Halaman

02 March 2013

Terengganu sedia jadi tuan rumah buat kali ketiga

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah peringkat akhir kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) buat kali ketiga tahun depan jika masih diberikan peluang itu.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, ia ekoran sambutan hangat yang diterima daripada penduduk sepanjang dua hari perlumbaan LTdL di negeri ini terutamanya ketika memasuki peringkat kelapan iaitu dari Pekan menuju ke Chukai, Kemaman.

 Menurutnya, beliau difahamkan sebaik saja pelumba memasuki Chukai ribuan rakyat Terengganu keluar memberi sokongan padu terutama apabila melibat kelibat pasukan TSG (Terengganu Cycling Team).

"Justeru, saya berharap tahun depan Terengganu akan diberi peluang sekali lagi menjadi tuan rumah dan kita juga bersedia untuk membuat penajaan.

 “Ini secara tidak langsung dapat memberi suntikan semangat kepada atlet pelapis lumba basikal di negeri ini untuk berusaha dengan lebih kuat seterusnya mampu menyertai acara berprestij ini,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penamat dan Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Kejohanan ltDl di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari Ini.



 Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab; Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal serta Pengerusi Jawtankuasa Belia dan Sukan negeri, YB.

Rozi Mamat. Turut hadir Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa; Pengarah MSNT, Zainal Abidin Hussin serta Pengerusi Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail.

 Dalam pada itu, Dato’ Seri Ahmad kerajaan negeri akan sedaya upaya membaiki kelemahan pasukan TSG pada kejohanan akan datang dan jika tiada aral Anuar Manan akan kembali beraksi dalam pasukan itu.







 

Suasana sedih diupacara pengkebumian Inspektor Zulkifli Mamat


Bacaan talkin untuk arwah Zulkifli Mamat

Oleh: Mohammad Ishak

Suasana pilu dan hiba menyelubungi sanubari orang ramai yang menyaksikan upacara pengkebumian Wira Negara, Allahyarham Zulkifli Mamat, 29, sebik sahaja arwah diturunkan ke liang lahat kira-kira jam 5 petang semalam.

Kira-kira 2,000 penduduk tempatan termasuk pemimpin kerajaan dan pegawai kanan polis menghadiri upacara ketika dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, dekat sini.

Jenazah Inspektor Zulkifi tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, tepat jam 3 petang dengan pesawat khas tentera.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat di kompleks TUDM untuk memberi penghormatan terakhir sebaik jenazah tiba dari Kuala Lumpur.

Antara kenamaan yang menyambut jenazah ialah Ketua Polis Terengganu Datuk Jamsah Mustafa, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari pengkalan TUDM kira-kira jam 4 petang dan tiba di rumah ibunya, Khatijah Ismail di Kampung Kubang Ikan, Besut dua puluh minit kemudian..

Upacara solat jenazah diadakan di rumah ibunya dengan diimankan oleh Mohd Shabri Harun dari Pejabat Bahagian Agama Kontijen Kuala Terengganu manakala bacaan talkin dilakukan oleh Zulkifli Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah Besut,Kampung Raja.

Isteri arwah, Nor Aziah Nor,28 bersama dua anaknya yang menaiki pesawat bersama allahyarham ditemani oleh pegawai kanan polis kelihatan tidak bermaya sebaik tiba di pengkalan TUDM dan terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda ke kenderaan lain.

Bagaimanapun, Nor Aziah turut menyaksikan upacara pengkebumian dan penghormatan terakhir tanpa ditemani dua anaknya.

Kehadiran ramai penduduk tempatan dan kenamaan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu membangkit semangat isteri arwah serta keluarga yang kehilangan orang tersayang.

 

KERAJAAN CAKNA RAKYAT, BERI PELBAGAI BANTUAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita 

Pelbagai usaha kerajaan untuk meringankan beban sara hidup rakyat, terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Di Terengganu bebagai bantuan seperti ini telah bermula sejak sekian lama, terutama bantuan persiapan setiap kali menyambut hari raya.

Bahkan bantuan dana remaja juga diwujudkan untuk golongan bujang atau belum berkahwin.

Lain-lain termasuklah bantuan perubatan, membaiki rumah, malah membuat rumah baru bagi golongan yang tidak berkemampuan, bantuan persiapan awal menyambung pelajaran dan sebagainya.

