Halaman

02 January 2010

Jambatan baru atasi masalah jalan sesak

KUALA TERENGGANU: Dua jambatan baru bernilai RM400 juta akan dibina di negeri ini tahun ini bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati dan Losong sepanjang 1.5 kilometer serta dari Kampung Jeram ke Kampung Jeram Tokong pula sepanjang satu kilometer akan mula dibina awal tahun ini.

"Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu semakin pesat menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di Jambatan Sultan Mahmud semakin kritikal.

"Kita jangka dengan pembinaan dua jambatan ini, masalah terbabit dapat diatasi dan secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan ekonomi di pinggir kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Exco di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Yahya berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti jajaran dan perunding bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar dan tidak menimbulkan masalah kemudian hari.

"Jika semuanya berjalan lancar, ia akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka mengambil dua tahun setengah untuk siap," katanya.


Dipetik dari Berita Harian Online