Halaman

06 October 2010

Yayasan Terengganu Bangun Sistem Baru Elak Penipuan

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) -- Yayasan Terengganu (YT) sedang membangunkan satu sistem baru bagi mengelak penipuan oleh pemohon bantuan persediaan kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pengarahnya Aziz Mamat berkata sistem itu yang akan dibangunkan oleh Top It Sdn Berhad, dijangka siap akhir tahun ini dan digunakan sepenuhnya tahun depan.

"Sistem yang bakal dibangunkan itu dapat mengesan dan memastikan maklumat pelajar yang berjaya memasuki IPTA/IPTS itu tepat untuk mengelak sebarang masalah penipuan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang YT yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahamd Razif Abdul Rahman.

Sebelum ini ada empat kes penipuan oleh seorang pelajar IPTS yang menggunakan kad pengenalan yang sama tetapi mengubah angka pada kad pengenalan itu. Kes itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Aziz berkata, sistem yang akan dibangunkan itu ia bukan sahaja berfungsi mengesan penipuan dan pemberian biasiswa tetapi juga untuk semakan bayaran balik pinjaman, data pelajar semasa dan juga pentadbiran YT sendiri.

"Dengan sistem yang kita bangunkan itu, segala borang permohonan pinjaman dan sebagainya akan dibuat melalui online sebagaimana yang dibuat oleh universiti-universiti sekarang," katanya.

Aziz berkata bahawa sebelum ini Yayasan Terengganu bergantung kepada sistem manual dan memang ada perkara-perkara yang tersilap dan terlepas pandang.

-- BERNAMA

PMINT Bina Projek Mega Bernilai RM120 Juta

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) -- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu sedang membina sebuah kompleks mega berharga RM120 juta di bandar raya ini yang mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap menjelang 2012.

Pengurus Besar PMINT Datuk Zakaria Awang berkata kompleks itu akan mengandungi hotel 11 tingkat dengan 210 bilik, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya PMINT di sini hari Selasa.

Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Zakaria berkata langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya.

Beliau juga berkata PMINT akan membina empat blok rumah rumah kos sederhana dan kos tinggi mengandungi 128 unit di Taman Tamadun Islam di sini dalam masa terdekat ini.

Zakaria berkata kerja menambak tanah seluas lapan hektar bersebelahan TTI akan dilakukan segera bagi membolehkan projek itu dilaksanakan awal tahun depan.

PMINT juga akan memajukan kawasan perhentian bas lama yang terletak di Jalan Masjid Abidin di sini, katanya.

-- BERNAMA

Replika Bangunan Masjid Sultan Singapura Dibina Di Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU, 5 Okt (Bernama) -- Orang ramai yang ingin mengetahui mengenai Masjid Sultan di Singapura kini boleh melihat secara dekat replika masjid tersohor itu di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man di sini apabila ia siap dibina tidak lama lagi.

Pengarah Urusan TTI Engku Md Azmi Engku Abdul Rahman berkata pembinaan replika bangunan Masjid Sultan yang menelan belanja RM1.2 juta sedang berjalan dan dijangka siap akhir tahun ini.

"Kita telah menghantar pegawai-pegawai kita melawat Masjid Sultan minggu lepas untuk membuat semakan terakhir termasuk dari segi catnya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Engku Md Azmi berkata TTI sebelum ini mempunyai 21 replika bangunan masjid tersohor di seluruh dunia.

Replika Masjid Sultan yang dibina di TTI itu adalah enam kali lebih kecil berbanding saiz sebenar masjid itu di Singapura.

-- BERNAMA

Masjid Kristal Bakal Himpun Jemaah Solat Jumaat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bakal digunakan untuk solat Jumaat apabila `perkampungan baru’ melibatkan 128 unit rumah kediaman komersial yang menempatkan penduduk bermaustatin tetap bakal dibangunkan di pusat pelancongan itu tidak lama lagi.