Pelbagai produk bantuan di Terengganu disediakan untuk rakyat hingga tidak tersenarai banyaknya; hatta pemberian percuma e-Book kepada pelajar, satu-satunya negeri yang berbuat demikian.

Nikmat bantuan itu bertambah lagi, apabila kerajaan pusat memperkenalkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau lebih dikenali sebagai BRIM yang diperkenalkan sejak tahun lalu.

BR1M melibatkan bantuan RM500 bermula 15 Januari 2012 tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini 2013 dikenali sebagai BR1M 0.2. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya memperolehi bantuan itu.

Bantuan Rakyat Satu Malaysia adalah salah satu bantuan yang telah dijanji dan ditepati oleh Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam bajet 2012 Ia adalah bantuan tunai, secara one-off, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat. Walau pun ada pihak tertentu mempersendakan pemberian ikhlas kerajaan untuk rakyat dengan penghinaan kepada penerima BR1M, disamakan menabur makanan kepada haiwan tetapi rakyat tetap bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang mengadakan bantuan seumpama itu.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sangat perihatin kepada nasib kami di mana sebelum ini saya juga terima Bantuan Rakyat IMalaysia (BRIM) dan dana raya daripada kerajaan negeri,” kata seorang bekas tentera Encik Zakaria Ngah dari Seberang Takir sambil mengesat air mata.

Beliau juga memperolehi bantuan pesara sebanyak seribu ringgit. Seorang balu Puan Ramlah Mat Sat, 45 tahun juga bersyukur menerima bantuan itu. “Saya akan gunakan duit ini untuk persekolahan anak-anak,” kata wanita itu yang berasal dari kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Bagi Raja Mat Raja Muda, 62 tahun, yang berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun amat berbesar hati dengan pemberian one-off ini kerana dapat meringankan beban keluarga.

Beliau yang berasal dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus berkata, usaha kerajaan ini memberi kelegaan golongan pesara yang tidak berpencen sepertinya.

Warga emas, Haji Mustafa Husin, 72 tahun turut menyokong apa yang disuarakan rakan-rakan lain.

“Pemberian ini amat bermakna bagi kami dan diharap ada lagi bantuan serupa ini pada masa akan datang bagi meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, sewaktu berkunjung ke negeri Terengganu minggu lalu menjelaskan segala bentuk bantuan yang diberi kerajaan kepada rakyat, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), merupakan amanah yang dipikul oleh kerajaan kepada rakyat.

“Orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menolong anak yatim serta orang miskin melakukan dosa besar,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shanbandar baru lalu.

Perdana Menteri menegaskan Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuruh umat Islam supaya membantu anak yatim dan orang miskin kerana pahalanya amat besar.

Malah, katanya, membantu golongan miskin dan anak yatim menyamai pahala mereka yang berjuang Fisabilillah.

Beliau menyifatkan kenyataan pihak tertentu menyamakan BR1M seperti memberi makanan kepada haiwan, telah menghina mereka yang mendapat bantuan tersebut.

Kerajaan Pusat jelasnya, menyediakan 231 produk bantuan 1Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini. Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menolak golongan yang sengaja menimbulkan keburukan dan suasana yang kurang selesa dalam masyarakat.

Sungguhpun ada pihak yang mengina penerima (BR1M) tetapi hakikatnya, kerajaan dibawah kepimpinan Dato’Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di peringkat pusat dan Dato’ Seri Haji Ahmad Said di peringkat negeri sememangnya sangat prihatin terhadap permasalahan rakyat dengan pelbagai jenis bantuan yang telah diberikan bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Oleh demikian, segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan harus lah diteliti dan di fahami kerana setiap kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah sebagai satu rasa bertanggujawab terhadap golongan rakyat yang memerlukan.

Kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban hidup rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.

Peranan kita adalah untuk sama-sama menjayakan usaha bagi menuju negara maju menjelang wawasan 2020.

Untuk berita selanjutnya KLIK

 

MB kecewa pembangkang mempolitikan isu pencerobohan di Lahat Datu,Sabah



Ahmad terharu melihat foto yang ditunjukkan ibu Zulkifli Mamat










Oleh:  Mohammad Ishak

Menteri Besar,Dato;Seri Ahmad Said  kecewa dengan sikap pembangkang yang  mencetuskan polimik politik terhadap kejadian berkenaan pencerobahan warga asing di Lahat Datu, Sabah walaupun tiga anggota polis terkorban.

