Halaman

24 February 2013

Ibu tunggal dapat keutamaan usaha ladang sawit

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri komited membantu ibu tunggal apabila mengutamakan golongan berkenaan yang kurang berkemampuan dan memiliki anak ramai untuk mengusahakan projek tanaman sawit seluas hampir 600 hektar di Lubuk Dalam 4, Kijal, bagi membantu menambah pendapatan golongan itu, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengusaha tanaman yang juga peserta projek itu akan dipilih secara berperingkat-peringkat mengikut kriteria ditetapkan sebelum mereka ditempatkan di kawasan tanaman yang dijangka akan dituai sepenuhnya enam bulan dari sekarang.

“ Peserta yang akan mengusahakan projek ini di kalangan orang tempatan dan sebahagiannya kita agihkan kepada golongan ibu tunggal yang memiliki anak ramai, sekurang-kurangnya dapat menambahkan pendapatan serta mengurangkan bebanan mereka.

“Mereka mungkin akan mengusahakan tanaman seluas dua hingga tiga hektar bagi setiap peserta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Hasil Buah Tandan Segar (BTS) Sawit Projek Felcra Bhd Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid.

Berdasarkan perkembangan tanaman yang tidak berdepan masalah serius terutama serangan bintang, Menteri Besar berkata, projek yang diuruskan Felcra sejak November 2010 itu antara yang berpotensi baik apabila hanya memakan masa tiga tahun untuk mengeluarkan hasil dan dapat dituai.

Menurutnya, projek berkenaan menelan kos yang agak tinggi iaitu kira-kira RM10,000 setiap hektar kerana melibatkan pembinaan parit untuk manfaat pada jangka masa panjang.

Sempena majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut memotong tandan kelapa sawit sebagai gimik perasmian dan menyampaikan sumbangan wang tunai bantuan one-off RM500 dan selimut kepada 200 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri Kijal.