Halaman

06 October 2010

Masjid Kristal Bakal Himpun Jemaah Solat Jumaat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu bakal digunakan untuk solat Jumaat apabila `perkampungan baru’ melibatkan 128 unit rumah kediaman komersial yang menempatkan penduduk bermaustatin tetap bakal dibangunkan di pusat pelancongan itu tidak lama lagi.

Keutamaan kerajaan negeri kini adalah memastikan sekurang-kurangnya 40 jemaah boleh berhimpun bagi menunaikan solat Jumaat sekaligus mengimarahkan masjid yang menjadi antara mercu tanda Terengganu itu.

Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Zakaria Awang, berkata hasrat kerajaan negeri dan PMINT kini adalah memastikan Masjid Krital boleh digunakan untuk tujuan solat berjemaah dan solat Jumaat.

Katanya, kerja pembinaan rumah kediaman komersial bertaraf sederhana dan mewah melibatkan empat blok pangsapuri empat tingkat di kawasan berkeluasan lapan hektar bermula dengan kerja penambakan tanah dalam tempoh terdekat.

Katanya, PMINT kini dalam proses menyediakan tender projek sebelum melaksanakan kerja penambakan tanah yang mengambil masa empat hingga enam bulan untuk siap.

“Kini dalam proses penyediaan tender. Tahun ini juga kita akan mulakan kerja penambakan dan sasaran kita kemungkinan pertengahan tahun depan empat blok akan dibina yang mungkin mengambil masa 18 bulan untuk siap,” katanya dalam sidang akhbar di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PMINT, di TTI, Kuala Terengganu, hari ini (5 Oktober).

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan penduduk yang bakal menghuni kediaman itu nanti terdiri daripada penduduk sekitar, kakitangan dan pegawai kerajaan yang mahu tinggal secara tetap dan tidak menjadikan rumah mereka kelak sebagai rumah tamu atau persinggahan semata-mata.

Dato’ Zakaria berkata, PMINT yakin walaupun perumahan itu bertaraf sederhana dan mewah, sambutan pembeli tetap baik memandangkan lokasi yang strategik selain berhampiran dengan perkampungan dan pulau sedia ada yang mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur yang menghubungkannya.

TEGANUKITA