Rakyat, khususnya pendokong Umno di Terengganu dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya peringkat bahagian, cawangan-cawangan, termasuk sayap-sayap (Wanita,Pemuda dan Puteri) menyambut kepulangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pagi ini (1 Januari 2011).
Dato’ Seri Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu tiba kira-kira jam 9.30 pagi ini bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud setelah bercuti beberapa hari yang lalu.
Sambutan terhadapnya meriah dan penuh bermakna walaupun dalam suasana yang cukup sederhana, ketika hujan membasahi bumi Terengganu.
Ia adalah sekadar meraikan pelantikan semula Menteri Besar sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu di samping mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak atas pelantikan itu.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Dato” Tengku Adnan Mansor beberapa hari lalu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur. Turut dilantik Ketua Umno Bahagian Marang, YB Haji Yahya Khatib Mohamad sebagai Timbalannya.
Imam Besar Negeri Terengganu telah memimpin bacaan doa selamat sempena kepulangan Menteri Besar dari bercuti.
Dato’ Seri Ahmad ketika diminta berucap kepada orang ramai yang menyambutnya melahirkan terima kasih kepada Dato’ Seri Mohd.Najib dan pimpinan Umno Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui Umno Terengganu.
Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Hishamudin Tun Hussien yang memimpin Umno Terengganu seketika sebelum ini.
Sambil mengucap terima kasih kepada semua pihak, termasuk yang menyambut kepulangannya beliau berkata, Presiden parti telah mengadakan perbincangan dengannya tiga minggu yang lepas sebelum membuat pelantikan itu.
“Inilah pertama kali saya berpeluang bercuti beberapa hari dalam tempoh menjadi Menteri Besar hampir tiga tahun yang lalu” katanya dalam ucapan ringkas di perkarangan LTSM.
Beliau juga memberitahu Terengganu juga akan bercuti Ahad ini (esok 2 Januari) berikutan meraikan kemenangan bola sepak negara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri tentang cuti peristiwa itu.
Beliau juga mengumumkan akan memberi ganjaran RM5,000 dan kemungkinan juga lot tanah kepada pemain bola sepak Terengganu yang mewakili negara dalam kejohanan yang telah memulihkan semula imej bola sepak negara.
Sementara itu, bercakap kepada media selepas itu, Dato’ Seri Ahmad berjanji akan melaksanakan tugas sebaik mungkin, terutama ke arah Pilihanraya Umum Ke 13 bagi merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas dalam pilihan raya lalu.
Katanya, beliau akan turun sendiri ke bahagian-bahagian Umno di Terengganu dan memperbanyakkan lagi program serta mengatur strategi untuk kemenangan, di samping bekerjasama dengan sayap-sayap parti, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas strategi yang akan digunakan bagi tujuan kemenangan itu.
TEGANUKITA