Halaman

01 March 2013

Manifesto PR umpama `gula-gula’

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menyifatkan manifesto yang diumumkan Pakatan Rakyat baru-baru ini tidak masuk akal umpama `gula-gula’ untuk meraih undi rakyat.

 Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata ini kerana sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Janji pembangkang dalam manifesto itu, memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga ke menara gading jika menguasai Putrajaya adalah bersifat tidak realistik.


“Jika ikhlas ingin mebantu rakyat, tidak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kesungguhan dan kemampuan, terutama di Selangor dan Kedah,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

 Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang baru-baru ini antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

 Encik Saiful turut meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis atau janji `gula-gula’ pembangkang dalam manifesto itu yang pastinya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

 "Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya