Halaman

16 June 2010

Aplikasi teknologi ternak kambing New Zealand

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu bakal mengaplikasikan teknologi penternakan kambing di New Zealand kepada penternak di negeri itu bagi mengurangkan kos pengeluaran bahan makanan.

Pengarah JPV negeri, Dr Azizol Mohd Sharun berkata antara langkah yang akan diambil ialah menggantikan pelet dengan rumput sebagai makanan ternakan.

"JPV akan membantu penternak mengaplikasikan teknologi itu," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu diharap dapat meningkatkan keuntungan yang diperolehi penternak kambing Terengganu memandangkan pada masa ini pendapatan mereka bagi setiap kilo daging hanya sekitar RM3.

Harga di ladang kira-kira RM14 sekilogram sedangkan kos pengeluaran bagi setiap kilo adalah sekitar RM11.

Oleh yang demikian, JPV berharap penggunaan teknologi New Zealand itu kelak mampu meningkatkan pendapatan penternak kambing dan semakin menambah pengusaha ternakan itu di negeri ini.

Sementara itu, Dr Azizol berkata populasi kambing di Terengganu telah meningkat sebanyak 71 peratus daripada 22,060 pada 2006 kepada 73,729 ekor tahun lepas.

Sehingga kini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM31.6 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan untuk projek penternakan kambing negeri.

TEGANUKITA