberi ruang kepada graduan KIST mendapat peluang kerjaya yang lebih cerah dan menepati permintaan pasaran kerja pada masa kini.
 

Termeterai janji Nik Suryani - Saiful

Oleh: Sutera Biru

Hanya dengan sekali lafaz,personaliti TV3, Nik Suryani Megat Deraman sah menjadi isteri kepada Mohd Saiful Azlan Bukhari di majlis akad nikah yang disaksikan kira-kira 100 tetamu termasuk ibu bapa kedua-dua pengantin, saudara dan rakan rapat, di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI), Sabtu lalu.

Pasangan berkenaan yang bertunang pada 20 Oktober lalu dinikahkan oleh bapa Nik Suryani, Haji Megat Deraman Megat Stan pada kira-kira 3.30 petang dengan pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM41,101 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang dari pihak Mohd Saiful.

Kedua-duanya mengenakan baju putih sedondon dengan persalinan Nik Suryani sentuhan pereka fesyen terkemuka negara, Zang Toi. Zang Toi turut mereka cipta pakaian pengantin yang bertemakan tradsional songket untuk majlis resepsi pengantin perempuan di Pusat Konvensyen TTI pada sebelah malamnya.

Pasangan sejoli dan sama cantik kelihatan tenang sepanjang majlis pernikahan berlangsung, turut meluangkan masa kira-kira sejam menjawab pertanyaan media dan sesi bergambar sejurus selesai upacara itu.

Mohd Saiful berkata, pada awalnya dia agak cemas apabila kali pertama berjumpa dengan 10 anggota keluarga mentuanya di Kuala Terengganu serta diasak dengan pelbagai soalan. Pun begitu, pertemuan itu berakhir dengan positif apabila mereka akhirnya menerima kehadirannya sebagai ahli baru dalam keluarga itu.

Katanya, hubungan cinta yang disulam sepanjang dua tahun bukan satu perjalanan yang mudah namun, kesungguhan mengharungi segala dugaan dan saling menyokong antara satu sama lain menjadi prinsip mereka sehingga berjaya memeterai janji untuk bergelar suami-isteri.

Biarpun terpalit sejarah hitam berhubung kes liwatnya dengan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful berkata dia mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain dan berharap perkahwinan dengan isterinya itu akan berkekalan sehingga hujung nyawa.

"Saya bersyukur doa saya dimakbulkan untuk mendirikan rumahtangga dengan Nik Suryani dan saya berharap kami dapat menempuh segala ujian pada masa depan dan saya yakin perkahwinan ini memberi kekuatan kepada saya dalam apa jua perkara yang saya akan lalui pada masa depan," katanya.

Sementara Nik Suryani berkata beliau bersyukur perhubungan mereka berakhir dengan ikatan yang sah dan mengakui keputusan untuk memilih Mohd Saiful sebagai suami adalah tepat kerana sikap lelaki itu yang sangat jujur, bersemangat kental dan kacak.

Beliau turut kagum dan jatuh hati dengan keperibadian suaminya kerana berani untuk mengakui perkara buruk yang berlaku kepadanya yang dianggapnya bukan satu tindakan yang mudah dan mampu dibuat orang lain.

"Saya kenal dia ketika membuat liputan tentang kes (perbicaraan) dia dan selepas itu kami menjadi rapat dan sepanjang perhubungan ini, saya langsung tidak terfikir tentang soal kes itu dan saya mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya (Allah swt)," katanya.

Majlis resepsi pengantin lelaki di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 2 Jun.

Pengunjung PPAT meningkat

Oleh: Suriati Ali 

 Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

 Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

 Dalam tempoh lima tahun iaitu 2008, PPAT menerima seramai 805,278 bilangan pengunjung, 2009 (1,037,934), 2010 (1,155,205), 2011 (1,200,049) dan bagi tahun lalu pula, seramai 1,222,832 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

 “Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

 “Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.

