Jaminan yang diberikan oleh kerajaan bahawa bantuan untuk meringankan kesan pengurangan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah amatlah wajar dan melegakan. Ini bermakna kerajaan mengambil kira maklum balas dan ‘cakna’ terhadap golongan yang susah.
Jaminan ini diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke sepuluh, RMK-10 pertengahan Jun baru-baru ini,
Subsidi adalah suatu kaedah dan cara kerajaan membantu rakyat. Kalau membiarkan harga barangan mengikut pasaran bebas, tanpa disuntik dengan subsidi oleh kerajaan, sudah tentu rakyat yang berpendapatan rendah akan menghadapi masalah yang sukar.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa begitu banyak kerajaan mengeluarkan belanja atau wang dari khazanah negara untuk membayar subsidi agar harga barangan keperluan rakyat tidak melambung tinggi mengikut harga pasaran sebenar.
Antara barangan yang diberi subsidi ialah beras, gula, gandum, minyak masak, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan petrol. Subsidi untuk bahan-bahan inilah yang secara langsung dinikmati oleh rakyat.
Pada tahun lepas RM720 juta dibelanjakan oleh kerajaan bagi subsidi gula sahaja, tanpa subsidi oleh kerajaan sudah tentu harga gula akan melambung di pasaran.
Kalau ikutkan harga gula di pasaran antarabangsa adalah RM2.45 sen sekilogram, tetapi kerana subsidi kerajaan harganya ssekitar RM1.65 sen sekilogram sahaja. Itu baru subsidi gula, kalau mengambil kira jumlah subsidi untuk keseluruhan setiap tahun difahamkan hampir RM50 billion dibelanjakan atau kira-kira 30 peratus dari jumlah hasil tahunan negara.
Kita mengharapkan rakyat tahu betapa kerajaan yang ada ini begitu memelihara kebajikan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sejahtera di negara ini.
Inilah sebenarnya usaha-usaha yang diajar oleh agama tetapi dalam kaedah dan cara baru bagimana rakyat dan golongan berpendapatan rendah dibantu sebagaimana yang dilakukan oleh khalifah-khalifah Islam terdahulu, termasuk Umar Abdul Aziz.
Begitu juga di Terengganu,banyak rumah rakyat atau rumah mampu milik diberikan subsidi oleh kerajaan negeri.
Rumah-rumah di dalam bandar, dengan harga tanah yang tinggi, harga bahan binaan yang tinggi, kadar upah yang tinggi- seunit mencecah harga ratusan ribu, sudah tentu tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.
Dato’ Ahmad pernah berkata, kadang-kadang subsidi yang diberikan bagi seunit rumah untuk rakyat itu sama nilainya dengan harga ‘sebuah kereta proton’ malah ada yang lebih dari itu.
Ini tidak masuk perbelanjaan kerajaan bai membaiki rumah, bantuan atap atau bina rumah menggantikan rumah yang sudah tidak mampu dibaiki kepada golongan rakyat termiskin.
Sebenarnya banyak lagi subsidi oleh kerajaan BN dalam bentuk bantuan, seperti bantuan membeli keperluan hari raya, bantuan kepada pelajar-pelajar, bantuan kepada belia-belia, bantuan kepada para pengusaha dan sebagainya.
Oleh itu jika sekiranya rakyat mengetahui perkara ini secara mendalam, sudah tentu mereka tidak tergamak untuk berkata sesuatu yang bukan-bukan kepada pihak kerajaan dan pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sekalipun banyak fakta yang diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, tetapi dengan penerangan dan maklumat yang jelas tidak ada sebab rakyat hendak menerima dakyah pembangkang yang kerjanya menangguk di air yang keruh.
Air yang tidak keruh pun terpaksa dikeruhkan untuk tujuan buruk itu. Kalau hendak dibicarakan secara adil, semasa pembangkang memerintah Terengganu (1999-2004) begitu ramai penerima bantuan bulanan kerajaan di bawah Kebajikan Masyarakat ditamatkan.
Selain itu, mereka yang diteruskan bantuan pula, jumlah atau nilai bantuannya dikurangkan. Alasan ketika itu diberikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kewangan yang cukup dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan untuk tujuan lain.
Alasan juga diberi, penerima bantuan itu boleh berdikari dan tidak perlu sangat bergantung kepada bantuan lagi. Alasan itu betul semasa mereka (pemimpin parti pembangkang) menjadi kerajaan.
Kita perlu menerima hakikat apabila kita menjadi kerajaan barulah kita berdepan dengan kesukaran- kita perlukan rakyat memahami masalah dan situasi kerajaan.
Mengapakah apabila mereka bukan lagi kerajaan, mereka berfikiran lain pula, membakar semangat rakyat menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan hendak hapuskan subsidi serta tidak mahu menolong rakyat yang susah dan sebagainya.
Segala permasalahan yang timbul dalam masyarakat dihalakan sasarannya kepada kerajaan.
Kononnya kerajaan BN menghalalkan judi, sedangkan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran mereka (pakatan pembangkang) bukan sahaja lesen premis judi, lesen rumah urut, penjualan minuman yang memabukkan dan pelbagai premis maksiat diluluskan, tetapi ini disembunyikan kepada rakyat dan penyokong mereka.
Itulah permainan ‘buruk’ politik namanya, yang tidak adil, jauh sekali hendak berlandaskan ajaran Islam seperti yang dilaung-laungkan!
TEGANUKITA