Halaman

01 April 2010

Swasta Diajak Kembang Sektor Pelancongan

Lintas Langsung dari Primula Hotel, Kuala Terengganu: Oleh: Kamarudin Mat Akib



Ahmad Razif (tengah) menekan butang tanda bermulanya Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 `Terengganu Dihati Ku' sambil disaksikan Dato' Razali Kassim dan Pengarah UKOM, Rosli Zakaria. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sikap tunggu dan lihat yang diamalkan syarikat swasta dan agensi pelancongan tempatan sebelum melaksanakan pelbagai projek di bidang pelancongan, amat merugikan kerana sektor berkenaan kini berkembang dengan pesat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihak berkenaan perlu melibatkan diri sepenuhnya dalam sektor pelancongan kerana sokongan pelbagai pihak, terutama pihak swasta diperlukan bagi membangunkan sektor tersebut.

“Di Terengganu, walaupun negeri ini kaya dengan aset pelancongan di setiap daerah, namun penglibatan pihak swasta masih rendah,” katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu, di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort, petang ini.

Teks ucapan tersebut dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar berkata, usaha Unit Komunikasi Negeri (UKOM) mengadakan pertandingan blog berkaitan pelancongan amat dibanggakan kerana sebagai agensi yang ditugaskan untuk menyebarkan maklumat mengenai Terengganu, usaha itu akan mencapai matlamat yang diharapkan.

“Usaha yang saya anggap sebagai serampang dua mata ini penting kerana, selain dari satu pertandingan yang akan menggalakkan orang-ramai menceritakan pengalaman mereka melawat Terengganu menggunakan media baru, tulisan atau berita yang disiar di dalam blog akan membantu mempromosi Terengganu sebagai satu destinasi yang hebat dan menarik di seluruh dunia melalui jaringan Internet.


Ahmad Razif yang mewakili Menteri Besar Terengganu berucap pada majlis perasmian berkenaan.

“Saya difahamkan, semasa blog utama pertandingan ini masih dalam pembinaan (under construction), webmaster yang terdiri dari petugas UKOM telah mendapati terdapat pengunjung dari luar negara seperti dari Amerika dan Australia melihat gambar-gambar menarik yang telah dimuat turun,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa dunia ingin mengetahui tentang Terengganu, tarikan alam semulajadinya dan pelbagai perkara yang terdapat di negeri ini.

Katanya, dengan adanya nota-nota pengalaman yang diterjemahkan dalam blog yang juga memaparkan gambar-gambar yang menarik serta kemudahan yang ada, pelancong boleh membuat perbandingan sama ada ia berbaloi untuk bercuti di Terengganu.

“Saya pasti, di kalangan 10 billion pelayar Internet di seluruh dunia, sudah tentu ada di kalangan mereka yang ketika ini sedang melayari website atau blog yang menyentuh tentang Terengganu dan saya juga pasti sudah ada yang membuat tempahan bilik untuk menginap sehari-dua di Terengganu,” ujar beliau.

Katanya, tahun lalu Terengganu menerima 3.2 juta pelancong manakala tahun ini kerajaan negeri mensasarkan 3.5 juta pelancong.

Beliau berkata, dalam usha memajukan sektor pelancongan di Terengganu, kerajaan negeri merupakan pelabur terbesar yang bertanggungjawab menggerakkan sektor berkenaan dan sebahagian besar hasilnya akan dinikmati oleh rakyat.


Hadirin yang hadir bagi mendengar dan mendapatkan maklumat mengenai pertandingan yang menawarkan hadiah yang lumayan.

“Memandangkan potensi sektor pelancongan dalam menjana ekonomi, Kerajaan Negeri membelanjakan sebahagian besar bajet tahunan untuk menyediakan prasarana untuk menarik lebih ramai pengunjung,” tambahnya.

Menteri Besar yakin dengan kesediaan kerajaan menerajui pembangunan sektor pelancongan di Terengganu dengan membangunkan tarikan-tarikan baru, jumlah pelancong akan terus meningkat.

Antara tarikan-tarikan baru yang bakal menjadi tumpuan pelancong ialah “Kenyir Island Hopping”, Santuari Kelah, Santuari Gajah, Pusat Tekstil, Taman Negara berhampiran Gua Bewah di mana telah dijumpai artifak, iaitu rangka manusia tertua di Malaysia berusia 16,000 tahun.

“Industri-industri kecil yang sedia ada seperti tenunan songket dan batik serta kraftangan berasaskan tembaga dan ukiran tradisional kayu, akan terus menjadi tarikan,” ujarnya.

Layari: http://www.trgtourism.blogspot.com/

TEGANUKITA