Halaman

01 March 2012

UMNO Kuala Nerus cadang 16 perkara untuk perhatian TPM

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra.

UMNO Bahagian Kuala Nerus mencadangkan 16 perkara, termasuk projek pembangunan kepada pelbagai lapisan rakyat untuk perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Ketuanya, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, cadangan itu diajukan setelah mengambil kira segala cadangan dan keperluan daripada akar umbi di kawasan parlimen yang terdiri daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tepuh, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu.

Menurutnya, projek yang dicadangkan itu hasil daripada pertemuan dan program turun padang wakil-wakil rakyat dan kepimpinan UMNO bahagian sebelum ini termasuk mempercepatkan projek Sekolah Sukan Terengganu yang tertangguh.

“Kita harap pihak Timbalan Perdana Menteri (Kerajaan Persekutuan) dan Menteri Besar (Kerajaan Negeri) dapat mempertimbangkan perkara berkenaan demi untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

16 cadangan UMNO Kuala Nerus untuk perhatian Timbalan Perdana Menteri ialah:

(1) Menaik taraf dewan, bangunan dan padang Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu dengan anggaran kos bernilai RM530,000.

(2) Membaik pulih jambatan di Kampung Pulau Sekati (RM500,000).

(3) Membina longkang di Kampung Wakaf Tembesu (RM200,000).

(4) Membina dewan serbaguna di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir (RM250,000).

(5) Membina dewan Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus (RM250,000).

(6) Membina dewan serbaguna di Kampung Kesom Alor Rekang, Manir (RM250,000).

(7) Membina longkang di Kampung Jati (RM200,000).

(8) Membina dewan serbaguna di Kampung Pak Tijah (RM250,000).

(9) Membina bangunan untuk Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir (RM350,000).

(10) Membina bangunan untuk Persatuan Bomba Sukarela Parlimen Kuala Nerus (RM250,000).

(11) Menaik taraf jalan dari Kampung Kebor Besar ke Kampung Durian Mas (RM300,000).

(12) Manaik taraf jalan dari Kampung Banggol Air Lilih ke Taman Desa Jaya, Wakaf Tembesu (RM300,000).

(13) Membina longkang di Kampung Pak Damat (RM200,000).

(14) Membaik pulih jeti nelayan di Kampung Seberang Takir (RM150,000).

(15) Membaik pulih jeti nelayan di Kampung Duyong Sekolah (RM100,000).

(16) Mempercepatkan pembinaan Sekolah Sukan Terengganu berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak (RM25 juta)

JUMLAH KESELURUHAN : RM29.13 juta