Halaman

02 March 2010

Pasukan Anak Terengganu Sertai LTdL Tahun Depan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu bercadang untuk mewujudkan satu pasukan sukan lumba basikal negeri bagi menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pelumba tempatan begitu menyerlah dan mereka perlu diberi peluang untuk berada dalam satu pasukan yang mewakili negeri kelahiran mereka.

“Seperti perlumbaan tahun ini, lapan pelumba yang menyertai pasukan-pasukan profesional adalah anak Terengganu sendiri. Malah lima daripada enam pelumba dalam pasukan Malaysia adalah anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan kepada pelumba-pelumba LTdL dari Kuala Terengganu ke Chukai, Kemaman di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu, hari ini (2 Mac).

“Saya bangga dengan pencapaian dan kemampuan yang ditunjukkan anak Terengganu, terutama Anuar Manan yang berjaya meraih gelaran berganda dalam perlumbaan dari Kota Baru ke Kuala Berang semalam,” katanya.

Sebelum perlumbaan bermula, Menteri Besar diberi penghormatan menyarung dua jersi utama selaku pelumba pecut dan pelumba Asia kepada Anuar Manan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Mohid Mohamed berkata, terdapat enam pelumbaan Terengganu yang mewakili Pasukan Azad, University Iran , Mesir, Australia dan Maroco di China.

“Pelumba-pelumba Terengganu begitu hebat dan mampu memberi saingan kepada pelumba dari luar Negara dan ianya dapat dilihat kejayaan mereka semalam yang sentiasa berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam perlumbaan semalam,” katanya.

Dalam saingan semalam Anuar Manan, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia yang berpengkalan di Korea berjaya menyarung dua jersi utama – hijau (pelumba pecut) dan biru (pelumba Asia), selepas tamat peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang, Terengganu.

Anuar anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu berazam untuk meneruskan kecemerlangan bersama pasukannya pada baki enam perlawanan selepas ini.
Pelumbaan LTdL akan meneruskan cabaran hari ini yang bermula di Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu ke Kijal, Kemaman sejauh 182 kilometer.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia, Haji Abu Samah Wahab, melahirkan rasa gembira dengan hasrat kerajaan negeri ini untuk menubuhkan pasukannya sendiri dan berharap ianya ditangani secara bersungguh-sungguh.

“Saya harap hasrat ini menjadi kenyataan dan Terengganu perlulah mencari jurulatih professional bagi membimbing pasukannya nanti kerana telah pun dibarisi pelumba hebat,” katanya.

TEGANUKITA

01 March 2010

Produk Tempatan Tembusi Pasaran Luar Negara

Oleh: Esah Abdullah

Beberapa produk keluaran tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai pesanan bernilai RM6.62 juta di samping beberapa produk lagi masih di peringkat perbincangan.

“Antara produk berkenaan ialah keropok lekor, sardin dan roselle,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera pada majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Paisley Consulting Sdn Bhd di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (1 Mac).

Dato’ Mohamed berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras kerajaan negeri bersama YPU yang menyertai Pameran Gulfood di Dubai World Trade Centre yang disertai 3,521 syarikat dari 81 negara pada 21 hingga 24 Februari lalu.

“Kita membawa lima syarikat tempatan iaitu Syarikat Sinku Industri Sdn Bhd (produk keropok), Pertima Terengganu Sdn Bhd (sardin), Koperasi Tani Lembah Bidong (Kotani) (roselle), Madura Sdn Bhd (minuman karbonat – kopi Tongkat Ali) dan Cakna Sdn Bhd (TNypa- air nira),” katanya.

Katanya, Kotani yang mengeluarkan produk Roselle menerima paling banyak pertanyaan dan hasil 25 rundingan yang dibuat dengan syarikat luar negara yang berminat, tiga syarikat masing-masing satu dari Dubai, Jordan dan Sudan akan membuat urusniaga dengan nilai RM3.5 juta.

“Manakala Syarikat Pertima milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan sardin bernilai RM2 juta,” katanya.

Katanya, Sinku Industries yang membawa produk keopok lekor juga berjaya menarik minat empat syarikat dua daripadanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu syarikat Indonesia dan satu syarikat dari Malaysia yang beroperasi di luar negara dengan nilai tempahan RM1.12 juta.

