Oleh FAUZI MOHD dan KAMARUDIN MAT AKIB
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Dato’ Seri Ahmad Said mahu rakyat di negeri ini sedar bahawa kerjasama pakatan pembangkang tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu dan menyeleweng rakyat.
Menteri Besar itu berkata, sejarah membuktikan sepanjang mereka bergabung sama ada di dalam Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif atau terbaru Pakatan Rakyat, tidak pernah satu pun berjaya kerana masing-masing bersikap talam dua muka.
Di hadapan kira-kira 20,000 hadirin beliau berkata, apa yang mereka cuba lakukan hanya sia-sia kerana kerjasama itu bukan didasarkan dengan ramuan keikhlasan, wawasan serta nilai yang dikongsi bersama.
"Antara DAP dengan PAS misalnya bukan sahaja payah untuk tidur sebantal, jauh sekali untuk mimpi sama," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, sebentar tadi.
Dato’ Seri Ahmad berkata, keadaan itu berlaku disebabkan kerjasama antara ketiga-tiga parti itu hanya disandarkan dengan lambang pakatan itu, bukan kerjasama utuh seperti Barisan Nasional.
Sementara itu, beliau menyelar pihak pembangkang yang mengaku lebih demokratik dengan menyatakan kepimpinan mereka mewakili semua kaum.
Bagaimanapun kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, hakikatnya ia jauh berbeza.
