Halaman

30 November 2013

Ibu bapa tunggal sambut baik insentif perkahwinan

Oleh: Noraini Jusoh

Ibu bapa tunggal di negeri ini menyambut baik program insentif perkahwinan yang diperkenalkan Menteri Besar Terengganu dalam usaha menggalakkan ibu bapa tunggal mencari pasangan baru selepas gagal perkahwinan terdahulu.



Malah, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut memberi insentif sebanyak RM2,000 kepada ibu atau bapa tunggal yang telah bertemu jodoh dan memulakan kehidupan baru bersama-sama pasangan pilihan masing-masing.

Pasangan Saibani Ithmen, 63, dan Rahazaitom Ibrahim, 48, berkata program tersebut sangat baik kerana dapat membantu meringankan beban pasangan seperti mereka.

Saibani dari Kemaman yang mempunyai enam anak hasil perkahwinannya sebelum ini berkahwin dengan pasangannya yang mempunyai empat anak pada Jun lalu.

"Saya menjadi duda sejak tiga tahun lepas manakala isteri pula tidak berteman sejak tujuh tahun yang lalu. Kami mengambil keputusan untuk berkahwin selepas mendapat persetujuan anak-anak dan perkenalan kami hasil pertolongan seorang teman," katanya.

Menurut Salbani, mereka berdua merancang mengunakan wang insentif yang diterima sebanyak RM4,000 itu untuk menampung perbelanjaan ketika menunaikan umrah bersama Februari depan.

Sementara itu, pasangan ibu tunggal dan duda yang telah melangsungkan perkahwinan pada September lalu, Mamat Idris, 76, dan Zaiton Yahya, 51, bersyukur apabila masing-masing memperoleh RM2,000 seorang.

Kata Mamat yang mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan terdahulu, dia menduda hampir 14 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangannya yang mempunyai lapan anak itu.

Mereka berdua melahirkan rasa gembira dengan pemberian tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang begitu prihatin terhadap rakyat.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“InsyaAllah, kami merancang untuk menggunakan wang insentif ini sebagai modal permulaan untuk berniaga,” ujarnya.

Bagi pasangan Nawang Ali, 76, dan Zariah Ab. Rasid, 43, dari Balai Besar, Dungun berkata, insentif tersebut banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan seperti mereka.

Pasangan yang pernah berpisah dua tahun lalu setelah hampir 13 tahun berumah tangga mengambil keputusan untuk berkahwin semula demi anak tunggal mereka.

“Memandangkan kesihatan suami kurang baik, saya bercadang menggunakan duit RM4,000 yang diterima kami ini untuk membina bilik air baru bagi kemudahan suami,” katanya.

Pada majlis penyampaian insentif perkahwinan ibu/bapa tunggal peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak baru-baru ini, seramai 254 pasangan diraikan dan menerima insentif perkahwinan masing-masing yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.