Halaman

02 January 2010

Adik Mohd Khaidill Dibedah 20 Januari Ini.

Oleh: Harun bin Hassan / Zulkipli Putra dan Mohd Yahya Muda yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)


Kanak-kanak jantung berlubang, adik Mohd Khaidill Sharifudin ketika menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Mohd Khaidill Sharifudin, kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang telah menjalani pemeriksaan melalui imbasan 2D Ecocardiogram oleh pakar perubatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 pagi ini. (2 Januari 2010).

Pesakit dari Kampung Lubuk Lesung, Kemaman itu telah dibawa ke hospital berkenaan dan telahpun menjalani pemeriksaan awal penyakitnya pada 1 Disember lalu, untuk pengesahan tahap penyakit yang dialaminya.


Adik Mohd Khaidill dijangka menjalani pembedahan jantung berlubang pada 20 Januari ini di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur, di mana kos rawatan akan ditanggung kerajaan negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill.


Dr. David Khoo Sin Keat menerangkan hasil pemeriksaan yang dijalankan kepada ibu bapa Mohd Khaidill.

Menurut Dr. David Khoo Sean Keat, melalui pemeriksaan imbasan yang dijalankan didapati terdapat ‘ventricular septal defect’ iaitu lubang berukuran 10mm di antara lubang bilik jantung kiri dan kanan. Manakala ukuran ruang injap pembuluh darah ke paru-paru agak sempit akan diperbesarkan melalui pembedahan pada otot jantung akan dilakukan bagi memastikan paras oksigen yang normal dalam aliran darah.

Mohd Khaidill dikehendaki masuk ke Pusat Rawatan pada 17 Januari ini untuk menjalani ujian catheter pada 18 Januari dan pembedahan rawatan ini akan dijalankan pada 20 Januari 2010.


Pakar pembedahan jantung, Dr David (kiri) diberi kepercayaan mengetuai pembedahan ke atas adik Mohd Khaidill.

Semua rakyat Terengganu bersama-sama berdoa agar pembedahan adik Mohd Khaidill berjaya.

UKOM

Jambatan baru atasi masalah jalan sesak

KUALA TERENGGANU: Dua jambatan baru bernilai RM400 juta akan dibina di negeri ini tahun ini bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati dan Losong sepanjang 1.5 kilometer serta dari Kampung Jeram ke Kampung Jeram Tokong pula sepanjang satu kilometer akan mula dibina awal tahun ini.

"Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu semakin pesat menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di Jambatan Sultan Mahmud semakin kritikal.

"Kita jangka dengan pembinaan dua jambatan ini, masalah terbabit dapat diatasi dan secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan ekonomi di pinggir kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Exco di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Yahya berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti jajaran dan perunding bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar dan tidak menimbulkan masalah kemudian hari.

"Jika semuanya berjalan lancar, ia akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka mengambil dua tahun setengah untuk siap," katanya.


Dipetik dari Berita Harian Online

29 December 2009

Azizulhasni, Fatihah atlit terbaik Terengganu '09

Dipetik dari Berita Harian Online

Dipilih kerana pencapaian cemerlang dalam dan luar negara


MUSTAFA mewakili Fatihah dan Selamiah mewakili Azizulhasni menerima anugerah, malam tadi.

JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatihah Mustaffa dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2007-2008 sempena Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kedua-dua pelumba itu yang kini mengikuti latihan di Australia dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang mereka meraih emas pada Sukan Malaysia ke-XII (Sukma ke-XII) dan pencapaian di luar negara, sekali gus menerima hadiah RM7,000 seorang serta piala dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada ibu Azizulhasni, Selamiah Yong, manakala Fatihah diwakili ayahnya, Mustapa Kassim berikutan kedua-dua mereka tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen latihan di Australia.

Anugerah tahunan tajaan kerajaan negeri itu dianjurkan sebagai pengiktirafan dan perangsang kepada atlit serta penggiat sukan di negeri ini, termasuk atlit yang mempamer aksi cemerlang pada Sukma ke-XII, tahun lalu.

Sementara itu, jaguh sukan berbasikal negeri, Mohd Harris Salleh dan Athirah Hamzah (menembak) masing-masing dipilih Olahragawan dan Olahragawati Harapan dan membawa pulang hadiah RM2,500.

Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terengganu sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan bidang sukan di negeri ini, manakala Allahyarham Kamaruddin Maidin (bekas jaguh lompat kijang) dan Yahya Jusoh (bekas pemain bola sepak) masing-masing dipilih penerima Anugerah Jasamu di Kenang.

Kategori Jurulatih Terbaik dimenangi Syed Mohd Husaini Syed Mazlan (basikal) dan Persatuan Silat Negeri Terengganu dipilih persatuan terbaik.

Wartawan sukan Berita Harian Kuala Terengganu, Hamid Salleh muncul penerima sulung Anugerah Tokoh Kewartawan Sukan dan menerima RM500, piala serta sijil.

RM3,000 jika raih emas Sukma

ATLIT kontinjen Terengganu yang mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia ke-XIII di Melaka, Jun tahun depan bakal menikmati durian runtuh apabila kerajaan negeri menjanjikan insentif RM3,000 untuk atlit yang meraih pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada majlis Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Selain itu, beliau turut mengumumkan berita gembira buat atlit negeri yang bakal menikmati peningkatan elaun RM390 mulai tahun depan, berbanding RM130 seorang sebelum ini.

“Kerajaan negeri menaruh harapan tinggi dengan insentif yang kita tawarkan serta peningkatan elaun sebanyak RM260 berbanding sebelum ini, atlit kita akan meningkatkan prestasi masing-masing untuk meraih pingat pada Sukma ke-XIII di Melaka nanti.

“Kita mahu kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan kali kedua di Melaka. Hanya kerajaan Terengganu yang memberikan elaun bulanan kepada atlit kita dan ia diharap dapat menyuntik semangat serta menjadi dorongan untuk berlatih lebih kuat,” katanya.

Dipetik dari Berita Harian Online