Katanya, apa guna pertempuran di Kampung Tandou,Lahat Datu,Sabah,kelmarin dirancang kerajaan khususnya Umno sedangkan keluarga mangsa terbabit kehilangan anak tersayang.

Menurutnya, pemimpin pembangkang sudah ketandusan isu sehingga sanggup mempolitikan pencerobohan yang dilakukan warga asing berkenaan.

Kerajaan negeri menyifatkan Inspektor Zulkifli Mamat, 29, anak watan dari Besut, sebagai “:Wira Negara” kerana sanggup mengadai nyawa bagi mempertahankan bumi Malaysia diceroboh warga asing.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham yang sangup berkorban dan dalam masa sama rasa sedih kerana kehilangan seorang wira.

Katanya, kerajaan negeri akan membuat keputusan pada mesyuarat Exco Rabu ini untuk menentukan bantuan yang perlu diberikan kepada keluarga, balu dan anak allahyarham

“Allahyarham sudah membuktikan kepada rakyat Malaysia yang sanggup mengadai nyawa demi mempertahankan negara,” katanya selepas melawat ibu keluarga allahyarham di Kampung Kubang Ikan hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu,Datuk Jamshah Mustafa, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof,ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Jabi Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Ahmad berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri merakamkan takziah kepada balu, ibu dan keluarga allahyarham sambil berharap keluarga terbabit tabah menghadapi cabaran hidup.






PRU 13 peluang rakyat tolak Pas secara total

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) merupakan peluang terbaik kepada rakyat negeri ini untuk menolak Pas dan semua parti pembangkang secara total, bagi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata banyak masalah ditimbulkan oleh Pas sejak parti itu ditubuhkan, termasuk Amanat Haji Hadi yang membawa kepada isu kafir mengkafir dan perpecahan di kalangan umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Sekarang ini timbul pula isu kalimah Allah yang timbul disebabkan Pas telah bersengkokol dengan DAP yang sememangnya anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata, pakatan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan menimbulkan lebih banyak masalah di masa depan jika ada antara masyarakat Melayu dan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kita tidak ada cara lain untuk menghapuskan Pas atau Pakatan Rakyat, melainkan menolak semua calon mereka pada PRU 13,” katanya.

Di Terengganu Pas menang lapan daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripada lapan kerusi Parlimen pada PRU 12.

“Kita mahu rakyat Terengganu memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang di semua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU 13 nanti,” katanya.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, tidak ada gunanya lagi rakyat negeri ini menyokong Pas atau PKR kerana parti-parti tersebut tidak mampu mengambil alih tugas yang telah dilakukan Umno dan BN.

“Oleh itu, pengundi di negeri ini perlu bulatkan hati dan tidak membuat pilihan lain melainkan calon-calon BN bagi semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini,” katanya.

 

Kilauan permata IQT

Oleh: Aida Abd Rahman

Al-Quran sebagai sebuah kitab petunjuk dan kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril. Mengungkap setiap hurufnya bermula dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas merupakan ibadat dan membuktikan kecintaan yang tiada tolok bandingannya terhadap Allah s.w.t dan relevan sepanjang zaman.

Para penghafaz al-Quran adalah orang yang istimewa di sisi Pencipta dan para Rasul. Menyedari hakikat itu, Kerajaan Terengganu berusaha menerajui pembentukan generasi al-Quran melalui pembudayaan ilmu dengan mewujudkan Institut al-Quran Terengganu (IQT).

Sebelum dinamakan sebagai IQT pada 2 Januari 2007, pusat pengajian yang berhasrat muncul sebagai tempat penyelidikan dan rujukan terkenal di rantau ini sebelum ini dikenali dengan sebagai Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu sudahpun melahirkan 721 pelajar sejak 25 tahun beroperasi.

Pelbagai kejayaan diraih pelajar IQT yang mengikuti Program Persijilan Syahadah dan Diploma Lepasan SPM serta Program Pengajian al-Furqaan selain mereka terbukti muncul sebagai para huffaz yang berjaya. Seorang pelajarnya, Ikhwan Amin Hidayat, 19, dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu antara pelajar pusat pengajian itu yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili Terengganu di Majlis Hafazan Peringkat Kebangsaan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 hingga 8 Mac ini.

Kelancaran dan ketepatan anak sulung daripada tiga beradik memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran bagi tahap satu hingga 30 juzuk berjaya memikat juri untuk meraih markah tertinggi daripada semua peserta yang bertanding bagi tahap itu.

