Halaman

01 April 2010

Swasta Diajak Kembang Sektor Pelancongan

Lintas Langsung dari Primula Hotel, Kuala Terengganu: Oleh: Kamarudin Mat Akib



Ahmad Razif (tengah) menekan butang tanda bermulanya Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 `Terengganu Dihati Ku' sambil disaksikan Dato' Razali Kassim dan Pengarah UKOM, Rosli Zakaria. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sikap tunggu dan lihat yang diamalkan syarikat swasta dan agensi pelancongan tempatan sebelum melaksanakan pelbagai projek di bidang pelancongan, amat merugikan kerana sektor berkenaan kini berkembang dengan pesat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihak berkenaan perlu melibatkan diri sepenuhnya dalam sektor pelancongan kerana sokongan pelbagai pihak, terutama pihak swasta diperlukan bagi membangunkan sektor tersebut.

“Di Terengganu, walaupun negeri ini kaya dengan aset pelancongan di setiap daerah, namun penglibatan pihak swasta masih rendah,” katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort, petang ini.

Teks ucapan tersebut dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar berkata, usaha Unit Komunikasi Negeri (UKOM) mengadakan pertandingan blog berkaitan pelancongan amat dibanggakan kerana sebagai agensi yang ditugaskan untuk menyebarkan maklumat mengenai Terengganu, usaha itu akan mencapai matlamat yang diharapkan.

“Usaha yang saya anggap sebagai serampang dua mata ini penting kerana, selain dari satu pertandingan yang akan menggalakkan orang-ramai menceritakan pengalaman mereka melawat Terengganu menggunakan media baru, tulisan atau berita yang disiar di dalam blog akan membantu mempromosi Terengganu sebagai satu destinasi yang hebat dan menarik di seluruh dunia melalui jaringan Internet.


Ahmad Razif yang mewakili Menteri Besar Terengganu berucap pada majlis perasmian berkenaan.

“Saya difahamkan, semasa blog utama pertandingan ini masih dalam pembinaan (under construction), webmaster yang terdiri dari petugas UKOM telah mendapati terdapat pengunjung dari luar negara seperti dari Amerika dan Australia melihat gambar-gambar menarik yang telah dimuat turun,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dunia ingin mengetahui tentang Terengganu, tarikan alam semulajadinya dan pelbagai perkara yang terdapat di negeri ini.

Katanya, dengan adanya nota-nota pengalaman yang diterjemahkan dalam blog yang juga memaparkan gambar-gambar yang menarik serta kemudahan yang ada, pelancong boleh membuat perbandingan sama ada ia berbaloi untuk bercuti di Terengganu.

“Saya pasti, di kalangan 10 billion pelayar Internet di seluruh dunia, sudah tentu ada di kalangan mereka yang ketika ini sedang melayari website atau blog yang menyentuh tentang Terengganu dan saya juga pasti sudah ada yang membuat tempahan bilik untuk menginap sehari-dua di Terengganu,” ujar beliau.

Katanya, tahun lalu Terengganu menerima 3.2 juta pelancong manakala tahun ini kerajaan negeri mensasarkan 3.5 juta pelancong.

Beliau berkata, dalam usha memajukan sektor pelancongan di Terengganu, kerajaan negeri merupakan pelabur terbesar yang bertanggungjawab menggerakkan sektor berkenaan dan sebahagian besar hasilnya akan dinikmati oleh rakyat.


Hadirin yang hadir bagi mendengar dan mendapatkan maklumat mengenai pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan.

“Memandangkan potensi sektor pelancongan dalam menjana ekonomi, Kerajaan Negeri membelanjakan sebahagian besar bajet tahunan untuk menyediakan prasarana untuk menarik lebih ramai pengunjung,” tambahnya.

Menteri Besar yakin dengan kesediaan kerajaan menerajui pembangunan sektor pelancongan di Terengganu dengan membangunkan tarikan-tarikan baru, jumlah pelancong akan terus meningkat.

Antara tarikan-tarikan baru yang bakal menjadi tumpuan pelancong ialah “Kenyir Island Hopping”, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Pusat Tekstil, Taman Negara berhampiran Gua Bewah di mana telah dijumpai artifak, iaitu rangka manusia tertua di Malaysia berusia 16,000 tahun.

