Halaman

24 November 2013

Wujudkan perpaduan UMNO-PAS- Iskandar.

Iskandar...Islam itu perpaduan.
Oleh Aminudin Ismail. 

JABI: PAS dilihat takut kehilangan pengaruh jika menjalinkan hubungan dengan UMNO sedangkan hubungan politiknya (tahaluf siyasi) dengan Pakatan Rakyat tidak banyak menguntungkan parti itu, kata Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar.

Mohd Iskandar yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia itu, berkata sekiranya PAS menjalinkan kerjasama dengan UMNO, parti itu boleh pergi lebih jauh kerana tiada banyak perbezaan antara kedua-dua parti itu.

“Jika kita tengok kerjasama mereka bertahaluf siyasi dengan PKR dan juga DAP agak merugikan tapi sebenarnya kalau dengan UMNO, mereka sebenarnya boleh pergi lebih jauh kerana tiada banyak beza antara UMNO dengan PAS.

“Terutama dari segi bentuk kepimpinan, dari segi dasar perjuangan dan sebagainya. Jadi kita merasakan sepatutnya untuk membentuk kerajaan perpaduan UMNO kena bergabung dengan PAS,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan seorang pemimpin PAS mengenai hubungan PAS/UMNO, ketika ditemui di Kampung Tempinis, dekat sini, semalam.

Iskandar berkata, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, PAS sepatutnya berusaha kearah perpaduan dan bukan menghalangnya.

“Sebagai seorang Islam yang memperjuangkan dasar perjuangan Islam, sepatutnya perpaduan ini mereka kena usahakan supaya mereka dapat perpaduan dan bukanya menghalang orang lain bergabung untuk perpaduan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi itu.

Menurutnya, Agama Islam sememangnya menitikberatkan soal perpaduan apabila penghijrahan nabi dari Kota Mekah ke Madinah dan menyatukan dua puak yang berbalah.

“Islam menganjurkan perpaduan, bahkan yang dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w itu menyatukan dua kumpulan yang berbalah iaitu Aus dan khazraj.

"Jika ada orang Islam yang menghalang perpaduan, saya rasa itu sangat bertentangan dengan sunnah nabi s.a.w,” katanya.

Iskandar berkata, semua pihak perlu berpegang kepada perpaduan dan langkah UMNO yang mahukan perpaduan itu adalah satu langkah yang baik dan harus di teruskan.