Ikhwan Amin mengumpul markah keseluruhan 99.38 peratus menewaskan peserta di tempat kedua, Mohd Izzat Mat Nor, 24, dari Institut Pengajian Islam Kuala Berang (99.08 peratus) dan ketiga, Ahmad Miqdad Mohd Abidin, 19, juga dari IQT (98.56 peratus).

Kemenangan cahayamata pasangan Hidayat Mustafa, 45, dengan Kamariah Abdullah, 47, yang lahir tanggal 17 Ogos 1994 membolehkan anak muda membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan. 

Menurut pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam bidang Syariah itu, dia memperuntukkan masa antara dua hingga empat jam sehari bagi mengasah minda dan ingatan, selain sentiasa menunaikan solat hajat bagi memberinya keyakinan terutama dalam majlis hafazan yang disertainya.

Bekas johan hafazan peringkat negeri bagi tahap satu hingga 20 juzuk tahun lalu itu sentiasa mengelak daripada memakan makanan yang boleh melemahkan daya ingatan terutama organ dalaman binatang, makanan ringan, minuman bergas dan kafein.

“Alhamdulillah bersyukur dengan kejayaan ini. Saya akan sentiasa mengasah ingatan dan memperbetulkan bacaan saya bagi mempersiapkan diri menjelang pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

“Saya jadikan guru tasmi’ al-Quran, Ustaz Hazwan Abdul Rahman sebagai sumber inspirasi saya untuk melakukan yang terbaik di pertandingan itu kelak. Selain itu, kedua ibu bapa juga penguat semangat saya untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang ini,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin yang memperolehi 7A 1B dan 1C pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2009 berhasrat untuk terus bergelar huffaz terbaik dan mampu menurunkan ilmu al-Quran itu kepada sahabat yang lain, selain dipraktikkan dalam amalan seharian.

Sementara itu, ibu Ikhwan, Kamariah turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan puteranya yang cenderung memilih bidang agama walaupun dia dan suami tidak mempunyai latar belakang dan profesionalisme di bidang itu.

“Alhamdulilah bersyukur ke hadrat Allah s.w.t, kerana anak saya memupuk minat dan mencintai ilmu al-Quran tanpa paksaan sesiapa. Ia dari kerelaan dan kehendak sendiri. Saya hanya menyokong usahanya dan terbukti dia mampu berjaya walaupun kami tidak mempunyai latar belakang bidang itu,” kata pembantu jurujual kedai di bandar Kuala Terengganu itu lagi.


Bicara Tokoh Negarawan Dr Mahathir di Marang 9 Mac

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan amanat kepada penduduk di kawasan Parlimen Marang, pada Program Bicara Tokoh Negarawan yang bakal diadakan di Dewan Majlis Daerah Marang, di Kampung Paya, pada 9 Mac depan.

Beliau dijangka membicarakan mengenai masa depan masyarakat Melayu dan kepentingan mereka mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional bagi mendaulatkan agama, bangsa dan negara.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata, majlis anjuran panel Perundingan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri itu dijangka dihadiri lebih 5,000 orang terdiri daripada kakitangan kerajaan, ahli-ahli pertubuhan kebajikan dan NGO di kawasan berkenaan.

Beliau berharap orang ramai dapat hadir bagi mengikuti amanat mantan Perdana Menteri itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijadualkan turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Pas jauh tersasar- Dato’ Abdul Rahman

Oleh: Suriati Ali 

 Perjuangan PAS semakin tersasar apabila Pas lebih sanggup mengetepikan matlamat asal kononnya untuk memperjuangkan Islam, semata-mata ingin menjaga hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 Usaha melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi untuk menjaga hati pemimpin DAP.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dat0’ Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang Pas buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN dan yang terbaru menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.

"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlaku perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah, ini semua hasil kerjasama Pas dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya.

Beliau berkata, perjuangan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini turut dilupakan dengan menukar ia daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP, Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat Pas sebelum itu.

 Katanya, pemimpin Pas iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan Mursyidul Am Pas sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

 Bercakap tentang sokongan rakyat kepada Pas, beliau berkata, kini semakin ramai pengikut Pas yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar Pas untuk menegakkan negara Islam.

 Katanya, Pas akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat juga akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).

 Pada PRU-12 Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.