“Industri-industri kecil yang sedia ada seperti tenunan songket dan batik serta kraftangan berasaskan tembaga dan ukiran tradisional kayu, akan terus menjadi tarikan,” ujarnya.

Layari: http://www.trgtourism.blogspot.com/

TEGANUKITA



31 March 2010

Dipda Tawar Empat Program Penting

Trefound Educare Sdn Bhd anak syarikat Yayasan Terengganu (YT) terus mengorak langkah dengan menubuhkan institusi pengajian baru, dikenali sebagai Akademi Pembangunan Profesional Darul Iman (Dipda).

Melalui Dipda, menawarkan empat program penting iaitu, `in house training’, khidmat runding pengurusan, english communication skills dan mind based learning and smartstudy.

Objektif utama penubuhan institut itu adalah untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan dan seterusnya melahirkan profesionalisma di sesebuah organisasi kerajaan mahupun swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif Dipda, Dr. Wan Shaari Wan Ismail, berkata untuk merealisasikan matlamat ini, Dipda telah memilih dan melantik beberapa rakan strategic sebagai fasilitator.

“Focus Learning Consulting Sdn Bhd, British Council (BC) dan Creative Question Enterprise, mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini terutama di sektor latihan dan konsultansi.

“Dengan kerjasama erat dari rakan strategik itu, Dipda bertindak sebagai agensi latihan dengan menggunakan pendekatan 4M iaitu mengenalpasti peluang, mencadang modul latihan, mengurus perjalanan sesi latihan dan memantau serta menilai impak,” katanya.

Menurutnya, program in house training dan khidmat runding pengurusan berjaya dijalankan pada 29 dan 30 Desember tahun lalu dengan penglibatan 70 kakitangan termasuk 20 pegawai kanan Yayasan Terengganu bertempat di Gambang Resort City, Kuantan dan Langkawi.

“Program english communication skills yang menggunakan khidmat `British Council’ memberi tumpuan kepada tiga kumpulan iaitu penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta, pelajar sekolah dan orang awam bakal bermula April ini.

“Pada masa sama, turut menjalankan program mind based Learning and smartstudy. Ia memberi fokus kepada guru dan pelajar sekolah menengah sekitar Terengganu,” katanya.
Dr Wan Shaari berkata, impian Dipda adalah untuk `Sharing A Vision’ bersama-sama semua organisasi dalam memaksimumkan potensi kerja kakitangan di jabatan masing-masing.

TEGANUKITA



Formula 201052 Sasar Pendidikan Cemerlang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Dato' Ahmad berbual dengan pelajar cemerlang SPM dan STPM yang mempelorehi imbuhan pada Pelancaran 201052 `Terengganu Anjung Ilmu' di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Tiada jalan pintas untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran kecuali kerja keras yang digembleng ibu bapa, guru, pejabat pelajaran dan kerajaan bagi meletakkan Terengganu sebaris dengan negeri-negeri lain.

“Selain menyediakan peruntukan, insentif lain diberi untuk menjana kecemerlangan pendidikan di semua peringkat dari pendidikan prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.


Menteri Besar menekan butang merasmikan pelancaran Terengganu Anjung Ilmu.

“Kemiskinan bukan lagi alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah dan mereka yang tinggal di kampung atau di bandar diberi layanan dan bantuan sama rata dalam bidang pendidikan,” kata Menteri Besar,Dato’ Ahmad Said kepada pemberita selepas Pelancaran 201052 di Dewan Besar, Wisma Daru Iman,Kuala Terengganu, hari ini (30 Mac).

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran, Haji Ariffin Embong.

Katanya, seperti sebelum ini program Terengganu Anjung Ilmu telah dilancarkan dan hari ini satu lagi program iaitu 201052 khusus untuk kecemerlangan dalam peperiksaan awam yang ingin dicapai mulai tahun ini.

Dato’ Ahmad menjelaskan bahawa 201052 adalah tahap sasaran iaitu 20 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat semua A, 10 peratus bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima (5) peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua (2) peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat semua A dalam peperiksaan.


Para guru seluruh negeri Terengganu bersalaman sambil memberikan tepukan gemuruh kepada Menteri Besar sebaik tiba di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

“Hasrat dan impian ini bukan suatu angan-angan yang tidak mungkin kita capai kerana kita telah berjaya membuktikan dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM yang lalu,” katanya.

