Polis Terengganu bersama lebih 1,500 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bergerak bersama bagi mengurangkan peratusan kegiatan jenayah di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, anggota terlibat telah pun diberikan latihan untuk memulakan tugas bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjaga melalui rondaan secara berjalan kaki.
Menurutnya, perlaksanaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan itu bagi meningkatkan pendekatan rondaan seperti ‘Four Men Patrol’ di mana empat anggota keselamatan dari agensi berlainan melakukan rondaan dengan lebih kerap.
“Rondaan lapan jam sehari pada waktu siang itu memberi fokus kepada kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar, premis perniagaan, bank dan pusat membeli-belah di semua daerah di Terengganu.
“Di samping mendapatkan maklumat berkaitan jenayah dengan orang ramai, kami mahu berkomunikasi secara mesra dan santai sambil mengedarkan risalah berkaitan pencegahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rondaan bersama PDRM, JPAM, Rela dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sekitar Bazar Warisan dan Pasar Payang hari ini.
Turut hadir,Timbalannya, Dato’ Hamzah Md. Jamil dan Ketua Polis Daerah, Zamri Samsuddin.
Tambah Dato’ Jamshah, keberkesanan jalinan antara cabang jabatan kerajaan yang lain dijangka member impak yang memberangsangkan khususnya dalam mengurangkan kadar indeks jenayah di negeri ini.
Selain itu katanya, kehadiran pihak polis di sesuatu tempat lebih menyerlah dengan menambah kekerapan nyalaan lampu ‘beacon’ kenderaan peronda polis, memakai vest keselamatan semasa bertugas pada waktu siang dan malam.
“Penggunaan alat pembesar suara turut dipertingkatkan bagi memberi peringatan dan nasihat yang menjurus kepada aspek pencegahan jenayah kepada orang ramai di kawasan-kawasan rondaan,” ujarnya.