 "Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk menolak Pas yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

 

01 March 2013

LtDL 2013 Peringkat ke 9 (Pasir Puteh - Kuala Berang)







 





Ukom anjur Program Jatidiri Belia & NGO

Unit Komunikasi Negeri (UKOM) akan menganjurkan Program Jati Diri Belia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Hotel Tanjong Vista, malam esok.

Program berkenaan bertujuan memantapkan pemikiran ahli-ahli pertubuhan belia dan NGO di seluruh negeri serta memberikan input semasa mengenai dasar-dasar dan program kerajaan.

 Para peserta program berkenaan akan didedahkan dengan isu-isu semasa dan fakta yang tepat bagi menjawab tuduhan liar yang dilemparkan pihak pembangkang.

Umno guna jentera parti pasang bendera

Umno menggunakan jentera partinya bagi memasang bendera Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Ramlan Ali, berkata tidak timbul isu Umno menggunakan khidmat anak-anak yatim Asrama Perkaya bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Beliau berkata, tuduhan itu sengaja ditimbulkan oleh pihak Pas bagi mencuri perhatian dan mahu menjatuhkan imej Umno.

 “Kita guna pekerja kita sendiri untuk pasang bendera di semua kawasan di DUN Jabi. Kita tak perlu guna anak yatim kerana tenaga kita cukup untuk pasang bendera,” katanya bagi menjawab tuduhan Pengarah Majlis Tindakan Pas DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim yang mendakwa Umno menggunakan anak yatim Perkaya bagi memasang bendera.

YB Ramlan menjelaskan batang-batang kayu bagi kegunaan memasan bendera diletakkan di kawasan asrama Perkaya di Jabi bagi mengelakkan ia dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini kita letak di luar tetapi dicuri orang. Jadi bagi mengelakkan kejadian itu berulang, kita tumpang sementara kayu-kayu tersebut dalam asrama Perkaya,” katanya.

RM10 juta untuk Tadika YIT

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan membina tiga buah lagi Tadika baru dengan peruntukan RM10 juta tahun ini

Pengarahnya, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, kelulusan berkenaan telah diperolehi daripada kerajaan negeri bagi membina tiga bangunan Tadika iaitu di Losong, Kuala Terengganu, Renek dan Permaisuri Setiu.

“Di Losong dan Renek merupakan pembinaan baru manakala di Permaisuri adalah bangunan lama yang akan dinaiktaraf,” katanya.

Katanya, setiap bangunan Tadika ini dijangka menelan kos antara RM3 hingga RM4 juta di mana pembinaan baru dijangka dimulakan dalam masa terdekat manakala kerja naiktaraf dijangka pada hujung tahun ini.

Menurutnya, setakat ini YIT mempunyai 18 bangunan Tadika dengan 131 kelas membabitkan 4,000 kanak-kanak seluruh negeri.

 “Daripada jumlah itu kita dapati menerima pertambahan 800 orang daripada tahun lalu ini berikutan pembukaan tiga buah Tadika baru di Kijal, Kemaman, Seberang Takir , Kuala Terengganu dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.

Katanya, sambutan ibu bapa amat memberangsangkan dan tahun depan jumlah kanak-kanak di Tadika YIT akan meningkat apabila siapnya tiga bangunan yang dirancangkan.

 

Sambutan meriah kepada peserta lumba basikal LTDL di Bandar Jertih


Peserta perlumbaan tiba di Bandar Jertih jam 9.20 pagi ini.

Oleh: Mohammad Ishak

Ribuan penduduk sekitar daerah Besut membanjiri Bandar Jertih untuk menyaksikan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat kesembilan dari Tanah Merah,Kelantan ke Kuala Berang, hari ini.

Orang ramai berkumpul sejak awal pagi untuk menyaksikan jaguh lumba basikal yang melalui jalan utama Jertih-Kuala Terengganu.

Peserta perlumbaan yang berlepas dari Tanah Merah,Kelantan tiba di Bandar Jerih kira-kira jam 9.20 pagi dan diberi sambutan meriah oleh penduduk daerah itu.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di hadapan Replika 1Malaysia raksaksa yang diletakkan di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Besut yang turut menempatkan khemah kenamaan.

Kehadiran peserta perlumaan di tengah bandar ini menceriakan suasana dengan keadaan cuaca yang amat baik dan panas ketika program berkenaan berlangsung.

Cuti hujung minggu pada hari Jumaat memberi peluang orang ramai keluar untuk menyaksikan perlumbaan yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan.

