Halaman

27 February 2013

Terengganu perintis tawar bidang Kejuruteraan Perubatan Bio

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu merintis usaha menawarkan kursus pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perubatan Bio apabila Universiti Sains dan Teknologi Jodan (JUST) bersetuju membuka kampus cawangannya di Besut, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain kursus itu, tiga lagi ialah Perubatan, Farmasi dan Kejururawatan bagi peringkat ijazah.

"JUST bersetuju membuka kampus cawangannya di Terengganu dan kerajaan negeri pada peringkat awal membenarkan penggunaan bangunan Kompleks Imtiaz Besut  yang dilengkapi asrama di Bukit Keluang, Besut di mana boleh menampung sehingga 700 pelajar.

 "Kesediaan JUST menyediakan kursus pengajian Kejuruteraan Perubatan Bio yang pertama di negara ini juga sejajar dengan program pembangunan dalam sektor industri bio teknologi di kawasan industri Kertih  membabitkan beberapa pelabur besar luar negara yang akan beroperasi di situ tidak lama lagi.

"Malah, menjelang 2015, Terengganu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya sehingga 1,500 tenaga kerja mahir dalam bidang bio teknologi untuk menyokong pembangunan industri itu di Kertih," katanya di  majlis makan malam meraikan rombongan JUST di Hotel Primula, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Presiden JUST, Prof Dr Ahmed M Elbetieha yang juga Profesor Pembangunan dan Molekular Genetik, Pengarah Yayasan Terenngganu, Encik Zakaria Yusof dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Haji Razali Mahmud.

Menteri Besar berkata, persetujuan JUST membuka kampus cawangannya di negeri ini hasil kerjasama dan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama antara Kerajaan Terengganu dengan universiti berkenaan pada Ogos lalu.

Sehubungan itu, JUST memperuntukkan 50 tempat untuk pelajar tajaan Yayasan Terengganu mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti itu di Jordan dan seramai 30 pelajar kumpulan pertama sudah dihantar tahun lalu.

“Seperti kursus pengajian perubatan tempoh pengajian selama enam tahun dengan tiga tahun belajar di JUST di Jordan manakala bakinya di kampus cawangan di JUST Terengganu.

 "Ada juga kursus yang berjalan selama lima tahun dengan tempoh pengajian tiga tahun di JUST Jordan dan dua tahun di JUST Terengganu dan cara ini akan menjimatkan kos pembiayaan pengajian pelajar tajaan YT yang dihantar ke luar negara terutama dalam bidang perubatan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan kelulusan pembukaan kampus cawangan JUST Terengganu di Besut.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 900 pelajar Malaysia yang sebahagian besar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di JUST.