Pelaburan besar dan pendekatan nilai tambah kerajaan Terengganu dalam pendidikan memberi pulangan balik yang dibuktikan menerusi kejayaan berganda dalam kesemua peperiksaan awam 2009 yang diumumkan sejak akhir tahun dan awal Mac lalu.
Pada masa yang sama, Terengganu memperuntukkan kira-kira RM245 juta untuk sektor pendidikan tahun ini sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2010 lalu.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata jumlah besar itu meletakkan Terengganu sebagai negeri yang melabur paling tinggi untuk pendidikan berbanding negeri lain sepanjang tahun ini.
“Kita jadi negeri nombor satu memperuntukkan bajet besar untuk pendidikan..Sebanyak RM245 juta tahun ini bersama dengan (menerusi) Yayasan Terengganu. Kerajaan negeri peruntuk RM100 juta lebih, manakala Yayasan (YT) RM100 juta lebih.
“Sebanyak RM30 juta setahun kita adakan kelas tambahan untuk murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), pengiktirafan dan hadiah kecemerlangan pelajar dan sebagainya. Kita melakukan nilai tambah dan tidak semata-mata mengikut pendidikan arus perdana pada hari ini,” katanya di majlis makan malam dan penyampaian anugerah kecemerlangan anak Terengganu serta pelancaran program perantis usahawan Universiti Utara Malaysia (UUM)-Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di Dewan Angsana, Hotel EDC, UUM, Sintok, malam semalam (27 Mac).
Turut hadir, isteri menteri Besar, Toh Puan Norliza Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.
Hadir sama, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi dan Pengarah yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik.
Katanya, bukan hanya merangkul negeri terbaik sepanjang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR, Terengganu juga buat tahun kedua berturut-turut cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), diikuti negeri terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malysia yang diumumkan pada 25 Februari lalu.
Terbaru, selepas membandingkan keputusan negeri lain, terbukti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga merekodkan Terengganu sebagai negeri terbaik dan menjadikan Terengganu menguasai kesemua keempat-empat peperiksaan awam sebagai negeri terbaik.
Menurut Dato’ Ahmad, Kelantan antara negeri yang mengekori rapat pencapaian terbaik dalam UPSR akhirnya agak jauh ketinggalan untuk SPM.
“InsyaAllah..pada Mei ini kita akan buat `roadshow’ ke setiap kawasan bagi menemui kira-kira 20 ribu pelajar yang mengambil SPM terutama mereka yang berjaya termasuk berjumpa guru-guru bagi menyampaikan anugerah atas kejayaan dan kecemerlangan mereka.
“Malah, kita juga memperuntukkan bajet untuk mengiktiraf kejayaan semua pelajar ini dengan menyenaraikan nama mereka yang berjaya dalam akhbar (arus perdana) sebagai dorongan mereka dan rakan serta adik-adik yang lain melakukan kejayaan yang sama atau yang lebih baik,” kata beliau.
Dato’ Ahmad kemudiannya meluluskan penajaan RM10 ribu kepada Persatuan Anak Terengganu (Permata ) UUM sebelum menyampaikan anugerah kecemerlangan YT kepada tujuh pelajar Terengganu yang mencatat keputusan cemerlang di pusat pengajian berkenaan.
Seramai 30 pelajar UUM kemudiannya menerima watikah penyertaan Perantis UUM-YPU.
Dato’ Ahmad sebelum itu, melancarkan T-Shoppe pertama di luar Terengganu yang dibuka di Varsity Mall, UUM.
TEGANUKITA