Halaman

28 February 2012

LTdL 2012 : Harrif Salleh naik podium

Pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh mula menunjukkan belang pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam.

Meskipun terpaksa berkayuh dalam kesakitan, namun pelumba kelahiran Terengganu itu masih mampu menghadiahkan kemenangan podium kepada peminat tempatan dengan menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer.

Lebih manis, kejayaan bermakna Harrif itu turut dikongsi bersama ibunya, Esah Abdullah yang setia memberi sokongan kepada anaknya itu sepanjang perlumbaan LTdL 2012.




"Gembira sekali kerana akhirnya berjaya juga menaiki podium. Meskipun hanya di tempat ketiga, tetapi saya tetap puas hati.

"Kejayaan saya hari ini (semalam) juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan abang saya (Mohd. Zamri). Dia banyak membantu saya dengan membawa saya ke peloton hadapan apabila saya mula ketinggalan.

"Walaupun berlumba dalam kesakitan selepas terjatuh semalam (kelmarin), saya telah menyimpan azam untuk menang peringkat hari ini (semalam).

"Berada di tempat ketiga pun sudah cukup bagus bagi saya," jelas Harrif yang menerima ciuman tahniah daripada ibunya, Esah semalam.




Dalam saingan semalam, Harrif berjaya mengekalkan kedudukannya dalam peloton hadapan meskipun terdapat beberapa percubaan breakaway daripada pelumba Garmin Barracuda, Tom Danielson dan Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini Sella Italia.

Begitupun, kira-kira satu kilometer terakhir, Guardini yang memenangi peringkat kedua dan ketiga sebelum ini, jelas sukar dihalang dan terlebih dahulu melintasi garisan penamat bagi merakamkan kemenangan ketiganya berturut-turut.

"Guardini sememangnya seorang pelumba yang hebat. Dia sungguh laju dan amat sukar untuk mengatasinya yang mendapat bantuan secukupnya daripada rakan sepasukan.

"Namun apa pun saya tetap akan cuba mengatasinya esok (peringkat keempat hari ini) dan membuktikan bahawa pelumba Malaysia juga mampu bersaing dengan mereka.

"Harapnya kejayaan podium ini juga mampu memberi suntikan semangat dalam misi saya untuk memenangi satu peringkat perlumbaan pada LTdL ini," ujarnya yang cedera di bahagian lutut dan tapak tangannya ekoran terjatuh pada perlumbaan peringkat ketiga kelmarin.

Peringkat kelima hari ini akan bermula dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, Ampang sejauh 190km melibatkan tiga zon pecutan (Tampin - Km 31.3, Chembong - Km 54.8 dan Senawang - Km 75.7) serta tiga zon pendakian (Bukit Tangga - Km 101.9), Genting Perez - Km 148.8 dan Bukit Tinjau - Km 180.2).











http://webtv.terengganu.gov.my/?p=2145