Gambar oleh Zulkipli Putra
Terbaru, kerajaan negeri berhasil menarik pelaburan terbesar dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih dan perkara itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.
"Kita bersedia menarik lebih ramai pelabur untuk menjalankan pelaburan di Terengganu dan akan mengenal pasti lebih banyak kawasan yang sesuai bagi membuka lebih banyak kawasan projek akuakultur pada masa depan," kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, projek ternakan udang itu adalah satu daripada 12 projek berimpak tinggi yang keseluruhannya berjumlah RM9 bilion yang bakal dilaksanakan di ECER dalam tempoh tiga bulan mulai Januari ini sekali gus bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.
Malah, kejayaan menarik pelaburan besar itu juga membolehkan ECER menghampiri sasaran pelaburan RM10 bilion untuk 2012 seperti yang diunjurkan oleh ECERDC.
Pelaburan membabitkan sembilan projek baru itu termasuk dua bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek bernilai RM2 bilion di Pahang dan masing-masing satu di Terengganu bernilai RM1 bilion dan Kelantan, RM500 juta.
