Halaman

28 February 2012

LTdL 2012 : Guardini lakar hatrik kuasai peringkat keempat

Pelumba Itali, Andrea Guardini melakar kejayaan hatrik apabila memenangi peringkat keempat LTdL 2012 dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer semalam.

Pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia itu ternyata sukar dihalang apabila dia melakukan henjutan bertenaga pada satu kilometer terakhir, sekali gus menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 57 minit dan 11 saat.

Tempat kedua dimenangi pelumba United Healthcare, Jacobe Keough, manakala pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh menaiki podium buat kali pertama pada edisi ini dengan menduduki tempat ketiga.

Nasib malang pula menimpa seorang lagi pelumba sensasi negara, Anuar Manan setelah tayar basikal pelumba Champion System itu pancit dua kali, sekali gus menjejaskan misinya untuk memenangi perlumbaan semalam dengan sekadar berada di tempat ketujuh.

"Hari ini (semalam) saya agak keletihan kerana terpaksa mengejar peloton hadapan sebanyak dua kali kerana tayar basikal pancit.

"Situasi ini memaksa saya menggunakan sepenuh tenaga yang ada untuk kembali ke peloton hadapan dan walaupun dapat juga mengejar mereka di saat-saat akhir, namun semuanya sudah terlambat.

"Guardini bukan calang-calang pelumba. Dia seorang pelumba yang memiliki kayuhan pantas dan juga seorang yang bijak. Amat sukar untuk mengalahkannya," jelas Anuar semalam.

Situasi itu menyaksikan Anuar turun ke tempat ketiga dalam persaingan Jersi Biru (Raja Pecut) dengan mengumpul 35 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Guardini.

Sementara itu, David Zabriskie sekali lagi berjaya mempertahankan Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan, manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula masih kekal menjadi milik Floris Goesinnen daripada Drapac Cycling.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia turut kekal dalam genggaman Dmitriy Gruzdev, sementara pasukan Garmin Barracuda masih mendahului kategori berpasukan keseluruhan.