Halaman

09 December 2009

Kerajaan Sedia Bantuan Bencana Terbaik

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato'Seri Mohd Najib menyampaikan bantuan ihsan kepada seorang mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu. - Foto JABATAN PENERANGAN NEGERI TERENGGANU.

Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyifatkan kerajaan negara ini merupakan kerajaan terbaik di dunia dalam memberi bantuan kepada rakyatnya yang ditimpa bencana.

“Saya berani menyatakan demikian kerana di negara-negara maju sekalipun, bantuan seumpama ini tidak berlaku dengan baik dan ini menunjukkan bahawa kerajaan amat mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan Bencana Banjir Daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, pada 6 Disember lalu.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan bantuan sebanyak RM300 kepada 363 mangsa banjir di sekitar Kuala Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan pemimpin setempat.

Penerima bantuan melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan yang membantu terutama kesanggupan Perdana Menteri turun padang menemui mereka.

“Inilah pemimpin dan kerajaan yang dicita-citakan oleh rakyat selaras dengan slogan rakyat didahulukan,” kata mereka.

Dato’ Seri Mohd Najib juga memaklumkan Kerajaan Pusat akan menyalurkan peruntukan RM55.6 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana.

“Pengagihan bantuan ehsan akan dibuat secara adil kepada semua mangsa sama ada mereka berpindah atau tidak akibat banjir,” tegasnya.

Katanya, jumlah tersebut dijangka meningkat bergantung kepada perkembangan semasa keadaan banjir yang sering melanda negara kebelakangan ini.

Malah, Kerajaan Pusat serta negeri akan sentiasa menyediakan bantuan kepada rakyat yang menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk bantuan dan juga keadaan.

“Jika dinilai bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir ia merangkumi bantuan yang menyeluruh termasuk penempatan perpindahan yang selesa, penyediaan pelbagai jenis makanan, bantuan membaiki kerosakan harta benda dan wang tunai,” katanya lagi.

Setiap pengagihan perlu disahkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dengan kerjasama agens-agensi kerajaan yang lain bagi membolehkan mereka menerima wang ihsan berkenaan.

Perdana Menteri juga menyarankan supaya pembangunan yang lebih lestari amat perlu dilakukan oleh semua pihak bagi mengelak kejadian banjir.

UKOM

07 December 2009

Minoprio juara baru Piala Monsun

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato'Seri Mohd Najib menyampaikan piala dan hadiah kepada juara Piala Monsun 2009, pasukan Minoprio. -Foto JABATAN PENERANGAN NEGERI TERENGGANU.

Pasukan Black Match Racing dari New Zealand muncul juara Kejohanan Piala Monsun dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Origin dari Britain dalam aksi akhir di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam (6 Disember).

Dengan kemenangan itu, Black Match Racing yang dikendali juragannya, Adam Minoprio, berjaya membawa pulang RM360,000, trofi Piala Monson dan Piala Dunia World Match Racing Tour (WMTR).

Juragan pasukan itu menduduki carta teratas selepas sembilan acara WMRT musim ini dengan mengumpul 138 mata ekoran kejayaan di Piala Monsun dan tempat kedua disandang oleh Torvar Mirsky (pasukan Mirsky Racing dari Australia) dengan 97 mata.

Manakala tempat ketiga Ben Ainslie (pasukan Origin) dan keempat Datuk Peter Gilmour (Yanmar Racing) 93 mata.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek , Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib.

Hadiah kemenangan disampaikan Datuk Seri Najib dengan diiringi Datuk Ahmad Shabery. Kejohanan selama lima hari bermula 2 Disember lalu menyaksikan 12 pasukan dari seluruh dunia bertarung bagi merebut piala berprestij itu.

Semua pasukan yang bertanding layak menerima wang tunai RM50,000 walaupun berada di tangga terakhir.

Pelbagai aktiviti moden dan tradisional disajikan bagi menarik minat pengunjung ke lokasi kejohanan yang diadakan secara tahunan itu.

Antaranya, pameran barangan kraftangan Terengganu, gerai jualan, pertandingan perahu panjang, bola sepak pantai, futsal, bola jaring, mini konsert dan sukan rakyat.

UKOM

Produk IKS Terengganu ke Sabah dan Sarawak

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk meluaskan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) Terengganu merentasi Selat Melaka menerusi francais T’Shoppe yang bakal beroperasi di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamad Awang Tera, berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mengembangkan pasaran produk IKS ke luar Semenanjung Malaysia bagi memastikan produk tempatan mendapat tempat dan dikenali di seluruh Malaysia.