BN optimis tawan 28 kerusi

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) Terengganu optimis mampu menawan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) termasuk merampas semula empat kerusi dimenangi pembangkang pada PRU lalu.

Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan kajian dan prestasi semasa, empat hingga enam kerusi DUN yang dimenangi pembangkang dijangka dapat ditawan semula terutama di Ladang, Bukit Payong, Bukit Tunggal dan Manir.

“Melalui kajian dibuat, BN Terengganu yakin dapat merampas balik empat hingga enam kerusi yang kita kalah pada PRU12 lalu. Kita jangka dapat mengambil semula Ladang, Bukit Payung, Bukit Tunggal dan Manir.

 “Hanya kerusi di (DUN) Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang agak ‘kritikal’. Kita kalah di Ladang pada PRU 2008 hanya majoriti 31 undi disebabkan masalah teknikal apabila satu beg undi pos tidak dibuka. 

“Sebab itu, sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, di DUN Ladang, BN menang majoriti 570 undi. Manakala tiga kerusi lagi, kalah dengan majoriti kecil, sebab itu kita yakin dapat kembali kerusi DUN itu,” katanya.

 Pada PRU12, BN menang dengan 24 kerusi, manakala Pas pula menang lapan kerusi termasuk DUN Sura dan Batu Buruk.


Manifesto PR umpama `gula-gula’

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menyifatkan manifesto yang diumumkan Pakatan Rakyat baru-baru ini tidak masuk akal umpama `gula-gula’ untuk meraih undi rakyat.

 Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata ini kerana sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Janji pembangkang dalam manifesto itu, memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga ke menara gading jika menguasai Putrajaya adalah bersifat tidak realistik.


“Jika ikhlas ingin mebantu rakyat, tidak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kesungguhan dan kemampuan, terutama di Selangor dan Kedah,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

 Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang baru-baru ini antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

 Encik Saiful turut meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis atau janji `gula-gula’ pembangkang dalam manifesto itu yang pastinya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

 "Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya

 

Mangsa rumah hanyut di Kampung La mendapat perhatian pemimpin.


Dr Abdullah menyampaikan sumbangan kepada mangsa rumah hanyut Zakaria Ibrahim

Oleh: Mohammad Ishak 

Penderitaan mangsa rumah hanyut di Kampung La, Hulu Besut yang dilanda banjir, selasa lalu mendapat perhatian pemimpin daerah Besut apabila mereka turun padang melawat mangsa terbabit.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri serta isteri Puan Seri Wan Naimah Abdul Latif, adalah yang pertama tiba dilokasi rumah hanyut terbabit. Ia diikuti

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Kehadiran ketiga-tiga pemimpin terbabit membangkitkan semangat tiga mangsa banjir itu yang kehilangan rumah apabila arus deras menghanyutkan sebahaagian daripada masing-masing.

Seorang daripada mangsa terbabit, Zakaria Ibrahim, 47, berkata beliau amat terharu dengan kehadiran pemimpin berkenaan yang sudi hadir melawat mereka ketika dalam kesusahan.

Katanya, banjir yang melanda kampung itu tahun ini paling teruk dan sama dengan kejadian 2000 menyebabkan tiga rumah dihyanyutkan air bah.

Sementera itu, Idris berkata pihaknya akan berusaha untuk membantu membaiki rumah yang terjejas dengan bencana itu.

28 February 2013

UMT rancang bina pelabuhan untuk kapal komersial

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan projek penyediaan kemudahan baru untuk pengajaran dan penyelidikan maritim dan sains marin dengan anggaran kos RM20 juta mulai tahun ini.

 Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, pembangunan kemudahan Pelabuhan Pengajaran dan Penyelidikan (PPP) itu akan dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri.

 “Projek ini akan dilaksanakan di Kampung Seberang Pak Abu, Mukim Kuala Nerus dan akan melalui tiga fasa membabitkan anggaran kos keseluruhan RM20 juta,” katanya.

Katanya, fasa pertama membabitkan kos antara RM800,000 hingga RM1 juta merupakan dana dalaman universiti dan tahun depan akan memohon peruntukan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk laksanakan fasa seterusnya.

Menurutnya, dalam fasa pertama (2013-2015) tumpuan akan diberi kepada penyediaan pelabuhan dan makmal asas untuk pengajaran.

