Halaman

28 February 2013

UMT rancang bina pelabuhan untuk kapal komersial

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan projek penyediaan kemudahan baru untuk pengajaran dan penyelidikan maritim dan sains marin dengan anggaran kos RM20 juta mulai tahun ini.

 Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, pembangunan kemudahan Pelabuhan Pengajaran dan Penyelidikan (PPP) itu akan dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri.

 “Projek ini akan dilaksanakan di Kampung Seberang Pak Abu, Mukim Kuala Nerus dan akan melalui tiga fasa membabitkan anggaran kos keseluruhan RM20 juta,” katanya.

Katanya, fasa pertama membabitkan kos antara RM800,000 hingga RM1 juta merupakan dana dalaman universiti dan tahun depan akan memohon peruntukan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk laksanakan fasa seterusnya.

Menurutnya, dalam fasa pertama (2013-2015) tumpuan akan diberi kepada penyediaan pelabuhan dan makmal asas untuk pengajaran.

“Fasa kedua dan ketiga pula akan melibatkan kos yang lebih tinggi serta bercadang untuk membina jeti kegunaan kapal komersial sementara jeti nelayan yang boleh memuat 20 hingga 30 bot pada satu-satu masa,” katanya.

Dalam hal ini katanya, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM) dan Makmal Berpusat diberi tanggung jawab untuk menyediakan kertas konsep pembangunan kemudahan tersebut.

Katanya, apabila semuanya siap, PPP ini dapat menyediakan kemudahan pelabuhan untuk kapal penyelidik UMT, makmal pembelajaran dan penyelidikan dan kemudahan jeti untuk nelayan, ruang inkubator bagi menjayakan inovasi melalui jaringan university dan industri.