 

Jeti Merang dinaik taraf

Oleh; Esah Abdullah

Jeti Merang akan dinaik taraf menjadi kompleks jeti Merang dengan anggaran kos berjumlah RM14.7 juta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Johan Ibrahim berkata, kerja-kerja pembinaan kompleks jeti berkenaan akan bermula Oktober depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Apabila kompleks berkenaan siap ia akan menempatkan terminal jeti untuk feri dan bot ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah,” katanya.

 Menurutnya, kompleks ini juga akan mempunyai ruang perniagaan dan tempat menunggu yang selesa di samping dataran ketibaan dan kaunter tiket.

Tambahnya, usaha menaik taraf jeti ini selaras dengan status jeti sebagai laluan utama ke beberapa pulau peranginan di negeri ini.

 

26 May 2013

80 pengamal media sertai survival laut

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 80 pengamal media tempatan menyertai program ‘Survival Laut dan Penghayatan Warisan Edisi Media 2013’ di Pusat Penyelidikan Pulau Bidong, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).



Program anjuran Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra UMT selama dua hari itu (24 sehingga 25 Mei) disertai petugas media daripada beberapa agensi antaranya Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Berita Harian, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sinar Harian, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan UMT dengan pihak media.



"Selain merapatkan hubungan kedua-dua pihak, program ini juga membuka peluang kepada pengamal media merasai sendiri pengalaman menyeronokkan melakukan aktiviti menarik yang disediakan.

"Mereka juga didedahkan tentang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan diajar kemahiran asas berada di lautan serta cara untuk meningkatkan keyakinan diri,” ujarnya kepada pemberita di Pulau Bidong, semalam.

Pada hari pertama, sebelum tiba ke Pulau Bidong peserta dibawa melawat Santuari Penyu UMT yang terletak di Chagar Hutang, Pulau Redang bawah jagaan Dr. Juanita Joseph selaku Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) UMT.

Kemudian apabila tiba di Pulau Bidong, peserta memulakan ekspedisi penerokaan laut dengan dimulakan dengan acara keyakinan diri di air iaitu peserta akan berenang menuju ke arah bot yang terletak 100 meter dari pantai dan kembali semula ke darat dan diikuti aktiviti berkayak, snorkelling dan acara mencandat sotong.


Sebelum pulang pada keesokkan harinya, peserta berpeluang menyertai pertandingan memancing dan melawat kem pelarian Vietnam yang pernah menjadi penempatan sementara bagi pelarian Vietnam suatu ketika dahulu.

 







Skuad Muda mantapkan Rela

Oleh; Esah Abdullah

 Golongan belia dipelawa menyertai anggota Rela untuk membolehkan membina jati diri serta memupuk semangat kesukarelawan membantu masyarakat ketika ditimpa bencana.

Penolong Pegawai Rela Daerah Setiu, Mejar (Rela) Che Mohammat Ropi Makhtar berkata, Rela kini mewujudkan Skuad Muda terbuka kepada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun dan Skuad Remaja untuk remaja berusia 18 hingga 21 tahun.

“Manakala mereka yang berusia 31 hingga 58 tahun boleh menjadi Anggota Rela biasa,” katanya di Majlis Dialog dan Penyampaian Pakaian Seragam Rela di Balai Raya Kampung Hilir Darat, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Katanya, setiap anggota Rela akan mengikuti sekurang-kurangnya 15 siri kursus yang diadakan setiap hujung minggu dalam usaha memantapkan anggota ketika berdepan dengan tugas mengawal ketenteraman masyarakat.

“Walaupun anggota kita hanya berstatus sukarelawan namun mereka diberi elaun RM6 bagi setiap jam mengikut waktu bertugas,” katanya.

Menurutnya kini anggota Rela telah diberi kepercayaan membantu pasukan keselamatan untuk mengawal tempat-tempat tumpuan awam serta memantau keselamatan kawasan sekolah dan pelajar ponteng.

Terengganu proaktif laksana agenda

Oleh: Suriati Ali 

 Terengganu mengambil langkah proaktif bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan di negeri ini dilaksanakan secara bersama seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat ditetapkan.

 Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, usaha berganda pasti dilaksanakan bagi memastikan agenda berkenaan memberikan manfaat kepada sebahagian besar komuniti usahawan di negeri ini.

 Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi khusus bagi mewujud dan membangunkan usahawan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

 "Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding negeri-negeri lain. Justeru, saya berharap agar kerjasama antara agensi serta komitmen yang diserlahkan sebelum ini bertambah baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin.

Tambah Roslee, pihaknya juga akan memastikan usahawan di negeri ini lebih berdaya saing pada masa depan seperti yang dinyatakan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

 "Untuk itu, kita akan terus memberi sokongan kepada program seumpama ini kerana saya percaya dengan kemampuan yang ada pada agensi berkaitan serta kekuatan rakan strategik, usaha untuk memartabatkan usahawan di Terengganu akan tercapai," katanya.

 

YPU perluas rangkaian T'Cafe Mr. Burger

Oleh: Suriati Ali 

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk mengembangkan operasi rangkaian restoran francais jenama T’Cafe Mr Burger dengan membuka cawangannya di setiap negeri .

 Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, buat masa ini, T'Cafe Mr. Burger mempunyai tiga cawangan iaitu di Chendering, Paka dan terbaharu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

 Katanya, dua lagi cawangan iaitu masing-masing di Air Putih, Kuantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini akan dibuka dalam masa terdekat.

"Sasaran kita selepas ini ialah setiap negeri ada cawangan T'Cafe Mr. Burger, bagaimanapun sebelum memastikan impian itu tercapai, kita akan membuat beberapa penambahbaikan termasuk memperkemaskan kualiti perkhidmatan serta mutu produk," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di TTC yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin. Dalam pada itu, Azmi yakin kedai ketiga T'Cafe Mr. Burger di TTC mampu memberi pulangan jualan sehingga RM3,000 sehari dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan lokasi TTC yang sentiasa menjadi tumpuan ramai khususnya setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah.

 "Ketika ini, purata jumlah jualan di dua lagi kedai iaitu di Chendering serta di Paka, Dungun ialah di antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari.

 "Bagaimanapun, dengan lokasi strategik serta permintaan terhadap produk T'Cafe Mr. Burger seperti burger, roti john, murtabak raja, lasagna serta nasi ayam golek yang semakin meningkat, kita yakin sasaran jualan di TTC tidak mustahil untuk dicapai," katanya.

 

Faktor kecuaian punca kebakaran-Bomba

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai diingat tidak mengambil mudah mengenai kebocoran elektrik serta pendawaian yang telah usang yang terdapat di rumah kediaman atau di premis kerana ia mengundang bahaya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md Salleh Sarbini berkata, masyarakat perlu mengambl berat terhadap perkara berkenaan yang boleh mencetuskan kebakaran serta kehilangan harta benda.

“Kejadian kebakaran rumah sentiasa meningkat dari tahun ke tahun dan faktor kecuaian menjadi penyebab utama insiden berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini pihaknya merekodkan kerugian akibat kebakaran, menyelamat dan tugas khas berjumlah RM47.2 juta.

Dalam tempoh yang sama juga pihaknya berjaya menyelamatkan harta benda berjumlah RM95.6 juta melalui kecekapan anggota dan pegawai bomba serta kerjasama orang ramai.

Tambahnya, anggota bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan tetapi dalam masa yang sama memerlukan keperihatinan masyarakat untuk membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula Januari hingga April merupakan waktu paling banyak berlaku kebakaran.

“Pada April tahun ini pihaknya merekodkan tafsiran kerugian paling tinggi iaitu RM43.1 juta serta menerima 219 panggilan kecemasan diikuti Mac RM1.6 juta, Februari RM999,300 dan Januari RM1.3 juta,” katanya.