“Fasa kedua dan ketiga pula akan melibatkan kos yang lebih tinggi serta bercadang untuk membina jeti kegunaan kapal komersial sementara jeti nelayan yang boleh memuat 20 hingga 30 bot pada satu-satu masa,” katanya.

Dalam hal ini katanya, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM) dan Makmal Berpusat diberi tanggung jawab untuk menyediakan kertas konsep pembangunan kemudahan tersebut.

Katanya, apabila semuanya siap, PPP ini dapat menyediakan kemudahan pelabuhan untuk kapal penyelidik UMT, makmal pembelajaran dan penyelidikan dan kemudahan jeti untuk nelayan, ruang inkubator bagi menjayakan inovasi melalui jaringan university dan industri.

 

Veteran Umno lancar pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Veteran Umno Malaysia telah melancarkan pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’ sebagai tanda sokongan kepada parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sempena Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU-13).


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Sekretariat Veteran Umno Malaysia itu menandakan semangat yang masih tinggi di kalangan ahli veteran dalam memperjuangkan parti.

"Pengagihan pelekat akan diedarkan kepada setiap rumah dan diharap ia akan ditampal di tempat sepatutnya sebagai tanda kebanggaan setiap ahli.

"Selain itu, bagi menyemarakkan semangat perjuangan parti kita dalam memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRU-13 kelak, golongan veteran juga perlu bersama-sama membantu kerajaan dengan memastikan setiap ahli keluarga menyokong dan mengundi BN pada hari pilihan raya nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Keluargaku Pengundi BN peringkat negeri di Hotel Prinzpark, hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 45,000 ahli veteran di seluruh negeri.

Beliau yang juga merangkap Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yakin, dengan pelbagai bantuan dan tranformasi yang dilakukan kerajaan, rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada parti BN dan Umno.

 

Terengganu jadi tumpuan dunia

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu sekali lagi menjadi perhatian dunia sebagai hos lokasi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 apabila pelumba memulakan kayuhan peringkat kelapan dari Kuala Terengganu hingga Tanah Merah, pagi ini.



Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan dari seluruh dunia berkampung di depan Pasaraya Maiden Mall, Kuala Terengganu bagi meneruskan kayuhan sejauh 164.5 kilometer (km).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said menyempurnakan majlis pelepasan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pelumba yang melewati pantai di tiga daerah Kuala Terengganu-Setiu-Besut sebelum memasuki sempadan Kelantan bagi menamatkan peringkat ketiga terakhir itu yang mengambil masa hampir empat jam.

Sementara esok (1 Mac) menyaksikan persaingan di peringkat kesembilan yang melibatkan jarak 123.6km dari Pasir Putih ke Kuala Berang, sebelum menutup tirai pada 2 Mac untuk peringkat kesepuluh, Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km)








Teganukita 74


Nelayan akan kehilangan nikmat jika pilih pembangkang


Idris menyampaikan bantuan sara hidup tunai kepada nelayan daerah Besut

Oleh:  Mohammad Ishak 

Kemewahan yang dinikmati oleh nelayan akan hilang sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak lagi diberi peluang untuk memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) tidak lama lagi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno,Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hanya BN yang peka dan prihatin terhadap nasib nelayan apabila kerajaan melaksanakan pelbagai skim dan insentif untuk membantu golongan terbabit.

Katanya,pemimpin pembangkang hanya pandai bercakap dan memikirkan cara untuk melangkah ke Puterajaya sebaliknya tidak ada apa yang mereka lakukan untuk membela nasib rakyat.

Menurutnya, walapun diberi peluang untuk memerintah di empat negeri kerajaan negeri terbabit tidak menjaga masalah rakyat malah urusan pentadbiran juga tidak terurus.

 “Apa yang menyedihkan pemimpin pembangkang cuba menghina rakyat apabila menuduh mereka yang menerima bantuan kerajaan sebagai haiwan,” katanya ketika menyampaikan bayaran elaun sara hidup secara tunai kepada nelayan daerah Besut di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, hari ini.

Hadir sama ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Rani.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata,nelayan di Terengganu juga tidak diabaikan dalam pelbagai skim bantuan yang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, skim bantuan sara hidup yang diperkenalkan sejak 2008 sehingga ini memberi manfaat kepada 5,116 nelayan membabitkan perbelanjaan RM45 juta.