Keutamaan kerajaan negeri kini adalah memastikan sekurang-kurangnya 40 jemaah boleh berhimpun bagi menunaikan solat Jumaat sekaligus mengimarahkan masjid yang menjadi antara mercu tanda Terengganu itu.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Zakaria Awang, berkata hasrat kerajaan negeri dan PMINT kini adalah memastikan Masjid Krital boleh digunakan untuk tujuan solat berjemaah dan solat Jumaat.

Katanya, kerja pembinaan rumah kediaman komersial bertaraf sederhana dan mewah melibatkan empat blok pangsapuri empat tingkat di kawasan berkeluasan lapan hektar bermula dengan kerja penambakan tanah dalam tempoh terdekat.

Katanya, PMINT kini dalam proses menyediakan tender projek sebelum melaksanakan kerja penambakan tanah yang mengambil masa empat hingga enam bulan untuk siap.

“Kini dalam proses penyediaan tender. Tahun ini juga kita akan mulakan kerja penambakan dan sasaran kita kemungkinan pertengahan tahun depan empat blok akan dibina yang mungkin mengambil masa 18 bulan untuk siap,” katanya dalam sidang akhbar di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PMINT, di TTI, Kuala Terengganu, hari ini (5 Oktober).

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penduduk yang bakal menghuni kediaman itu nanti terdiri daripada penduduk sekitar, kakitangan dan pegawai kerajaan yang mahu tinggal secara tetap dan tidak menjadikan rumah mereka kelak sebagai rumah tamu atau persinggahan semata-mata.

Dato’ Zakaria berkata, PMINT yakin walaupun perumahan itu bertaraf sederhana dan mewah, sambutan pembeli tetap baik memandangkan lokasi yang strategik selain berhampiran dengan perkampungan dan pulau sedia ada yang mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur yang menghubungkannya.

TEGANUKITA

Gua Dalam Gua

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Satu penemuan baru, gua dalam gua yang terletak di bahagian atas di Gua Bewah, Tasik Kenyir merupakan satu fasa baru yang memerlukan kajian dan penyelidikan menyeluruh bagi mengenal pasti tempat ini juga ada kaitan dengan penemuan bahan artifak di tingkat bawah gua berkenaan.

“Ia seperti sebuah lobi (foyer) yang rata dan cantik,” kata Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya di perkarangan Muzium Terengganu, di Bukit Losong, Kuala Terengganu hari ini (5 Oktober)..

Katanya, setakat ini pihaknya belum berbuat apa-apa kerana ia kawasan baru ditemui serta belum pasti apa yang ada di situ, cuma sekadar meninjau tempat tersebut dan memang Gua Bewah mempunyai dua tingkat.

“Kedudukannya adalah sebelah kanan pintu masuk ke gua dan untuk naik ke atas terpaksa menggunakan tangga setinggi 30 kaki yang disediakan oleh pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya.

Sebelum ini masyarakat dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang berusia 16,000 tahun di dalam Gua Bewah serta beberapa bahan artifak lain.

Sehubungan itu, usaha mencari pintu utama gua tersebut masih dijalankan kerana laluan yang digunakan sekarang dikatakan bukan pintu utama sebaliknya dipercayai pintu belakang berdasarkan beberapa penemuan bahan artifak didalamnya.

“Artifak merupakan bukti keilmuan, semudah mana atau seburuk mana fizikal satu-satu bahan itu, ia sebenarnya suatu peninggalan, kegunaan orang-orang terdahulu dan barangkali kita tidak mampu untuk membuat objek yang sama seperti mereka,” katanya..

Sehingga ini katanya, terdapat 70,000 jenis bahan sejarah yang tersimpan dan lebih 100,000 keping pelbagai gambar-gambar lama sama ada sumbangan orang ramai atau milik agensi sendiri dan ini merupakan khazanah ini amat berharga.

