Terengganu membuktikan kontinjennya bukan `jaguh kampung’ yang hanya mampu juara sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 lalu, apabila muncul juara Sukma Melaka ke-13 untuk kali kedua berturut-turut dalam temasya yang menutup tirai hari ini (19 Jun).
Slogan `Terengganu Nelang’ ternyata berjaya membawa atlit Terengganu ke puncak kejayaan dengan memungut 47 pingat emas mengatasi Selangor di tangga kedua dengan kelebihan empat pingat emas dan berkongsi 43 pingat emas dengan Wilayah Persekutuan (tangga ketiga).
Kontinjen Terengganu meraih 30 perak dan 43 gangsa menjadikan 120 pingat keseluruhan mencuri tumpuan ramai pada hari-hari terakhir temasya apabila melonjak naik mengatasi kontinjen yang lebih awal mendominasi tangga teratas carta kedudukan pingat terutama Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor.
Biarpun pada hari kelima dan keenam temasya Sukma itu, Terengganu agak ketinggalan dalam pungutan pingat dan hanya berada di tangga lapan tercorot. Kontinjen Terengganu bagaimanpun mencongak mata dan naik daripada tangga kelima untuk berada di dua tempat teratas serta saling pintas memintas dengan Wilayah Persekutuan.
Secara mutlaknya, penamat Sukma Melaka merekodkan Terengganu sebagai juara keseluruhan dan membawa berita gembira buat sejuta rakyat Terengganu terutama Kerajaan Negeri yang sentiasa menyokong dan menjaga kebajikan atlit serta penggiat sukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd said, berkata kejayaan Terengganu membuktikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan negara sebagaimana yang pernah diuar-uarkan dalam ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 2008 lalu.
Katanya, emas terakhir kontinjen Terengganu dipungut menerusi sukan teras dan paling dinanti-nantikan iaitu bola sepak apabila berjaya mengalahkan Selangor dengan 1-0.
“Pasukan bola sepak yang dibarisi pemain berpengalaman daripada persatuan bola sepak negeri, pasukan Terengganu dan T-Team mengesahkan kemenangan untuk edisi Sukma yang ketiga berturut-turut hasil kemenangan 1-0 ketika menentang Selangor malam semalam,” kata beliau ketika menjadi tamu khas Imbasan Sukma Ke-13 di TV1, petang ini.
Katanya, kejayaan kontinjen Terengganu membolehkan janji Kerajaan Terengganu untuk menghadiahkan insentif kepada pemenang yang mampu mengekalkan kejuaraan dengan RM5,000 untuk pingat emas dan RM3,000 serta RM2,000 untuk pingat perak dan gangsa akan dikotakan.
“Kekalkan kejuaraan suatu yang tidak dapat dilupakan, kerana kita jangka Wilayah Persekutuan yang akan menggugat kedudukan kita, tetapi akhirnya Selangor akhirnya yang mencabar kita sebelum kekal sebagai juara. Sebenarnya kekuatan Kontinjen Terengganu atas sokongan kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) yang menonjol dengan slogan `Terengganu nelang’.
“Persediaan lebih awal termasuk bengkel sebelum bermulanya Sukma membuatkan atlit Terengganu lebih bersedia dan membuktikan mereka bukan jaguh kampung yang hanya berjaya di laman sendiri,” katanya.
Katanya, kontinjen Terengganu juga tidak menduga cabaran lapan pasukan teratas dalam Sukma kali ini dan tetap optimis untuk bersaing di tempat yang terbaik walaupun gagal menepati sasaran awal 66 emas akibat gagal dalam beberapa acara sasaran.
Pungutan emas terbanyak diraih menerusi acara kanu sebanyak 12 pingat emas diikuti basikal lapan, olahraga (enam ); judo, pencak silat dan angkat berat menyumbang lima pingat emas. Manakala enam emas lagi masing-masing menerusi bola sepak, tinju, lawn bowls, sepak takraw, ragbi dan ekuestrian.
TEGANUKITA