Halaman

27 December 2010

DATO’ SERI AHMAD SAID DILANTIK PENGERUSI PERHUBUNGAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, menggantikan Dato’ Sri Hishamudin Tun Hussien berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor hari ini (27 Disember 2010), di ibu negara.

Pengumuman itu telah menamatkan segala spekulasi. Sebelum ini Dato’ Seri Haji Ahmad telahpun memegang jawatan itu dan pelantikan semula itu bolehlah dianggap sebagai ‘sirih pulang ke gagang’.

Manakala Timbalan Pengerusi ialah Ketua Umno Bahagian Marang, YB Haji Yahya Khatib.

Tentang pelantikan jawatan-jawatan pegawai utama diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan seperti jawatan Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan dan Bendahari.

Penyandang sekarang ialah YB Tengku Peutera Awang (Setiausaha), YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek (Ketua Penerangan) dan YB Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari).

Kalangan pendokong Umno di negeri ini amat mengalu-alukan pelantikan ‘anak negeri’ ini sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu sebagaimana yang banyak dizahirkan melalui usul-usul dalam mesyuarat Umno cawangan baru-baru ini.

Dato' Seri Ahmad ketika melahirkan ucapan amat berterima kasih kepada Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana memberi kepercayaan untuk memimpin Umno Terengganu.

"Saya dan rakan rakan dalam parti akan memberi tumpuan untuk terus memperkasakan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13 dan mempastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.

Katanya, tugas utama beliau juga adalah untuk memastikan rakyat terus memberi kepercayaan dan bersama Umno, terutama generasi muda, kerana golongan ini perlu diajak menghayati sejarah perjuangan Umno, iaitu untuk Agama,Bangsa dan Negara.


TEGANUKITA