Halaman

29 February 2012

Menteri Besar bakar semangat pelumba TSG

Oleh FAUZI MOHD

Barisan pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mendapat suntikan semangat secara langsung daripada Dato’ Seri Ahmad Said yang berkesempatan menemui mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Menteri Besar antara lain menasihati pelumba agar percaya kepada diri sendiri dan mempraktikkan taktik perlumbaan yang ditentukan jurulatih, Sebastian Duclos dalam meneruskan misi memburu kedudukan terbaik dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.

Sambil melaungkan keyakinan pasukan lumba basikal profesional itu mampu mencipta kejutan dalam edisi ke-17 yang berbaki lima peringkat, Dato’ Seri Ahmad juga berpesan supaya pasukan negara tidak gentar meskipun berhadapan ramai jaguh lumba bertaraf dunia.

”Saya sendiri menyaksikan aksi anda dan pelumba-pelumba lain sebelum ini dan sekiranya anda mempamerkan aksi pada tahap terbaik, pelumba-pelumba ternama lain bukanlah satu ancaman besar,” katanya sebelum berangkat pulang ke Kuala Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan Pengurus TSG, Mohd. Sophian Abu Bakar.

13 pelumba yang menggalas cabaran edisi LTdL kali ini ialah Mohamed Harrif Salleh, 23, selaku ketua pasukan; abangnya, Mohamed Zamri Salleh, 28; Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 22; Muhammad Shobry Abdullah, 21; Anwar Aziz Muhd Shaiful, 25; Mohd Shahrul Mat Amin, 22 dan Mohamad Saufi Mat Senan, 21.

Selain itu, Nur Amirul Fakruddin Marzuki, 20; Mohd Nor Umardi Rosdi, 25; Yusrizal Yusof, 21; Shinichi Fukushima, 40 (Jepun); Jang Chan Jae, 23 (Korea) dan Kim Do Hyeong, 25 (Korea).

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut merakamkan ucapan tahniah kepada Harrif yang menunjukkan belang menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer, Isnin lalu.

Katanya, harapan rakyat Terengganu cukup tinggi untuk melihat jaguh tempatan mencipta nama pada perlumbaan tumpuan dunia itu khususnya tiga peringkat terakhir di Terengganu.