Halaman

25 February 2013

Projek sawit Lubuk Dalam 4 berpotensi tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek tanaman sawit Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman dikenalpasti sebagai ladang kelapa sawit paling berpotensi tinggi yang dimajukan Felcra Berhad di negara ini, berikutan jangkamasa singkat menguruskan tanaman itu dengan waktu menuai hasil.

Berbanding projek Felcra yang lain, ladang tanaman sawit berkenaan hanya mengambil masa tiga tahun untuk mengeluarkan hasil selepas ia mula ditanam pada November 2010.

Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur Encik Sauddi Sitor, berkata faktor tanah yang berpotensi tinggi dan sesuai dengan tanaman itu, tiada penyakit serta masalah musuh tanaman terutama babi hutan dan gajah melancarkan pertumbuhan tanaman itu.

 “Sebenarnya projek tanaman paling luas diusahakan oleh Felcra serakat ini amat berpotensi tinggi dan hanya terdapat masalah kecil yang tidak menjejaskan perkembangan tanaman.

 “Projek lain kebanyakannnya mengambil masa lima hingga enam tahun masih juga tidak memberi hasil berikutan masalah serangan musuh tanaman seperti gajah dan babi hutan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penuaian Hasil Buah Tandan Segar (BTS) Sawit, di Projek Felcra Bhd Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman, semalam.

Majlis dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid.

Dalam perkembangan lain, Felcra juga akan membangunkan projek yang sama melibatkan kawasan seluas 500 hektar di Setiu, tidak lama lagi.

Katanya, penyampaian geran tanah oleh kerajaan negeri bagi memajukan tanah berkenaan akan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bulan depan.

Encik Sauddi berkata, Felcra sentiasa bersedia untuk memajukan tanah terbiar dan ladang komoditi di negeri ini dengan sebaik mungkin sekiranya kerajaan negeri memberi tanggungjawab itu kepada pihaknya.

 “Kita bersedia jika kerajaan negeri mahu kita majukan tanah yang sesuai untuk penanaman kelapa sawit termasuk di sekitar Lubuk Dalam 4 (Kijal) ini.

“Bagaimanapun, kita akan terus memajukan tanah yang dipertanggungjawabkan setakat yang kita ada, memandangkan kerajaan negeri mahu tanah berkenaan diuruskan oleh anak syarikat sperti Ladang rakyat,” katanya.