Beberapa produk keluaran tempatan berjaya menembusi pasaran luar negara dengan nilai pesanan bernilai RM6.62 juta di samping beberapa produk lagi masih di peringkat perbincangan.
“Antara produk berkenaan ialah keropok lekor, sardin dan roselle,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera pada majlis Pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Paisley Consulting Sdn Bhd di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini (1 Mac).
Dato’ Mohamed berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras kerajaan negeri bersama YPU yang menyertai Pameran Gulfood di Dubai World Trade Centre yang disertai 3,521 syarikat dari 81 negara pada 21 hingga 24 Februari lalu.
“Kita membawa lima syarikat tempatan iaitu Syarikat Sinku Industri Sdn Bhd (produk keropok), Pertima Terengganu Sdn Bhd (sardin), Koperasi Tani Lembah Bidong (Kotani) (roselle), Madura Sdn Bhd (minuman karbonat – kopi Tongkat Ali) dan Cakna Sdn Bhd (TNypa- air nira),” katanya.
Katanya, Kotani yang mengeluarkan produk Roselle menerima paling banyak pertanyaan dan hasil 25 rundingan yang dibuat dengan syarikat luar negara yang berminat, tiga syarikat masing-masing satu dari Dubai, Jordan dan Sudan akan membuat urusniaga dengan nilai RM3.5 juta.
“Manakala Syarikat Pertima milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menerima tempahan pelbagai produk berasaskan sardin bernilai RM2 juta,” katanya.
Katanya, Sinku Industries yang membawa produk keopok lekor juga berjaya menarik minat empat syarikat dua daripadanya dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu syarikat Indonesia dan satu syarikat dari Malaysia yang beroperasi di luar negara dengan nilai tempahan RM1.12 juta.
“Dua syarikat lagi iaitu Madura dan Cakna yang mengusaha kopi Tongkat Ali dan air nira nipah sedang membuat rundingan dengan syarikat dari India dan UAE dan kita percaya mereka akan membuat tempahan minuman tersebut,” katanya.
Dato’ Mohamed melahirkan rasa gembira kerana sepanjang penyertai pameran tersebut produk dari Terengganu telah menerima 537 pertanyaan perniagaan dan sebahagiannya terus membuat tempahan untuk pasaran di negara masing-masing.
“Hasil lawatan itu juga, sebuah syarikat Tranding House yang berpejabat di Dubai iaitu Diamond Consoludated akan datang ke Terengganu pada 4 Mac depan bagi mengenal pasti produk keluaran kita untuk pasaran di Dubai,” katanya.
Dato’ Mohamed menambah, SUT merupakan satu platform terbaik kerana ia memberi laluan kepada usahawan berkomunikasi dan menjalinkan hubungan lebih akrab menerusi beberapa program keusahawanan.
“SUT akan terus diberi penekanan khusus dalam hala tuju keusahawanan menjelang 2013 menerusi YPU yang melaksanakan program 4P (pembiayaan, promosi, penyediaan infrastruktur dan peningkatan kemahiran),” katanya.
Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membangun sebagai salah satu destinasi perniagaan yang menarik dan para usahawan harus mengambil peluang menjalankan perniagaan.
Dato’ Mohamed kemudiannya menyaksikan MOU antara YPU bersama tiga agensi yang boleh dan mampu mengerak dan memberi sinar baru dalam dunia usahawan.
Antaranya ialah UMT untuk bekerjasama dalam pembangunan perniagaan serta melahirkan usahawan siswazah, PUNB untuk membangunkan industri peruncitan yang mampu meningkatkan perniagaan dan Paisley Consulting dalam pelaksanaan program latihan, pembungkusan dan penjanamaan produk serta sebagai agen perunding dan agen pemasaran.
Dato’ Mohamed seterusnya melancarkan produk baru Shirah B’Lux, syarikat Bumiputra pertama di negara ini yang menternak, memproses serta menjual produk kesihatan dan makanan segera berasaskan belut.
TEGANUKITA