Halaman

01 March 2012

LTdL 2012 : Jose Serpa tawan Titiwangsa, dua saat dahului Corridor

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pakar pendaki berkelas dunia apabila mengungguli peringkat keenam Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Proton, Shah Alam ke Genting Highlands semalam.

Kejayaan tersebut adalah yang kedua direkodkan Serpa dalam perlumbaan LTdL edisi ke-17 kali ini selepas pelumba berusia 33 tahun itu menjuarai peringkat kelima kelmarin.

Serpa mencatat masa 3 jam 09 minit dan 37 saat untuk mengatasi pelumba Azad University Cross, Victor Nino Corridor, dua saat di belakang, diikuti rakan sepasukannya, Jose Rujano di tempat ketiga.

Berikutan kejayaannya itu, Serpa muncul pelumba ketiga yang menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan LTdL 2012 selepas pelumba Drapac Cycling, Darren Lapthorne merampasnya daripada tangan penyandang empat peringkat sebelum ini, David Zabrieski.

"Saya tidak menjangka dapat memenanginya (Jersi Kuning), namun saya dapat meramalkan yang saya mampu beraksi dengan baik pada peringkat pendakian yang sukar ini.

"Pada mulanya (Jose) Rujano yang mengetuai kami, namun dia mula ketinggalan ketika menuju pada baki terakhir perlumbaan. Peluang itu saya guna sebaiknya untuk melakukan 'serangan' sebelum berjaya dihimpit oleh Nino.

"Apa yang boleh saya buat selepas itu hanyalah kekalkan kayuhan dan simpan tenaga sebelum melakukan henjutan terakhir ketika 50 meter menuju ke garisan penamat," kata Serpa.

Kejayaan Serpa menawan puncak Genting di Banjaran Titiwangsa sekali gus menyaksikan dia turut memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit dengan 27 mata.

Peringkat ketujuh dari Bentong ke Kuantan hari ini merupakan laluan paling jauh dalam LTdL 2012 dan ia melibatkan tiga zon pecutan (Mentakab - Km 57.7, Maran - Km 117.3 dan Gambang - Km 164) serta satu zon pendakian kategori 4 (Bukit Genting - Km 95.5).