Halaman

27 November 2013

Pusat Akuatik MBKT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali
Harga masuk ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, yang ditawarkan serendah RM2 bagi setiap kanak-kanak dan RM4 untuk dewasa membuatkan lokasi itu terus mendapat sambutan mengalakkan.

Pusat akuatik bernilai RM18 juta itu bukan saja dibuka kepada orang ramai untuk mandi atau belajar berenang malah menjadi lokasi bagi pihak berkaitan mencari bakat-bakat baru atau pelapis atlet renang Terengganu.

Datuk Bandar, MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkata Pusat Akuatik MBKT yang dibuka secara rasminya selepas dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008 di mana Terengganu menjadi tuan rumah ketika itu terus mendapat sambutan daripada pengunjung dan pelbagai pihak.



Katanya, Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Renang Negeri Terengganu antara pihak yang setia menjadikan pusat akuatik itu sebagai tempat menjayakan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik yang mula diperkenalkan awal tahun lepas.

“Usaha-usaha seumpama ini secara tidak langsung mampu mempromosi dan membaik pulih imej pusat itu di mana sebelum ini pernah menjadi isu kerana mengalami kebocoran di beberapa bahagian,” katanya.

Seorang pengunjung, Puan Latifah Umar, 35, dari Wakaf Mempelam, berkata harga tiket serendah RM2 bagi kanak-kanak sangat berbaloi jika dibandingkan kolam renang di tempat lain.

Katanya, anak-anaknya seronok datang ke sini, kerana bukan saja dapat mandi dalam tempoh lama iaitu 2 jam malah kawasannya pun selamat kerana terdapat pengawal keselamatan kolam.

“Hampir setiap minggu atau cuti sekolah, pasti saya dan suami tidak ketinggalan membawa anak-anak datang ke pusat akuatik ini untuk mandi,” katanya.

Encik Tajudin Samat, 30, berkata dia berharap pihak berkenaan dapat mengekalkan harga tiket kerana percaya lebih ramai lagi pengunjung akan datang ke tempat ini, sekiranya kena cara promosi atau kaedahnya.