Katanya, menerusi T’Shoppe produk tempatan dapat diperkenalkan ke luar Terengganu, sekaligus mampu memperkasakan usahawan tempatan dalam sektor peruncitan, selain menggalakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sehingga kini, terdapat tiga rangkaian T'Shoppe di Gong Kapas yang dibuka oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) selepas Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Menerusi T’Shoppe juga, produk yang terkenal di Sarawak seperti produk halia, rumpai laut, kayu manis dan keropok amplang umpamanya dapat ditempatkan di Terengganu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri mensasarkan 90 buah rangkaian kedai T'Shoppe akan beroperasi di seluruh negara sehingga 2013.

Menjelang akhir tahun ini, empat lagi rangkaian T'Shoppe akan dibuka di Terengganu iaitu di Kelulut, Marang, Geliga (Kemaman), Paka (Dungun) dan Gong Kemuntong (Besut).

Lapan kedai T'Shoppe lagi akan dibuka di luar Terengganu iaitu empat di Johor, tiga di Selangor dan sebuah di Melaka, selain memcari ruang perniagaan di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak

"Saya mahu memastikan peluang dan ruang terhadap produk IKS mendapat tempat di luar Terengganu termasuk di Sabah dan Sarawak dan pendekatan terbaik menerusi T’Shoope yang menjadi tempat untuk memasarkan barangan keluaran mereka kerana kita menyediakan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pemasaran produk (TP3).

"Kita harap pengusaha IKS menjaga mutu pengeluaran, pembungkusan serta memberi layanan yang baik dan mesra kepada pelanggan," katanya ketika diwawancara, baru-baru ini.

Dalam memastikan usaha itu terlaksana, Dato’ Mohamed dan Pengurus Besar YPU Terengganu, Haji Azmi Razik dan pihak terlibat dengan ` Terengganu Showcase 2009 sempena Borneo International Trade Fair (BITF 2009), di Kota Kinabalu, Sabah bermula 13 hingga 16 November lalu turut menyertai program sampingan berkaitan kerjasama ekonomi antara Terengganu-Sabah.

BITF 2009 turut memberi peluang rombongan dari Terengganu mengadakan lawatan kunjung hormat ke pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Dalam pada itu, program turut melibatkan majlis penyerahan sijil fancais Noor Arfa Batek kepada Diamond Vacation dan penyerahan bekalan pakaian seragam batik oleh Seem Noor batek kepada Sekolah menengah Kebangsaan Kelombong, Sabah.

Selain itu, rombongan turut mengikuti majlis penyerahan surat pelantikan pengedar tunggal peralatan batik oleh STR Sdn Bhd kepada Cemerlang Scientific, Sabah.

Program `Biz Matcing’ Usahawan Terengganu-Sabah pula melibatkan usahawan dan agensi seperti Mara, PMINT, Ketengah, Koperasi Yayasan Islam Terengganu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Fama, Tourism Malaysia, Persatuan Pembatik, Caknqa Sdn Bhd dan Koputera yang membawa produk masing-masing untuk diketengahkan ke pentas global.

UKOM

06 December 2009

Terengganu Sasar 64 Emas Sukma Melaka

Oleh: Esah Abdullah

Kuala Terengganu - 3 Disember 2009

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said melahirkan rasa yakin dengan kemampuan barisan atlet Terengganu untuk mengekalkan gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di Melaka Jun depan.

Katanya, atlet Terengganu dijangka mampu mengatasi pencapaian pada Sukma Terengganu yang lalu dengan sasaran 64 pingat emas.

“Saya turut merasa gembira kerana beberapa acara akan diterima untuk pertandingan nanti walaupun pada awalnya terdapat desas-desus ianya ditolak,” katanya kepada pemberita di majlis suaimesra dengan persatuan berpotensi memenangi pingat dan tambahan sembilan sukan baru temasya Sukma X111, Melaka 2010 di Wisma Darul Iman, kelmarin (3 Disember).

Turut hadir, Dato’ Bandaraya Kuala Terengganu, merangkap Ketua Kontijen Sukma Melaka 2010, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Rosdi Awang serta pengerusi persatuan, pengurus dan jurulatih sukan yang mengambil bahagian.