Menurutnya, bagi daerah Besut 645 nelayan menerima elaun sara hidup bulanan RM200 seorang dan kerajaan membelan jakan RM7 juta untuk membantu golongan terbabit. .

BEKAS AHLI SEBUAH PARTI DICEKIK ,DIUGUT BUNUH DAN BAKAR RUMAH KERANA SOKONG UMNO: SUATU TINDAKAN YANG AMAT TIDAK ISLAMIK, KERAS DAN ZALIM.......

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman 

Mencekik leher dan mengugut bunuh dan bakar rumah dilakukan oleh seseorang terhadap kawannya apabila kawannya berubah arah memilih Umno dan meninggalkan parti asalnya.

Satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang dilaung-laungkan, apatah lagi demokrasi dan hak asasi manusia yang dilaungkan oleh kumpulan itu dan para sekutunya.

Dalam satu report kepada pihak berkuasa semalam 25 Februari, yang dibuat oleh pengadu, berusia 53 tahun dari Kampung Jerong Seberang beliau menyatakan:

- telah diugut oleh empat orang lelaki berbangsa Melayu dikenali dari sebuah parti tertentu.

- pengadu telah diminta keluar dari rumah dan sebaik keluar, keeempat empat orang itu telah memarahi pengadu kerana telah keluar dari parti tertentu dan menyertai Umno serta menjadi Penaja bagi penubuhan Umno Cawangan Bukit Cempedak.

- Pengadu mendakwa DICEKIK oleh salah seorang dari empat orang dari parti berkenaan itu DAN DIUGUT BUNUH DAN MEMBAKAR RUMAH lantaran perselisihan parti itu.

Peristiwa itu berlaku di hadapan isteri dan anak anak pengadu sebagai saksi kejadian tersebut.

Pengadu pada 4 Januari lalu telah menyertai Umno dan meninggalkan meningggalkan parti yang disertai sebelumnya dan telah menyerahkan borang kemasukan ke dalam Umno kepada Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di rumah Menteri Besar Terengganu itu.

Suspek yang membuat ugutan itu difahamkan telahpun ditahan reman oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut hari ini 26 Februari. Difahamkan juga siasatan dijalankan dbawah Seksyen 506, Kanun Keseksaan, Ugutan Jenayah.

Nampaknya suasana politik semakin panas menjelang PRU 13.

Sepatutnya sesiapa bebas untuk memilih parti politik, tetapi ada golongan yang tidak boleh menerima hakikat ahlinya sendiri sudah lari meninggalkan partinya yang sudah dilihat jauh tersasar dan menyeleweng itu dari dasar sebenar, terutama setelah berpakat dengan pihak tertentu yang terang memusuhi Islam.

 

YIT perkasa pendidikan Islam

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang membuat penambahbaikan dalam bidang pendidikan khususnya di sekolah aliran agama di bawah kelolaannya sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pengarahnya, Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata, salah satunya ialah perlaksanaan fasa kedua Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman yang sedang berjalan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

“Projek berkenaan membabitkan pembinaan asrama puteri, dewan makan dan dewan serbaguna dengan peruntukan berjumlah RM5 juta,” katanya dalam sidang media di Permai Inn baru-baru ini.

Katanya, bila fasa kedua ini siap, projek fasa ketiga iaitu fasa akhir akan disambung yang turut membabitkan peruntukan RM5 juta.

Tambahnya sehingga ini terdapat 300 pelajar lepasan UPSR sedang menuntut di Inspi dan jika mendapat keputusan cemerlang mereka berpeluang menyambung pengajian di universiti tempatan dan luar negara seperti Jordan.

Menurut Haji Md Kamarul, bila siap bangunan baru kelak ia dijangka boleh menampung 1,000 pelajar dan pelajar di Inspi menerima biasiswa RM100 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk pembinaan fasa pertama Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu tahun ini.

 “Tapak asalnya merupa tanah yang telah di wakafkan oleh masyarakat di kampung berkenaan dengan keluasan satu hektar dan telah digunakan sejak 2010 dengan menempatkan 100 pelajar lepasan UPSR,” katanya.

Katanya, YIT juga telah selesai membuat urusan pembelian tanah seluas 3.6 hektar disekitar kawasan berkenaan untuk tanaman kelapa sawit dan rambutan.

Menurutnya, dalam fasa pertama akan dibangunkan bangunan akademik dan fasa kedua bangunan asrama dan dewan makan dan kos bagi tiga fasa berkenaan dianggarkan RM20 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.