Katanya, kini kerajaan telah mewujudkan kelas maya dan peperiksaan secara `online’ serta 3,000 soalan untuk latih tubi sebagai ukuran kecerdasan pelajar Ttahun Lima dan Enam.

Kerajaan juga menyalurkan peruntukan RM2 juta setahun ke sekolah elit/premier dan membelanjakan RM372 juta melalui Yayasan Terengganu untuk pinjaman dan biasiswa anak-anak Terengganu.

Sempena dengan pelancaran 201052, turut diadakan lintas langsung pelajar-pelajar di kelas maya dari 10 sekolah dalam daerah Kuala Terengganu yang sedang membuat latih tubi dalam kelas masing-masing.

TEGANUKITA



Pelaburan, Nilai Tambah Cetus Kejayaan Pendidikan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Pelaburan besar dan pendekatan nilai tambah kerajaan Terengganu dalam pendidikan memberi pulangan balik yang dibuktikan menerusi kejayaan berganda dalam kesemua peperiksaan awam 2009 yang diumumkan sejak akhir tahun dan awal Mac lalu.

Pada masa yang sama, Terengganu memperuntukkan kira-kira RM245 juta untuk sektor pendidikan tahun ini sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2010 lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata jumlah besar itu meletakkan Terengganu sebagai negeri yang melabur paling tinggi untuk pendidikan berbanding negeri lain sepanjang tahun ini.

“Kita jadi negeri nombor satu memperuntukkan bajet besar untuk pendidikan..Sebanyak RM245 juta tahun ini bersama dengan (menerusi) Yayasan Terengganu. Kerajaan negeri peruntuk RM100 juta lebih, manakala Yayasan (YT) RM100 juta lebih.

“Sebanyak RM30 juta setahun kita adakan kelas tambahan untuk murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pengiktirafan dan hadiah kecemerlangan pelajar dan sebagainya. Kita melakukan nilai tambah dan tidak semata-mata mengikut pendidikan arus perdana pada hari ini,” katanya di majlis makan malam dan penyampaian anugerah kecemerlangan anak Terengganu serta pelancaran program perantis usahawan Universiti Utara Malaysia (UUM)-Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di Dewan Angsana, Hotel EDC, UUM, Sintok, malam semalam (27 Mac).

Turut hadir, isteri menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Hadir sama, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dan Pengarah yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik.

Katanya, bukan hanya merangkul negeri terbaik sepanjang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR, Terengganu juga buat tahun kedua berturut-turut cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), diikuti negeri terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malysia yang diumumkan pada 25 Februari lalu.

Terbaru, selepas membandingkan keputusan negeri lain, terbukti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga merekodkan Terengganu sebagai negeri terbaik dan menjadikan Terengganu menguasai kesemua keempat-empat peperiksaan awam sebagai negeri terbaik.

Menurut Dato’ Ahmad, Kelantan antara negeri yang mengekori rapat pencapaian terbaik dalam UPSR akhirnya agak jauh ketinggalan untuk SPM.

“InsyaAllah..pada Mei ini kita akan buat `roadshow’ ke setiap kawasan bagi menemui kira-kira 20 ribu pelajar yang mengambil SPM terutama mereka yang berjaya termasuk berjumpa guru-guru bagi menyampaikan anugerah atas kejayaan dan kecemerlangan mereka.

“Malah, kita juga memperuntukkan bajet untuk mengiktiraf kejayaan semua pelajar ini dengan menyenaraikan nama mereka yang berjaya dalam akhbar (arus perdana) sebagai dorongan mereka dan rakan serta adik-adik yang lain melakukan kejayaan yang sama atau yang lebih baik,” kata beliau.

Dato’ Ahmad kemudiannya meluluskan penajaan RM10 ribu kepada Persatuan Anak Terengganu (Permata ) UUM sebelum menyampaikan anugerah kecemerlangan YT kepada tujuh pelajar Terengganu yang mencatat keputusan cemerlang di pusat pengajian berkenaan.

Seramai 30 pelajar UUM kemudiannya menerima watikah penyertaan Perantis UUM-YPU.
Dato’ Ahmad sebelum itu, melancarkan T-Shoppe pertama di luar Terengganu yang dibuka di Varsity Mall, UUM.

TEGANUKITA



RM2 juta untuk MDM dan JPS.

Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Marang menjadi lokasi ke lima Lawatan Kerja Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said bagi membaik pulih infrastruktur seperti longkang, jalan raya dan sistem peparitan parit yang sedia ada.

Kerajaan negeri meluluskan RM4 juta iaitu masing-masing RM2 juta kepada Majlis Daerah Marang (MDM) Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) bagi tujuan itu.
Dato’ Ahmad berkata, infrastruktur perlu dititikberatkan di setiap PBT bagi mengelak berlakunya kejadian banjir secara berulang dan kemalangan jiwa, selain dapat memberi keselesaan kepada masyarat setempat.

Katanya, pihaknya mengakui kawasan, PBT Marang sering dilanda banjir berikutan kekurangan kawasan tadahan air dan wujudnya pelbagai projek perumahan.

“Dalam masa terdekat dan menanganinya secara serius, kerajaan negeri meluluskan RM4 juta bagi menaiktaraf Sungai Lembam, Sungai Buaya, Sungai Seriting, Sungai Seluang, sistem peparitan, jalan raya kampung dan beberapa longkang di kawasan perumahan.

“Pihaknya mengarahkan MDM menjalankan kajian terperinci terhadap saiz longkang `monsoon drain’ kerana saya tidak mahu lagi mendengar rungutan penduduk kampung mengenai banjir,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja itu, hari ini (24 Mac)

Turut menyertai lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan, Infrastruktur, dan Kemudahan Awam, YB Encik Khatib Mohamad, Yang Dipertua MDM Ibrahim Mohamed, Pengarah JPS, Ir. Hj Mat Hussin Bin Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato’ Ahmad berkata, setiap kali membina longkang mestilah mengikuti standart terkini `oversize’, jikalau sebelum ini pemaju membina kemudahan itu bersaiz lapan kaki tetapi buat masa sekarang, ia tidak lagi sesuai berikutan pembangunan semakin pesat.

“Tidak rugi mempunyai besar longkang sehingga 16 kali kerana kawasan tadahan air seperti paya dan lembah semakin berkurangan, jadi longkang besar ini menjadi saluran penting untuk laluan air hujan,” katanya.

TEGANUKITA



28 March 2010

Tanaman Intergrasi Ganti Tembakau

Oleh: Esah Abdullah

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Kerajaan meluluskan RM4.9 juta bagi projek fertigasi tanaman cili di bawah Program Rangsangan Ekonomi Kedua yang diusahakan Lembaga Tembakau Negara (LTN), khusus untuk peserta tanaman tembakau di negeri ini yang tidak lagi mengusahakan tanaman itu tahun ini.

“Saya berharap 300 peserta yang terpilih ini tidak akan melepaskan peluang untuk mengusahakan pelbagai tanaman alternatif yang dicadangkan oleh kerajaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Rozi Mamat pada majlis penyampaian bantuan ihsan kepada penanam tembakau daerah Marang dan Setiu di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah, Lembaga Tembakau Negara, Encik Ahmad Loman dan Pengarah LTN Terengganu, Puan Farini Halim.

Encik Rozi berkata, tahun lalu, RM10 juta diperuntukkan membabitkan 307 orang yang mengusahakan projek intergrasi seperti cili, keledek, cendawan dan sebagainya bagi mengurangkan pergantungan kepada tanaman tembakau.

Menurutnya, LTN menyediakan pelbagai pelan tindakan untuk pelaksanaan tanaman integrasi bagi menambah nilai projek di samping mewujudkan bengkel kraf bagi menghasilkan produk berasaskan Kenaf.

Sementara itu YB Rozi menyatakan, bantuan yang diberikan ini merupakan kali kedua berjumlah RM114,000 membabitkan 121 penanam tembakau di mana tahun lalu mereka telah menerima bantuan segera sebanyak RM500 seorang.

Kumpulan yang menerima bantuan ihsan ini rata-rata yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat hujan lebat yang berlaku pada Mac tahun lalu dan pemberian ini bukan ganti rugi atau pampasan sebaliknya tanda prihatin kerajaan kepada penanam tembakau.

“Semua bentuk bantuan ini mencerminkan peserta amat dekat dengan hati pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan sumbangan seperti bukanlah yang terakhir sebaliknya banyak lagi akan disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang bermula pada 2011,” katanya.

TEGANUKITA