Halaman

24 November 2013

Terengganu urus hutan guna ICT

 Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam usaha mendalami dan menguna pakai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkaitan pengurusan hutan secara bersepadu apabila menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM), hari ini.

Pertukaran MoU antara Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili Dato' Haji Mazlan Ngah (kiri) dan UTem diwakili Prof Dato' Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Haji Mohd Zubir Embong dan Haji Azmi Nordin.
MoU ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UTeM, Prof Dato’ Ahmad Yusoff Hassan sambil disaksikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Haji Azmi Nordin.

Dato’ Haji Mazlan berkata, skop penggunaan ICT cukup luas, termasuk berkaitan memulihara hutan daripada terus diteroka selain memastikan kira-kira 544,000 Hutan Simpanan Kekal di negeri ini tidak terusik.

 “ Terengganu menguna pakai kaedah ICT dalam mengurus hutan bermula awal tahun lalu membabitkan lima fasa dan kos perisiannya pula hampir RM350,000,” katanya

 Sementara itu, Prof Dato’ Ahmad Yusoff, berkata Terengganu dilihat sebagai negeri berpotensi dan mempunyai banyak peluang yang masih perlu diterokai khususnya melibatkan penggunaan ICT dalam sistem pengurusan organisasi.

 Katanya, gabungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan universiti bukan sesuatu yang asing.

“Negara maju khususnya Amerika Syarikat, Jepun dan Australia banyak kerjasama secara dua hala dilakukan melalui proek perundingan dan penyelidikan antara kedua-dua pihak.

 “Langkah itu dilaksanakan dengan semangat `win-win’ di mana hasil yang dibelanjakan kerajaan negeri dapat dimafaatkan dengan lebih bermakna dan efisen,” katanya.