Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terkilan dengan sesetengah golongan muda di negeri ini yang belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai imam atau bilal di masjid-masjid.
Titah baginda, senario itu berlaku disebabkan ramai kalangan remaja yang kurang berminat ke masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah.
Justeru, baginda berharap tindakan segera dapat dilakukan bagi menggalakkan golongan tersebut sentiasa mengunjungi masjid serta mengimarahkan institusi ibadat itu.
Pada masa yang sama, Sultan Mizan menyeru kepada pihak berkuasa agama selain jawatankuasa-jawatankuasa masjid agar memperbanyakkan program keagamaan di institusi ibadat itu untuk menarik minat golongan tersebut.
"Hari ini, golongan muda tidak bersedia menjadi imam atau bilal apabila kurangnya mereka ke masjid-masjid.
"Tugas imam atau bilal sangat mulia kerana masjid adalah rumah Allah yang paling suci," titah Sultan Mizan ketika merasmikan Masjid Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Sri Temenggung, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud serta Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat.
Baginda selanjutnya bertitah, program keagamaan seperti ceramah agama, tahlil, bacaan al-Quran dan sebagainya perlu dihidupkan di masjid untuk sama-sama mengimarahkannya.
"Harapan beta untuk melihat rakyat Terengganu khususnya umat Islam memakmurkan masjid di sepanjang waktu.
"Marilah abadikan diri kepada Allah dengan mengimarahkan masjid serta mendekatkan diri dengan masjid. Pada ketika umur panjang, masa lapang selain sihat tubuh badan, jangan kita sia-siakan," titah baginda.
Dalam pada itu, Masjid Kampung Kuala Pueh yang mula dibina pada September 2008 dan siap untuk digunakan pada Mac 2009 menelan kos RM1.9 juta dan ia boleh menampung 750 jemaah.