Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan memperkenalkan kemudahan kaunter `bookdrop’ di setiap perpustakaan negeri dan daerah mulai tahun ini.
Pengarahnya, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah berkata, kaunter bookdrop yang akan dilaksanakan akan memudahkan peminjam buku memulangkan semula pada bila-bila masa sebelum tarikh tutup.
Katanya, pada masa ini peminjam perlu memulangkan buku yang dipinjam daripada perpustakaan pada waktu pejabat sahaja.
Menurutnya, masalah tersebut kadang kala menyulitkan peminjam yang kadang kala terpaksa memulangkannya selepas tamat tempoh yang ditetapkan.
``Dengan adanya kaunter bookdrop yang akan diletakkan di pondok pengawal itu, peminjam hanya memasukkan buku berkenaan di dalam kaunter yang disediakan pada bila-bila masa,’’ katanya.
Tambahnya, sebagai permulaan kaunter kemudahan itu akan diperkenalkan di perpustakaan negeri di sini dalam waktu terdekat dan lain-lain daerah akan dilaksanakan secara berperingkat.
Sehubungan itu terdapat kira-kira 400 ribu orang menjali ahli perpustakaan di seluruh negeri termasuk di enam cawangan di daerah.
``Namun begitu 10 peratus dikenal pasti tidak aktif kerana tidak mengunakan kemudahan yang disediakan , selain tidak memperbaharui keahlian.’’ ujarnya.
Dalam perkembangan lain PPAT yang beroperasi enam hari seminggu termasuk hari Sabtu menerima pengunjung mencecah 3,000 orang dan kini dalam perbincangan untuk membuka waktu operasi pada hari Jumaat.
Katanya, PPAT juga akan mengadakan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 20 April depan dan bersempena dengan sambutan itu, satu karnival jualan pelbagai bahan bacaan dan pameran akan diadakan.