“Dua syarikat lagi iaitu Madura dan Cakna yang mengusaha kopi Tongkat Ali dan air nira nipah sedang membuat rundingan dengan syarikat dari India dan UAE dan kita percaya mereka akan membuat tempahan minuman tersebut,” katanya.

Dato’ Mohamed melahirkan rasa gembira kerana sepanjang penyertai pameran tersebut produk dari Terengganu telah menerima 537 pertanyaan perniagaan dan sebahagiannya terus membuat tempahan untuk pasaran di negara masing-masing.

“Hasil lawatan itu juga, sebuah syarikat Tranding House yang berpejabat di Dubai iaitu Diamond Consoludated akan datang ke Terengganu pada 4 Mac depan bagi mengenal pasti produk keluaran kita untuk pasaran di Dubai,” katanya.

Dato’ Mohamed menambah, SUT merupakan satu platform terbaik kerana ia memberi laluan kepada usahawan berkomunikasi dan menjalinkan hubungan lebih akrab menerusi beberapa program keusahawanan.

“SUT akan terus diberi penekanan khusus dalam hala tuju keusahawanan menjelang 2013 menerusi YPU yang melaksanakan program 4P (pembiayaan, promosi, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kemahiran),” katanya.

Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membangun sebagai salah satu destinasi perniagaan yang menarik dan para usahawan harus mengambil peluang menjalankan perniagaan.

Dato’ Mohamed kemudiannya menyaksikan MOU antara YPU bersama tiga agensi yang boleh dan mampu mengerak dan memberi sinar baru dalam dunia usahawan.

Antaranya ialah UMT untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan serta melahirkan usahawan siswazah, PUNB untuk membangunkan industri peruncitan yang mampu meningkatkan perniagaan dan Paisley Consulting dalam pelaksanaan program latihan, pembungkusan dan penjanamaan produk serta sebagai agen perunding dan agen pemasaran.

Dato’ Mohamed seterusnya melancarkan produk baru Shirah B’Lux, syarikat Bumiputra pertama di negara ini yang menternak, memproses serta menjual produk kesihatan dan makanan segera berasaskan belut.

TEGANUKITA

28 February 2010

Pertima Hantar 285,000 Tin Daging Korban Ke Luar Negara

Oleh: Esah Abdullah

Pertima Terengganu Sdn Bhd menghantar 285,000 tin daging kambing korban yang dimuatkan dalam lapan kontena, ke luar negara iaitu Republik Chad di Afrika dan Lubanan, Timur Tengah, bertambah sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya.

Lebih membanggakan apabila Isamic Relief Worldwide (IRW) yang berpengkalan di Birmingham, England terus memberi kepercayaan kepada Pertima Terengganu Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri untuk melakukan kerja-kerja pengetinan daging korban bermula 2008.

“Kerajaan berhasrat untuk melihat Pertima menjadi pengeluar produk halal dalam tin pertama di negara ini dan di peringkat antarabangsa,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis.perasmian Penghantaran Produk Daging Qurban di Pertima Terengganu Sdn Bhd di Chendering, Kuala Terengganu hari ini (28 Februari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri,Encik Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Pertima, Dato’ Rosli Mat Hasan dan Pengarah Operasi Islamic Relief Birmingham, Dr Adel Sabir.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan tahap kualiti produk yang dikeluarkan dengan memperolehi persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil keselamatan dari Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) yang dikeluarkan Moody International.

“Yang penting adalah usaha yang bersungguh-sungguh perlulah digerakkan sepenuhnya bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Pertima mula melakukan kerja-kerja mengetin daging qurban sejak 2008 dan berjaya memproses 200 tan di mana kesemua produk berstatus halal itu telah Berjaya dihantar ke beberapa negara seperti Palestin, Nigeria, Mali, Iraq dan Afghanistan.

Selain kontrak dengan IRF, dua pertubuhan Islam luar negara turut mendapat keyakinan dari Muslim Aid Australia dan Human Appeal International Australia untuk pengetinan daging qurban.

“Selaku anak syarikat kerajaan negeri, saya harap Pertima menjadi contoh dan peneraju dalam pengeluaran produk halal di negeri ini,” katanya.

TEGANUKITA