Pakar pecut dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini mula mendapat sentuhan juara selepas memenangi peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Putrajaya yang berakhir Melaka, semalam.
Bagaimanapun, jersi kuning (pendahulu keseluruhan) masih milik David Zabriskie daripada pasukan Garmin Barracuda walaupun menduduki tempat ke-74.
Perlumbaan sejauh 151 kilometer itu berakhir secara beramai-ramai dengan catatan masa 3 jam 35.19 saat.
"Saya memenangi perlumbaan peringkat kedua ini selepas diberi bantuan sebaiknya oleh rakan-sepasukan, terutama ketika menghampiri garisan penamat," kata bekas Raja Pecut LTdL 2011 berusia 22 tahun itu.
Guardini mempamerkan kayuhan mantap untuk meloloskan diri mendahului kelompok besar yang tiba di garisan penamat sekali gus membawa pulang jersi biru (Raja Pecut) apabila mengumpul 15 mata kelebihan di garisan penamat.
"Saya akui aksi penamat itu memang amat sukar selepas menyaksikan pasukan Europcar bekerja lebih awal sebelum tiba di garisan penamat, rakan sepasukan saya, Rafael Andriato pula mengalami kemalangan pada selekoh akhir," kata pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu.
Perlumbaan semalam menyaksikan Dmtriy Gruzdev dari Astana masih mempertahankan Jersi Putih (Terbaik Asia Keseluruhan) manakala pelumba Champion System, Anuar Manan merupakan pelumba terbaik Asia peringkat kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Jersi merah (Raja Bukit) menjadi milik pelumba Drapac Cycling, Floris Goesinnen selepas menjadi pelumba pertama tiba dahulu di dua zon pendakian, Bukit Pelandok dan Linggi dengan mengumpul lapan mata.
Perlumbaan hari ini bermula dari Melaka ke Parit Sulong sejauh 187.6km dan jaguh pecut dijangka sekali lagi akan menguasai saingan dengan tiga zon pecutan tersedia menanti di Tangkak, Labis dan Chaah manakala hanya satu sahaja zon pendakian di Bukit Belah.