Kepimpinan di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) samada pengerusi, setiausaha dan ahli jawatankuasa perlu turun padang mendekati penduduk kampung dan mendengar permasalahan yang mereka hadapi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua kepimpinan JKKK perlu cakna terhadap anak buah mereka.
"Tidak ada alasan untuk tidak mendekati rakyat di peringkat akar umbi kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan bagi JKKK membantu mereka yang memerlukan.
"Kita cuma perlukan sentuhan JKKK untuk mengenalpasti mereka yang betul-betul layak sebelum menerima sebarang bantuan yang disalurkan kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sepetang Menteri Besar Bersama JKKK Daerah Kemaman, di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.
Katanya, JKKK dan wakil rakyat sama sahaja kerana perlu prihatin terhadap rakyat dan tidak akan mendatangkan masalah kalau mereka tahu buat kerja dan laksanakan tugas masing-masing.
"Di bawah pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ sebagai pemimpin, apa sahaja yang kita lakukan mesti untuk rakyat dan cuba pastikan mereka berpuas hati,” katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi, JKKK perlu bersatu hati dan lakukan kerja dengan baik di samping menyalurkan maklumat yang tepat kepada wakil rakyat supaya dapat memantapkan lagi barisan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Umno khususnya di Terengganu.