Halaman

06 October 2010

Gua Dalam Gua

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Satu penemuan baru, gua dalam gua yang terletak di bahagian atas di Gua Bewah, Tasik Kenyir merupakan satu fasa baru yang memerlukan kajian dan penyelidikan menyeluruh bagi mengenal pasti tempat ini juga ada kaitan dengan penemuan bahan artifak di tingkat bawah gua berkenaan.

“Ia seperti sebuah lobi (foyer) yang rata dan cantik,” kata Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya di perkarangan Muzium Terengganu, di Bukit Losong, Kuala Terengganu hari ini (5 Oktober)..

Katanya, setakat ini pihaknya belum berbuat apa-apa kerana ia kawasan baru ditemui serta belum pasti apa yang ada di situ, cuma sekadar meninjau tempat tersebut dan memang Gua Bewah mempunyai dua tingkat.

“Kedudukannya adalah sebelah kanan pintu masuk ke gua dan untuk naik ke atas terpaksa menggunakan tangga setinggi 30 kaki yang disediakan oleh pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),” katanya.

Sebelum ini masyarakat dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang berusia 16,000 tahun di dalam Gua Bewah serta beberapa bahan artifak lain.

Sehubungan itu, usaha mencari pintu utama gua tersebut masih dijalankan kerana laluan yang digunakan sekarang dikatakan bukan pintu utama sebaliknya dipercayai pintu belakang berdasarkan beberapa penemuan bahan artifak didalamnya.

“Artifak merupakan bukti keilmuan, semudah mana atau seburuk mana fizikal satu-satu bahan itu, ia sebenarnya suatu peninggalan, kegunaan orang-orang terdahulu dan barangkali kita tidak mampu untuk membuat objek yang sama seperti mereka,” katanya..

Sehingga ini katanya, terdapat 70,000 jenis bahan sejarah yang tersimpan dan lebih 100,000 keping pelbagai gambar-gambar lama sama ada sumbangan orang ramai atau milik agensi sendiri dan ini merupakan khazanah ini amat berharga.

Haji Yusof memaklumkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sejumlah 84,667 orang telah berkunjung ke Muzium Terengganu dan ini tidak termasuk yang mengunjungi tempat-tempat sejarah lain seperti Bukit Puteri (6,639), Kota Duyong (910), Memorial Batu Bersurat (3,186) dan Muzium Dungun (657).

Saranan turut disuarakan agar ibu bapa agar membawa anak-anak mereka mengunjungi Muzium dan perkenalkan bahan warisan dan budaya kepada mereka, kerana generasi muda hari ini semakin jarang mengambil tahu bahan sejarah.

TEGANUKITA