Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) minta elaun khas yang diberikan kepada pelatih-pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dibelanjakan sebaik mungkin untuk keperluan mereka.
Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, setiap pelatih yang dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) dan mengikuti program PDK diberikan elaun khas berjumlah RM150 setiap bulan.
Menurutnya, walaupun ada cadangan supaya elaun tersebut dinaikkan sebab tidak mencukupi untuk perbelanjaan keperluan para pelatih, namun hanya kerajaan yang dapat memutuskannya.
“Yang penting, bagaimana jumlah itu dibelanjakan dan sekiranya elaun dinaikkan kepada RM200 atau RM 300 sekalipun, jika tidak digunakan untuk tujuan sebenar, masih juga tidak mencukupi.
“Saya minta elaun yang diberikan dibelanjakan secara berhemah untuk keperluan mereka,” katanya ketika diminta mengulas cadangan supaya elaun pelatih PDK dinaikkan.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Program Dunia Nutrisi Insan Istimewa (Dunia) anjuran Persatuan Mahasiswa Diatetik Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) baru-baru ini,
Hadir sama, Ketua Jabatan Sains Kesihatan Unisza, Dr Sharifah Wajihah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa.
Selain itu katanya, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk mengadakan program yang dapat memberikan pendedahan kepada ibubapa atau penjaga bagaimana mengendalikan anak-anak bermasalah.
Menurutnya, bukan semua kalangan ibubapa dan penjaga mengetahui apa makanan yang baik serta bagaimana untuk menguruskan anak-anak sedemikian.