Katanya, sembilan tambahan sukan baru yang dimasukkan dalam senarai pertandingan Sukma di Melaka itu nanti antaranya ialah Kanu di mana pasukan Terengganu berjaya memungut 14 pingat emas dalam acara itu pada Sukma yang lalu.

“Kita turut menaruh harapan terhadap sukan Formula Future yang baru pertama kali diperkenalkan di Sukma nanti kerana pasukan kita sudah berpengalaman mewakili negara ke pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selebihnya adalah acara Lawan Pedang, Judo, Tenis, Ragbi, Kabaddi dan Bola Tampar di mana acara sukan ini menjadi taruhan untuk mengutip pingat.

Bagaimanapun, ianya bergantung kepada keadaan semasa serta kesediaan para atlet kita untuk berjuang habis-habisan bagi mengutip pingat untuk negeri dan ganjaran akan menanti atlit yang berjaya menyumbang pingat.

“Setakat ini ganjaran kepada penyumbang pingat masih kekal seperti tahun lalu iaitu RM3,000 (emas) RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Datuk Abdul Rahin kemudiannya turut menyampaikan insentif kepada pengerusi-pengerusi, setiausaha dan pengurus pasukan yang banyak menyumbang bakti untuk membangunkan sukan di negeri ini.

UKOM


Perebutan Piala Monsun 2009 Bermula

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Pasukan Dato' Peter Gilmour mempamerkan kehebatan mengendalikan kapal layar mereka pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung. -Foto Jab.Penerangan Negeri Terengganu

Pembukaan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 berlangsung penuh simbolik dengan paluan gendang dan persembahan seni mempertahankan diri dari pelbagai etnik kaum di negara ini mengiringi 12 pasukan yang berentap merebut piala berprestij dunia itu, dalam kejohanan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, bermula semalam hingga 6 Disember ini.

Perasmian kejohanan disempurnakan Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Ismail. Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.


Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman merasmikan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung sambil diperhatikan oleh Datuk Zaabar.

Juragan utama yang berentap bagi kejohanan itu adalah Dato’ Peter Gilmour (Austarlia) dari YANMAR Racing; Mathieu Richard (Perancis) dari French Match Racing; Adam Miniprio (New Zealand) ETNZ/BlackMatch; Ian Williams (Jerman) dari Pindar dan Torvar Mirsky (Australia) dari Mirsky Racing.

Pelayar lain, Ben Ainslie (Jerman) dari Origin; Damien Lehl (Perancis) dari French; Sebastian Co (Perancis) dari ALL4 One; Magnus Holmberg (Sweden) dari Victoria Challenge; Francesco Bruni (Itali) dari pasukan Azzura dan Phil Robetson (New Zealand) dari pasukan New Zealand WAKA Racing.


Dua pasukan beraksi pada hari pertama Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Buat julung kalinya, Malaysia mempertaruhkan pasukan Taring Pelangi yang diketuai pelayar muda, Hazwan Hazim Dermawan bersama empat krew iaitu Mohd Rezaki Shuib, Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Hilmi, Shahrizal Hashim dan Mohd Saifullah Mohd Esa.

Pertandingan bermula kira-kira jam 4 petang dan berakhir dua jam kemudian, menyaksikan semua pasukan berdepan dengan cabaran getir mengawal kapal layar masing-masing berikutan angin yang pada awalnya sederhana bertukar kencang dengan kelajuan 15 knot, selain berdepan arus yang kuat.

Persaingan pada hari pertama semalam menyaksikan enam pasukan yang diketuai Adam Minorpio, Torvar Mirsky, Dato’ Peter Gilmour, Ben Ainsten, Mathieu Richard dan Ian Williams mempamerkan kehebatan dengan masing-masing mengumpul tiga mata dan kini hanya memerlukan tiga kemenangan lagi untuk ke suku akhir petang ini.


Ahli Kapal Perahu Layar Terengganu turut mengadakan demonstrasi mengendalikan kapal layar pada Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2009 di Pulau Duyung.

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun merupakan siri kesembilan pelayaran profesional utama dalam World Match Racing Tour (WMRT) yang dijalankan di serata dunia.

Sehingga kini sembilan negara terlibat adalah Perancis, Jerman, Korea, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan terakhir, Malaysia (Pulau Duyong, Kuala Terengganu) mengambil tempat penganjuran siri terakhir WMRT.

UKOM