Haji Yusof memaklumkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sejumlah 84,667 orang telah berkunjung ke Muzium Terengganu dan ini tidak termasuk yang mengunjungi tempat-tempat sejarah lain seperti Bukit Puteri (6,639), Kota Duyong (910), Memorial Batu Bersurat (3,186) dan Muzium Dungun (657).

Saranan turut disuarakan agar ibu bapa agar membawa anak-anak mereka mengunjungi Muzium dan perkenalkan bahan warisan dan budaya kepada mereka, kerana generasi muda hari ini semakin jarang mengambil tahu bahan sejarah.

TEGANUKITA

Input Berguna Sempena Konvokesyen TatiUC Ke-4

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Semua penduduk di seluruh Terengganu dan Kemaman khasnya dijemput memeriahkan dan mendapat input berguna daripada aktiviti di tapak pesta sempena Konvokesyen Kali Ke-4 Kolej Universiti Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TatiUC) sepanjang tiga hari bermula 7 Oktober ini.

Pelbagai aktiviti dijalankan pihak pengurusan TatiUC sperti tayangan amal Gaza bagi mengutip derma untuk Tabung Gaza, persembahan artis tempatan, pameran serta gerai jualan pelbagai produk makanan.

“Kita mengharapkan supaya orang ramai mengambil peluang ke tapak pesta sempena konvokesyen TatiUC dan memperolehi input berguna daripada program kami khususnya peluang yang ditawarkan oleh TatiUC kepada pelajar yang meminati untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran,” kata Rektor TatiUC, Dr Mohd Rozailan mamat, selepas Kejohanan Boling Antara Media sempena Konvokesyen Ke- 4 TatiUC, di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, kelmarin (2 Oktober).

Katanya, setiap fakulti juga akan menyertai pameran bagi memperkenalkan kolej universiti itu kepada penduduk setempat dan memberi taklimat mengenai kemudahan pembelajaran yang disediakan.

Graduan yang bakal menyertai konvokesyen TatiUC kali ini melibatkan 374 pelajar lulusan sijil dan diploma dari pelbagai kursus kemahiran yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Latihan Teluk Kalong, Kemaman, pada 9 Oktober ini.

TEGANUKITA

Kagum dengan kafetaria

Oleh : SURIATI BINTI ALI

25 pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Bahagian Korporat) kagum dengan reka bentuk dan hiasan dalaman Kafetaria Wisma Darul Iman (WDI) yang siap diubah suai awal 2008.

Ketua Penolong Setiusaha pejabat itu, Teh Sew Mei, berkata kafeteria WDI cantik dan cukup berbeza jika dibandingkan dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri lain.

Katanya, lawatan ke kafetaria sengaja dimasukkan dalam jadual kerana pernah dicadangkan Unit Permodenan Tadbiran & Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk berbuat demikian.

“Rentuk bentuk yang ditampilkan ini wajar dicontohi semua pihak kerana bukan sahaja cantik malah mampu memberi ketenangan ketika makan,” katanya

Menurutnya, dia bersama rombongan lain cukup seronok mengunjungi Terengganu kerana banyak lokasi menarik boleh dilawati.

“Sebelum lawatan kerja ini, saya pernah beberapa kali datang ke Terengganu dengan pelbagai tujuan termasuk mengetahui kaedah kerja yang diamalkan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu.

“Disebabkan kagum dengan apa yang diamalkan, saya bersama rakan sekerja lain membuat keputusan untuk mengunjungi lagi bagi mengetahui lebih mendalam serta ingin memberi pendedahan kepada kakitangan berkaitan terutama yang belum pernah datang ke sini,” katanya,

Pelbagai tempat menarik termasuk Taman Tamadun Islam, Masjid Tengku Tengah Zaharah dan Pasar Besar Kedai Payang dilawati rombongan itu sepanjang tiga hari berada di Terengganu yang bertolak balik hari ini.

TEGANUKITA