Halaman

26 February 2012

RM12 juta bina jalan dan longkang di daerah Dungun

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaluddin dan Hazwan Roslee
Gambar oleh Hazwan Rosli

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM12 juta bagi pembinaaan jalan dan longkang di seluruh daerah Dungun, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan juga menaikkan jumlah peruntukan kepada RM750,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu berbanding RM500,000 sebelum ini bagi menaiktaraf sistem perparitan, longkang dan jalan kampung di DUN berkenaan.

"Bagi DUN Rantau Abang pula, kita meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaiktaraf dan mendalamkan Sungai Pimpin,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di daerah Dungun, hari ini.

Turut mengiringi Menteri Besar melawat beberapa projek perparitan dan jalan di daerah itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, YB Haji Matulidi Jusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri, Paka Haji Mohd Ariffin Abdullah dan Adun Jabi, YB Ramlan Ali.

Menteri Besar turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kajian terhadap muara Sungai Paka yang telah terhakis teruk dan projek-projek lain bagi membangunkan kawasan tersebut untuk kemudahan penduduk setempat.

Selain itu, katany, kerajaaan negeri juga meluluskan peruntukan RM15 juta bagi melebarkan jalan raya kepada empat lorong di Rantau Abang.